Pengenalan
Usaha pentadbiran Trump untuk mengenakan sekatan imigresen yang baru sangat menarik perhatian – terutamanya sekatan memasuki AS terhadap orang yang dilahirkan di negara yang majoritinya umat Islam. Satu arahan eksekutif telah pun dikuat kuasa oleh pentadbiran AS cuma kita tidak perasan sangat iaitu: penambahbaikan kepada sistem pengecaman wajah di kebanyakan lapangan terbang utama untuk memerhati individu yang meninggalkan negara tersebut. Biasanya, sistem ini digunakan untuk menangkap orang yang telah tinggal melampaui visa atau saspek yang dikehendaki untuk siasatan lanjut.
Kaedah pengecaman ini merupakan versi yang lebih hebat berbanding dengan sistem pengecaman wajah yang ada pada telefon bimbit atau komputer anda yang biasanya digunakan untuk mengecam wajah sahabat anda secara automatik. Terdapat juga pejabat kerajaan dan korporat yang menggunakan sistem pengecaman wajah untuk mengawal akses keluar masuk bangunan tertentu. Manakala, perniagaan pada masa kini telahpun menggunakan sistem pengecaman untuk menyesuaikan strategi pemasaran kepada pelanggan dari pelbagai latar belakang yang berbeza (umur, etnik, dsbg). Sebagai contoh, perniagaan bingkai kaca mata dan alat solek muka secara maya.
Namun demikian, terdapat kebimbangan yang tinggi terhadap privasi kehidupan manusia setelah meningkatnya penggunaan teknologi pengecaman ini. Ini dikuatkan lagi dengan anggaran jualan sistem tersebut bakal meningkat kepada AS$6 billion pada tahun 2021 berbanding AS$3 billion pada tahun ini. Alasan utama yang digunakan kerajaan untuk mengimplentasikan sistem tersebut sudah tentulah untuk pengawasan dan keselamatan negara. Terdapat juga laporan bahawa pihak FBI telahpun mempunyai pangkalan data imej untuk separuh penduduk AS itu sendiri. Kebimbangan mengenai salah guna teknologi ini juga boleh terjadi apabila berlakunya ancaman dalam talian atau pengintipan secara langsung terhadap pergerakan mana-mana individu.
Bagaimana Pengecaman Dilakukan?
Terdapat banyak sistem pengecaman berasaskan biometrik dan salah satunya adalah pengecaman wajah. Sistem ini akan meneliti ciri-ciri fizikal pada wajah seseorang dalam usaha untuk membezakan keunikan seseorang daripada yang lain. Selain itu, sistem padanan cap jari, imbasan iris mata dan pengecaman suara juga sering digunakan untuk pengecaman biometrik.
Untuk sistem pengecaman wajah berfungsi, data imej wajah yang tidak dikenali diambil untuk dianalisa dan dipadankan ke entri sedia ada dalam pangkalan data. Pengecaman wajah dilakukan dalam tiga langkah:
- Pengesanan
- Pembuatan cetakan muka
- Pengesahan atau pengenalpastian
Setelah sistem mengenalpasti kesemua wajah yang ada di dalam imej, ia akan melihat kesemua wajah tersebut dengan lebih mendalam. Imej mungkin perlu diorientasi semula atau diubah saiznya kerana wajah yang terkehadapan dengan kamera mungkin kelihatan miring atau sedikit regang manakala wajah yang jauh dari kamera kelihatan lebih kecil atau sebahagian wajah mungkin terhadang dari pandangan.
Setelah memperolehi saiz dan orientasi yang sesuai, cetakan muka akan dibuat. Sama seperti rekod cap jari, satu set cetakan wajah yang unik akan diambil. Elemen cetakan wajah termasuklah lokasi relatif ciri-ciri wajah, seperti saiz mata, kening, bibir dan bentuk hidung. Seseorang yang mempunyai mata yang kecil, kening yang tebal dan hidung mancung akan mempunyai cetakan muka yang sangat berbeza dari seseorang dengan mata yang besar, kening yang nipis dan hidung yang kembang. Mata juga mempengaruhi faktor utama dalam ketepatan pengecaman. Jika individu yang diperhatikan memakai cermin mata gelap yang besar, ketepatan perisian akan menjadi kurang.
Rangka wajah seseorang boleh dibandingkan dengan satu foto untuk pengesahan identiti orang yang dikenali. Sebagai contoh, akses pekerja keluar / masuk ke kawasan sensitif. Cetakan wajah juga boleh dibandingkan dengan pangkalan data imej untuk mengenal pasti individu yang tidak dikenali.
Kesukaran / Cabaran
Faktor utama yang mempengaruhi kerja pengecaman wajah adalah cahaya. Wajah yang jelas, tanpa bayang-bayang dan tidak menyekat pandangan kamera adalah yang terbaik. Tambahan lagi, jika imej wajah yang kontra warna latar belakang dan jauh dari lokasi kamera, proses pengecaman wajah akan menjadi lebih sukar.
Pencahayaan yang tidak sekata, sudut yang tidak tepat dan ekspresi wajah yang aneh boleh menyebabkan kegagalan pengecaman wajah.
Satu lagi cabaran yang sangat penting menjayakan pengecaman wajah adalah kerjasama individu yang menggunakan sistem terbabit. Individu yang menggunakan sistem pengecaman wajah akan melihat secara langsung pada kamera dengan pencahayaan yang betul. Ini akan membantu analisis pengesahan berjalan pada kadar optimum.
Orang yang tidak tahu bahawa wajah mereka sedang dianalisis juga mungkin tidak tahu bahawa wajah mereka sedang diuji oleh sistem pengecaman ini. Ini menyebabkan imej muka mereka lebih rumit untuk dianalisis. Wajah individu yang dipilih daripada celahan orang ramai perlu ditukarkan ke dalam bentuk digital dan dibesarkan untuk menghasilkan cetakan muka. Keadaan ini sebenarnya meninggalkan banyak ruang untuk sistem membuat pengecaman yang tidak tepat.
Kesukaran yang Dihadapi
Apabila sistem pengecaman wajah tersalah cam, beberapa masalah besar boleh berlaku bergantung pada tahap keselamatan lokasi tersebut. Sistem yang mengawal akses ke lokasi tertentu juga boleh melakukan kesilapan sekiranya berlaku penyamaran atau mempunyai wajah kelihatan hampir serupa dengan seseorang yang dibenarkan masuk. Terdapat juga kes sekatan masuk ke atas individu yang dibenarkan akibat kegagalan sistem untuk mengenal pasti dengan betul.
Dalam penguatkuasaan undang-undang, kamera pengawasan tidak selalunya memperolehi gambaran yang baik untuk mengesan wajah suspek. Ia juga boleh menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai seorang suspek – dan melepaskan penjenayah dengan begitu sahaja. Walaupun di dalam filem Mission Impossible 4 menunjukkan ketepatan sistem dalam mengesan suspek sangat tinggi, sebenarnya masih lagi terdapat ruang untuk kesilapan berlaku. Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan Amerika telah menganggarkan bahawa kadar kesilapan pengecaman wajah telahpun menurun sebanyak 50% setiap dua tahun (hanya 0.8% kesilapan). Ini adalah lebih baik berbanding sistem pengecaman suara, yang mempunyai kadar kesilapan melebihi 6%. Namun demikian, sistem pengecaman wajah masih mempunyai ralat yang lebih tinggi berbanding pengimbasan iris mata dan cap jari.
Kebimbangan Terhadap Privasi
Sistem pengecaman wajah menimbulkan kebimbangan privasi, tambahan lagi apabila ketepatannya pengesanannya semakin bertambah baik. Salah satu kebimbangan utama ialah peningkatan pangkalan data DNA. Ciri-ciri wajah dan foto anda semakin banyak disimpan oleh agensi-agensi kerajaan (dan bukan kerajaan) yang digunakan untuk proses menjejaki secara tepat sekaligus berpotensi mengganggu privasi anda.
Masalah privasi sentiasa timbul sepanjang masa. Aplikasi telefon pintar yang baru seperti FindFace membolehkan anda mengambil foto seseorang dan menggunakan pengecaman muka untuk mencari akaun media sosial mereka. Dengan cara ini, anda boleh berhubung dengan rakan yang telah lama terputus hubungan. Walau bagaimanapun, aplikasi ini juga boleh disalahgunakan. Penjenayah boleh menggunakannya untuk mendedahkan identiti orang lain untuk aktiviti peras ugut.
Sebagai contoh, keupayaan teknologi ini juga boleh digunakan untuk mencalar imej awam apabila polis mengeluarkan notis kanak-kanak hilang, gambar muka kanak-kanak tersebut boleh digunakan untuk mencari waris terdekatnya untuk meminta wang pampasan. Sehingga ke hari ini, undang-undang pengawasan terhadap salahguna sistem ini masih lagi longgar. Ini menyebabkan tiada siapa yang tahu sama ada wajah anda telahpun disalahgunakan pada sistem tersebut.
Sekiranya alat pengecaman wajah ini berfungsi dengan teknologi lain seperti kamera badan polis dan perisian geo-lokasi untuk pengesanan masa nyata Maka, pergerakan individu boleh diramalkan pada masa hadapan. Dengan penggabungan teknologi ini, memerangi jenayah boleh menjadi mudah namun ancaman terhadap privasi juga boleh terbuka dengan luas.
Teknologi ini boleh jadi sangat bermanfaat dengan undang-undang yang lengkap terutamanya jika digunakan di kawasan sempadan negara. Namun demikian, isu ketepatan, privasi dan etika perlukah difahami oleh penguatkuasa terlebih dahulu.
Adaptasi:
‘http://ift.tt/2fmu7mO
The post Bagaimanakah Sistem Pengecaman Wajah Bekerja? appeared first on Root of Science.
Sumber: RootOfSience
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :