Kami ditanya berkenaan satu post yang menceritakan kelebihan memakaikan emas pada kanak-kanak.
Post itu seperti link dibawah ini:
Kebaikkan Kesihatan Untuk Budak Kecil Pkai Emas . ..Dimana Kisah zaman Rasulullah Dulu telah diriwayatkan oleh Abu…
Posted by Dunia Mama Dan Si Manja on 29hb Ogos 2017
Post tersebut dimulakan dengan satu hadith nabi daripada Abu Daud
Daripada Abdurrahman bin Tarafah:
أَنَّ جَدَّهُ عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلَابِ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ
Maksudnya: Bahawa atuknya ‘Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya pada hari Peperangan Kulab. Kemudian dia memasang acuan hidung daripada bahan perak, lalu baunya busuk dan mengganggu beliau, maka Nabi SAW menyuruhnya mengambil hidung daripada jenis emas.(Hadis riwayat Imam Abu Daud (4232) dalam Sunan-nya)
Jika dilihat pada hadith ini, ia selalu digunakan untuk menunjukkan keharusan penggunaan emas bagi kaum lelaki terutamanya bila melibatkan perubatan. Ini kerana hukum asal bagi kaum lelaki adalah haram memakai peralatan yang terdiri daripada emas.
Adakah emas membantu dalam perubatan?
Sebenarnya logam emas terbukti membantu dalam bidang perubatan terutamanya dalam 2 perkara
1) Sebagai anti-microbial(membunuh kuman)
Beberapa kajian menggunakan emas yang terdiri daripada partikel nano boleh digunakan untuk membunuh jangkitan bakteria yang degil seperti jangkitan Methicillin Resistant Staphylococcus Areus(MRSA) dan juga beberapa jangkitan bakteria yang lain.
Walaupun kajian ini hanyalah kajian yang dibuat di dalam makmal, tetapi ia menunjukkan logam emas itu sendiri mampu membunuh kuman secara langsung.
Jika kita lihat dalam hadith tersebut, ia menyatakan bahawa ‘Arfajah bin As’ad mengadu hidungnya busuk sedangkan dia menggunakan hidung daripada perak. Daripada segi ilmu kedoktoran, bau busuk selalunya menandakan adanya jangkitan kuman dan luka tersebut masih tidak sembuh.
Maka, Nabi SAW menyuruh menukarkan hidung tersebut kepada hidung emas. Hikmahnya disini mungkin sifat anti-microbial emas tersebut telah membunuh bakteria pada bahagian hidung yang dijangkiti dengan kuman. Luka pun semakin sembuh lalu bau busuk pun hilang.
Ia menggunakan emas yang terus diletakkan pada bahagian hidung yang dijangkiti. Bukan memakainya sebagai perhiasan seperti gelang
2) Membunuh sel kanser menggunakan terapi photothermal dan radiofrekuensi
Terdapat kajian beberapa tahun kebelakangan ini dimana partikel nano emas digunakan dalam kajian untuk rawatan kanser. Dalam kajian tersebut, partikel nano ini disuntik dalam darah supaya ia berkumpul pada bahagian kanser.
Lalu, gelombang elektormagnet ditembak pada kanser tersebut untuk menghasilkan kenaikkan suhu tinggi dan menyebabkan kematian sel kanser itu
Ini merupakan salah satu perkembangan teknologi perubatan yang mungkin akan menjadi salah satu rawatan bagi pesakit kanser dimasa hadapan
Adakah emas membantu merawat penyakit yang lain?
Selain daripada itu, dalam post tersebut juga mengatakan bahawa ia dapat membantu kanak-kanak dalam 11 perkara serta penyakit iaitu:
1 – Lemah Jantung
2 – Masalah Parkinson
3 – Masalah gangguan dan penyakit yang berkaitan kemurungan dan kesedihan ,
4 – Mencantikkan Kulit
5 – Mengelak Rambut gugur
6 – Menerang dan menguatkan Mata
7 – menguatkan Semua organ Tubuh badan
8 – Menghapuskan Nafas berbau
9 – Menguatkan Semangat
10 – Menguatkan Firasat
11 – Merawat masalah Angau Bercinta
Tidak terdapat satu kajian pun yang mengatakan emas boleh memberikan semua kelebihan di atas. Dan sangat pelik untuk mengatakan kanak-kanak pun boleh mendapat parkinson ataupun angau bercinta. Selalunya orang dewasa sahaja yang akan berisiko untuk mengalami parkinson ataupun angau bercinta.
Kesimpulan:
Emas terbukti mampu merawat jangkitan kuman yang degil seperti MRSA. Ia digunakan dengan meletakkan emas tersebut secara langsung kepada tempat jangkitan ataupun luka yang masih belum sembuh disebabkan jangkitan kuman bukan dengan memakainya untuk perhiasan seperti gelang.
Penulisan daripada post tersebut hanyalah sangkaan yang masih tidak lagi mempunyai asas yang ampuh untuk dipercayai.
Jika anda beli untuk perhiasan isteri ataupun anak perempuan, dipersilakan.
Tetapi jika anda berharap dengan memakai perhiasan tersebut untuk merawat pelbagai penyakit hanya berdasarkan hadith nabi yang disalah ertikan, kami nasihatkan supaya fikir balik.
Risau nanti diakhirat kelak akan ditanya kerana membawa sesuatu perkara yang salah menggunakan nama Nabi SAW.
Rujukan:
- Hikisz, P.; Szczupak, Ł.; Koceva-Chyła, A.; Gu´spiel, A.; Oehninger, L.; Ott, I.; Therrien, B.; Solecka, J.; Kowalski, K. Anticancer and Antibacterial Activity Studies of Gold(I)-Alkynyl Chromones. Molecules 2015, 20, 19699-19718.
- Lima, E., Guerra, R., Lara, V., & Guzmán, A. (2013). Gold nanoparticles as efficient antimicrobial agents for Escherichia coli and Salmonella typhi. Chemistry Central Journal, 7, 11. http://ift.tt/2wTFs5l
- Yamada, M., Foote, M. and Prow, T. W. (2015), Therapeutic gold, silver, and platinum nanoparticles. WIREs Nanomed Nanobiotechnol, 7: 428–445. doi:10.1002/wnan.1322
The post Pakai perhiasan emas boleh merawat penyakit? appeared first on Root of Science.
Sumber: RootOfSience
LAYARI

LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :