Filem ‘The Curious Case of Benjamin Button’ lakonan Brad Pitt adalah dari adaptasi kisah pendek tulisan F. Scott Fitzgerald yang mengisahkan hidup seorang lelaki yang dilahirkan sebagai ‘orang tua’ dari segi perawakan, rupa paras dan kesakitan.
Salah satu babak dalam filem ‘The Curious case of Benjamin Button’
Disamping kisah percintaan beliau terhadap Daisy Fuller yang tidak pernah padam, filem ini menggambarkan betapa sukarnya Benjamin menghadapi hari-harinya yang tua sebelum usia. Benjamin terlihat mengalami scleroderma yang menyebabkan kulitnya tegang, lemah otot yang menyukarkan pergerakan, kehilangan pandangan mata yang memaksa beliau bergantung pada kacamata, kekurangan rambut (alopecia), kedut dan hilang keanjalan kulit dan pelbagai masalah penuaan lagi.
Scleroderma: Sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan tisu-tisu penyambung (connective tissue) mengeras.
Sebenarnya, keadaan Benjamin Button diadaptasi dari keadaan sebenar kanak-kanak yang mengalami kondisi PROGERIA.
PROGERIA: TUA SEBELUM USIA
Progeria diambil dari perkataan Greek – ‘pro’ bermaksud sebelum dan ‘geras’ bermaksud tua. Sindrom ini juga digelar ‘Hutchinson-Gilford progeria syndrome’ sempena dua orang doktor yang melaporkan keadaan ini secara terperinci, Jonathan Hutchinson dan Hastings Gilford.
Adalia Rose, kanak-kanak 10 tahun yang aktif memberi kesedaran tentang Progeria. Imej dari Adaliarose.com
Tidak seperti Benjamin, kanak-kanak yang dilahirkan dengan sindrom progeria kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda ketidaknormalan sehingga mereka mencapai usia 1.5 – 2 tahun. Ketika ini mereka mula menunjukkan pertumbuhan yang lambat, kehilangan lapisan tisu adipos (lemak) dan fungsi otot yang lemah.
Dari segi perawakan pula, wajah pengidap progeria adalah agak berlainan dengan hidung tajam dan kecil, wajah yang kecil dengan dahi lebar. Keadaan kulit juga kelihatan seperti orang tua dengan kedut-kedut mula kelihatan bila kanak-kanak tersebut membesar, scleroderma dan salur-salur darah yang menonjol di permukaan kulit.
Atheroclerosis: Keadaan dimana pertumbuhan deposit atau plaque berlaku pada pembuluh darah. Menyebabkan salur darah menyempit dan menggenggu aliran darah. Kadang-kala menyebabkan penyumbatan pada salur darah tersebut.
Kebiasaannya, pengidap progeria hidup sehingga usia belasan tahun sahaja. Kerana ketika ini mereka sudah mula dihinggapi penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang dan atherosclerosis. Mereka juga biasanya mempunyai masalah penglihatan seperti orang yang sudah berusia.
BAGAIMANA PROGERIA BOLEH BERLAKU?
Progeria adalah suatu misteri sains shingga saintis menemui kebolehan untuk mentafsir jujukan genom manusia. Hasil analisis genom dan transkriptom dari De Sandre-Giovannoli et al. (2003) menunjukkan pertukaran satu nukleotida C kepada T pada jujukan nukleotida ke-1824 dalam gen yang mengekodkan protein Lamin A (gen LMNA).
Tahukah anda?
Jujukan nukleotida dibaca bertiga-tiga. Jujukan bertiga-tiga nukleotida ini dipanggil kodon. Kodon mengekodkan satu asid amino.
Menariknya, pertukaran nukleotida ini sebenarnya tidak langsung memberi kesan terhadap jujukan asid amino kerana kodon tersebut masih mengekodkan asid amino Glycine. Jadi sepatutnya pertukaran ini tidak membawa masalah kerana jujukan asid amino yang akan membina protein Lamin A tidak berubah, kan?
Sebenarnya, kesilapan atau pertukaran satu nukleotida ini menjejaskan pemprosesan jujukan mRNA yang digunakan sebagai templat untuk dibaca oleh ribosom untuk membina rangkaian asid amino menjadi protein. Kesilapan jujukan nukleotida ini menyebabkan templat mRNA tersebut salah diproses dan tidak boleh menjadi templat untuk membina protein Lamin A yang sempurna.
Tahukah anda?
Satu jenis asid amino yang membentuk protein dikodkan oleh beberapa kodon. Asid amino Glycine contohnya dikodkan oleh kodon: GGA, GGG, GGC dan GGT
Protein Lamin A sangat penting untuk membina struktur nukleus sel yang sempurna. Tanpanya, struktur nukleus akan terjejas dan mungkin akan menyebabkan ketidakstabilan genom.
Kanak-kanak pengidap progeria. Atas kanan: struktur nukleus normal, Bawah: Struktur nukleus kanak-kanak pengidap progeria. Imej dari Wikipedia
Kini, ratusan mutasi terhadap gen yang mengekodkan protein Lamin A telah dikenalpasti. Kegagalan pembentukan Lamin A mungkin menyebabkan ia membentuk jujukan protein yang digelar Progerin yang kini dikesan banyak terdapat pada orang berusia sebagai tanda penuaan.
Imej dari www.progeria.be
Tdak seperti kisah Benjamin Button yang semakin berusia semakin muda. Kanak-kanak progeria akan mengalami penuaan (sebelum waktunya) bila semakin meningkat usia. Pada usia sepuluh tahun, mereka akan mula mengalami keadaan fizikal dan kesihatan seperti manusia berumur 70-80 tahun. Setakat ini tiada lagi ubat-ubatan atau terapi yang berkesan untuk merawat progeria. Namun, kajian tentang progeria membuka pintu yang luas untuk kita mengkaji tentang proses penuaan yang menjadi misteri sekian lama.
RUJUKAN
De Sandre-Giovannoli A, Bernard R, Cau P, Navarro C, Amiel J, Boccaccio I, Lyonnet S, Stewart CL, Munnich A, Le Merrer M, Lévy N. Lamin a truncation in Hutchinson-Gilford progeria. Science. 2003 Jun 27;300(5628):2055-.
Gonzalo S, Kreienkamp R, Askjaer P. Hutchinson-Gilford Progeria syndrome: a premature aging disease caused by LMNA gene mutations. Ageing research reviews. 2017 Jan 31;33:18-29.
Wheaton K, Campuzano D, Ma W, Sheinis M, Ho B, Brown GW, Benchimol S. Progerin-Induced Replication Stress Facilitates Premature Senescence in Hutchinson Gilford Progeria Syndrome. Molecular and Cellular Biology. 2017 May 8:MCB-00659.
The post Sindrom Benjamin Button appeared first on Root of Science.
Sumber: RootOfSience
LAYARI

LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :