Hidup di Malaysia sudah tentu lidah kita sudah termanja-manja oleh rasa yang kaya dan pelbagai dari pelbagai jenis juadah dan makanan yang boleh didapati diseluruh pelosok negara.
Namun, tahukah anda? Bukan rasa hati saja yang selalu tertipu dan ditipu oleh cinta, tetapi rasa di lidah juga boleh tertipu dengan kehadiran beberapa kompaun alami yang istimewa.
Terdapat beberapa jenis daun dan buah yang mampu mengubah deria rasa dilidah, dari manis kepada masam. Lidah kita mempunyai protein yang terdiri dari reseptor-reseptor rasa yang bertaburan diseluruh lidah untuk mengesan rasa manis, masam, masin, pahit dan umami. Terdapat juga deria rasa yang dapat mengesan persepsi pedas (cili) dan sejuk (seperti menthol).
Tahukah anda?
Deria rasa tidak mempunyai kawasan-kawasan khusus dibahagian lidah. Reseptor rasa ini bertaburan diseluruh lidah, tekak dan esofagus. Jadi rasa manis boleh dirasa diseluruh bahagian lidah seperti rasa-rasa yang lain.
Sensasi masin dan masam contohnya dikesan melalui perubahan polarisasi reseptor melalui laluan ion (ion channel) dan rasa pahit, manis dan umami dikesan oleh signal berlandaskan reseptor bergandingan protein G (G-coupled receptor).
Terdapat beberapa tumbuhan yang dikatakan dapat mengubah sensasi rasa ini:
Buah / Beri Ajaib (Miracle fruit / berry)
Buah ajaib dari pokok Synsepalum dulcificum yang berasal dari Afrika Barat ini dapat menukarkan makanan masam yang kita makan berasa manis. Buah ajaib ini mengandungi sejenis glikoprotein yang digelar miraculin.
Buah ajaib (Imej dari Wikipedia)
Miraculin tidak mempunyai rasa manis. Namun, apabila anda mengunyah buah ajaib ini, glikoprotein miraculin darinya akan menambat pada reseptor rasa manis. Keadaan ini akan ‘menutup’ rasa manis dari dikesan oleh reseptor. Jadi, jika anda memasukkan gula sekilo pun kedalam mulut, tiada rasa manis dapat dikesan. (Tapi senyuman manis masih dapat dikesan mata dan turun kehati, ok).
Jika anda mengambil makanan berasid, ia akan menyebabkan perubahan bentuk pada miraculin. Ini juga menyebabkan reseptor manis yang melekat pada miraculin tadi diaktifkan. Jadi, cuka yang sangat masam pun akan terasa sangat manis. (Alangkah indahnya jika ada miraculin untuk mengubah memori masam kepada manis, kan?)
Kesan perubahan ini boleh bertahan selama 30-60 minit.
Lumbah (Curculigo latifolia/ Molineria latifolia)
Pokok ini berasal dari Malaysia (dan terdapat di negara sekitar seperti Vietnam dan Thailand). Buah dari pokok lumbah ini mengandungi protein curculin (atau disebut juga neoculin). Ia juga mampu mangubah rasa masam kepada manis seperti miraculin yang terdapat dalam Buah ajaib. Namun, konformasi protein curculin pada lumbah adalah istimewa dan sangat berlainan dari miraculin.
Curculin mempunyai rasa manis. Ia mampu mengaktifkan reseptor manis, lebih 400 kali ganda dari gula sukrosa (gula putih biasa).
Buah diperdu lemba atau lumbah (Imej kredit Ahmad Fuad Morad)
Yerba Santa (Eriodictyon californicum)
Pokok Yerba Santa yang biasa terdapat di California dan Oregon, USA ini mengandungi kompaun-kompaun flavonones seperti sterubin, homoeriodictyol dan eriodictyol.
Kompaun flavonones ini mempunyai kebolehan untuk ‘menghilangkan’ rasa pahit dalam mulut jika anda memakan makanan yang memberikan rasa pahit. Ia dikatakan dapat menghilangkan 40% rasa pahit paracetamol dan quinine.
Lidah biasa menipu orang, namun ia juga bisa menipu diri sendiri.
RUJUKAN
Koizumi, Tsuchiya, Nakajima, Ito, Terada, Shimizu-Ibuka, Briand, Asakura, Misaka & Abe. (2011). Human sweet taste receptor mediates acid-induced sweetness of miraculin. PNAS
Yamashita H, Akabane T, Kurihara Y (1995). Activity and stability of a new sweet protein with taste-modifying action, curculin. Chem. Senses. 20 (2): 239–43
Ley JP, Krammer G, Reinders G, Gatfield IL, Bertram HJ (2005). Evaluation of bitter masking flavanones from Herba Santa (Eriodictyon californicum (H. and A.) Torr., Hydrophyllaceae). J. Agric. Food Chem. 53 (15): 6061–6
Sumber: RootOfSience
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :