RootOfSience

Doktor, kenapa saya perlu habiskan semua antibiotik saya?

Doktor biasanya akan memberi preskripsi untuk antibiotik secara empirikal untuk kes yang ringan seperti jangkitan tekak, mata dan kulit yang ringan. Diagnosa dan rawatan adalah berdasarkan simptom dan ciri-ciri jangkitan yang ditunjukkan oleh pesakit.

Namun ujian makmal perlu dilakukan untuk mengenalpasti bakteria yang betul (bagi kes jangkitan yang berulang, jangkitan sistemik atau jangkitan memberikan simptom yang teruk dan kritikal) supaya antibiotik yang tepat dapat diberikan.

Mengapa kita perlu mengambil antibiotik secara berterusan dalam tempoh yang diberikan doktor?

Kebiasaannya, kita akan menasihati oleh doktor untuk mengambil dos antibiotik pada sela masa tertentu untuk beberapa hari tertentu (contohnya makan dua kali sehari selama 5 hari). Mengapa ya?

Objektif pengambilan antibiotik adalah untuk memusnahkan bakteria yang terdapat dalam tubuh.

Kita andaikan tubuh kita adalah medan peperangan, bakteria adalah musuh dan antibiotik adalah peluru atau senjata yang kita gunakan untuk melawannya. Kita perlu senjata yang ampuh dan cukup setiap masa untuk mengalahkan musuh kita, bukan?

Jadi kita perlukan aras antibiotik yang optimum pada masa yang tertentu untuk menghapus jangkitan tersebut dari tubuh kita.

Photo credit: inmilitary.com

Photo credit: inmilitary.com

Salah tanggapan umum bahawa ‘ubat’ akan duduk dalam tubuh kita dalam jangka waktu yang sangat lama (ada yang mengatakan sehingga bertahun-tahun). Sebenarnya, seperti makanan yang kita makan, ubatan juga akan dicerna dalam tubuh dan dikumuhkan keluar dari sistem kita.

Setiap kali kita makan antibiotik, ia akan dikumuh keluar dari sistem tubuh kita dan dosnya akan berkurangan masa demi masa. Jadi kita perlu sentiasa mengambil dos antibiotik pada sela masa yang ditetapkan supaya aras antibiotik tetap berada pada aras optimum untuk membunuh bakteria dalam tubuh kita.

Ubatan yang diambil adalah seperti air di dalam baldi yang bocor. Sentiasa dikumuh keluar dari tubuh. Dos perlu diambil supaya parasnya sentiasa optimum.

Ubatan yang diambil adalah seperti air di dalam baldi yang bocor. Sentiasa dikumuh keluar dari tubuh. Dos perlu diambil supaya parasnya sentiasa optimum.

Jika kita sudah rasa pulih dari jangkitan, jangan hentikan pengambilan antibiotik. Teruskan sehingga antibiotik yang dibekalkan oleh doktor habis.

Ini kerana, mungkin saja bilangan bakteria tersebut sudah berkurangan dan tidak mendatangkan sebarang kesan simptom jangkitan atau infeksi lagi. Tetapi bilangan sedikit yang tinggal itu boleh kembali membiak dan aktif jika kita berhenti mengambil antibiotik tersebut.

Akibatnya, musuh kita itu bukan saja tidak dapat dihapuskan, malah akan terus merebak dalam tubuh. Tambahan lagi, perkara yang tidak kita ingini mungkin berlaku – bakteria tersebut boleh ‘belajar’ untuk menghalang dari antibiotik tersebut membunuhnya. Dari sinilah kerintangan bakteria terhadap antibiotik terjadi.

Jadi, jangan nakal-nakal… sila habiskan antibiotik anda!
Baca juga artikel ‘Apakah itu antibiotik?’
Penulis: Cisplatin


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.