RootOfSience

BUMI MENDATAR VS BUMI SFERA Bahagian 1

Perdebatan lama telah muncul kembali. Teori bumi mendatar sudah lama dibahaskan dan dibuktikan semenjak 600 tahun sebelum masihi lagi oleh ahli-ahli falsafah Greek seperti Pythagoras, Aristotle (350BC), Erathosthenes dari Cyrene (240BC), Hipparchus dari Nicaea (140BC), dan seterusnya di zaman kegemilangan Islam Ibnu Hazm dan lain-lain lagi.

Timbul pula permasalahan dari Ptolemy yang membangkitkan isu bumi berada di tengah-tengah cakerawala (Ptolemaic System) dimana bintang-bintang dan bulan mengelilingi bumi. Kemudian hujahnya ‘disambut’ oleh Copernicus, Giordano Bruno, Kepler dan lain-lain lagi.

Namun demikian, di zaman moden ini iaitu lebih kurang pertengahan 1800, Samuel Rowbotham pula menimbulkan balik permasalahan bumi mendatar sehinggakan menubuhkan the Flat Earth Society dan ini lebih serius dan keresahan dikalangan orang-orang yang beragama & ateis.

Diantara hujah-hujah Teori Bumi Mendatar adalah seperti berikut:

1. Gambar-gambar di angkasa raya adalah helah semata-mata
2, Video di ISS dirakamkan di Zero-G Plane
3. Kutub Antartika adalah tembok yang tidak mampu untuk detembusi
4. Bumi tiada lengkungan
5. Tarikan graviti tidak wujud!
6. Matahari adalah lebih dekat dari yang disangka
7. Tiada langit yang wujud, cuma kubah kaca (tidak semua)
8. Gerhana bulan hanyalah bayang-bayang semata-mata
9. Roket tidak mampu ke angkasa lepas
10. NASA dipengaruhi oleh Nazi

Hujah-hujah diatas adalah tidak masuk akal dan pelik. Kita boleh menjawab secara logik akal, teori & pembuktian sains dan hujah Al-Quran di perenggan seterusnya. Permasalahan ini mungkin juga disebabkan terlalu obses dengan Teori Konspirasi yang terlalu mengakar dalam masyarakat kita sekarang ini.

Jika kita meneliti laporan, terdapat sekurang-kurangnya 2271 satelit yang masih mengelilingi bumi dikala ini seperti yang dilaporkan Goddard Space Flight Center. Dimana, Rusia yang terbanyak (1324 satelit) diikuti Amerika (658 satelit).

Satelit ISS yang berada di angkasa

Ia tidak termasuk ‘sampah’ satelit yang sudah luput dan masih terapung lagi. Jika dilihat begitu banyaknya satelit diatas sana, tidak pernah satu pun satelit ‘melaporkan’ bumi itu mendatar.

Malah satelit Jepun merakam gambar bumi setiap 10 minit seperti yang dilaporkan The New York Times (10/7/2015). Dari situ kita juga dapat melihat posisi kutub antartika berada di kutub selatan bumi. Cuma, terdapat sedikit ilusi optik mengenai keluasan sesuatu negara apabila ‘dibentangkan’ dalam satah planar (2D-ini lain bab).

PENJELASAN BERKENAAN LENGKUNGAN YANG TIDAK KELIHATAN

Tiada lengkungan yang kelihatan adalah kerana kita berada pada jarak pendek bumi. Soalan yang perlu ditanya kepada para pendukung teori bumi mendatar sebetulnya adalah, bolehkah pendaki Everest melihat menara Eiffel, menara Shanghai atau Burj Al-Khalifa dari puncak sana jika bumi itu mendatar?

Oh ya, mungkin juga terdapat halangan awan. Oleh yang demikian, bagaimana pula kapal besar yang ‘tenggelam’ di lautan yang jauh? Teori Bumi Mendatar juga berpendapat matahari hanya berlegar-legar dan membuat orbit yang bulat atas bumi yang leper.

Satu argumen yang perlu dijawab adalah, ‘Bagaimana siang dan malam bersilih ganti? Bagaimana pula tenggelam dan terbitnya matahari?’ Jawapan yang diberikan hanyalah dibebabkan vanishing point according to your eye level!

Nah, jawapan mereka sudah menjawab balik, aras mata kita tidak selari dan umum mengetahui cahaya bergerak lurus, maka matahari tenggelam. Sekiranya kutub utara artik yang berada ditengah-tengah bumi yang leper, pastinya sudah lama cair.

Bumi kelihatan melengkung ketika berada di sesuatu aras ketinggian

PENJELASAN BERKENAAN GRAVITI

Barangkali ramai yang melihat angkasawan seolah-olah terapung di dalam ISS. Ianya bukan kerana tiadanya graviti kerana bulan pun berada di orbitnya disebabkan graviti antara bumi dan bulan juga. Jadi, masakan ISS yang lebih hampir dengan bumi tiada graviti?

Sebetulnya, graviti itu wujud tetapi kurang, tambahan pula pergerakan ISS yang terlalu laju (lebih kurang 17150 mph). Ianya seolah-olah angkasawan merasai free-fall. Bagaimana begitu laju dan tiada enjin yang kelihatan? Kerana ianya sudah berada pada orbit dan ianya bergerak melalui law of orbital mechanics, dimana setiap ketinggian ada orbiting velocity yang tertentu (ini lain bab).

Jika begitu laju, bagaimana angkasawan berjalan atau bergerak? Ketika mana ISS orbit freely, angkasawan dan ISS mengikuti laluan yang sama mengelilingi bumi. Ini memberi maksud, angkasawan tidak mempunyai gerakan relatif kepada ISS, jadi hakikat bahawa mereka mengorbit pada kelajuan tinggi tidak menyebabkan apa-apa kuasa/daya keatas mereka dari kapal angkasa. Tambahan pula, tiada apa-apa rintangan udara untuk ISS bergerak selaju itu.

Pendukung Teori Bumi Mendatar juga ada mempersoalkan tentang kewujudan tarikan graviti. Hujah mereka dimana kita masih ‘melekat’ di atas tanah kerana bumi bergerak dengan tujahan keatas. Malahan bumi bergerak dengan pecutan yang sama dengan tarikan gravity (9.81m/s^2). Yang menolaknya juga adalah dark energy. Ini adalah suatu hujah yang terlalu pelik untuk diterima akal.

Pertama sekali adalah kenapa dark energy itu ‘menolaknya’ pada satu arah! (iaitu keatas sahaja). Yang kedua, dua eksperimen yang penting sepanjang zaman juga telah membuktikan graviti itu wujud; 1) kesan pembengkokkan cahaya dari gerhana melalui teori relativity dan 2) gelombang gravity (gravitational waves) melalui LIGO eksperimen. Ketiga, pelancaran roket dengan sedikit kecenderungan untuk ‘melepasi’ tarikan gravity yang disebutkan gravity turn dalam space mechanics.

Saintis terdahulu menjumpai bahawa cahaya boleh dibengkokkan oleh sesuatu yang mempunyai jisim yang besar seperti planet

LIGO merupakan pusat kajian yang telah menemui kewujudan gravitational waves

Banyak sekali pembuktian wujudnya graviti seperti dalam penerokaan angkasa lepas yang menggunakan kaedah Hoffman’s Transfer, proses pendaratan Mars Rovers dan sebagainya. Boleh juga dilihat dalam formula Newton’s Gravitational Law F_G=G (m_1 m_2)/R^2 pada tahun 1687 yang telah banyak dibuktikan dan digunapakai untuk masalah tarikan gravity diantara two bodies. Barangkali tidak ramai yang mengetahui, R^2 tersebut menunjukkan bumi itu sfera!

BUMI SFERA MENGIKUT AL QURAN

Sebelum saya menutupi hujah-hujah dengan logik akal dan sains, eloklah ditelitikan kembali hujah dalam Al-Quran.

Memang tidak dinafikan terdapat satu ayat Al-Quran iaitu Surah Al-Ghaasiyah ayat ke-20, yang bermaksud “Dan bumi, bagaimana ianya dibentangkan?” Maka dengan itu ramai ahli-ahli tafsir (yang bukan dalam aliran sains-agama) mentafsirkannya sebagai suatu hamparan.

Tetapi kita perlu lihat dari pandangan Imam Abul’I-Husayn Ahmad Ibn Ja’far Ibn Al-Munaadi (Majmu’ Al-Fataawa 25/195), Imam Abu Muhammad Ibn Hazim dan Abu’l-Faraj Ibn Al-Jawzi (Majmu’ Al-Fataawa 6/586 dan Al-Fasl Fi’l-Milal wa’l-Ahwa’ wa’l-Nihal 2/78) sebagai ulama’ Islam yang berlatar-belakang sains. Diantara hujah-hujah mereka adalah, surah Az-Zumar ayat 5, yang bermaksud “Dia (Allah) yang menciptakan langit dan bumi untuk tujuan sebenar. Dia menjadikan malam melingkari siang dan menjadikan siang melingkari malam”.

Perkataan ‘melingkari’ sudah cukup memberi maksud membuat sesuatu pusingan dan meyeliputi. Allah mengatakan ianya suatu hamparan kerana bumi adalah besar dan kelengkungannya tidak boleh dilihat dari jarak yang pendek. Ia kelihatan tersebar luas, tetapi ini tidak bercanggah dengan fakta bahawa bumi berbentuk bulat dan sangat besar (dari kaca mata manusia). Segala puji-pujian bagi Allah dan Maha Suci Allah dari segala kesilapan.

WAllahua’lam.
-hamba Allah yang terhad pengetahuannya, HN-

Rujukan:
Patrick Moore. (2003) Teach Yourself: Astronomy. Hodder & Stoughton Ltd
http://ift.tt/1OZN2vp

http://ift.tt/2gzTUWy
http://ift.tt/2hACG9n
http://ift.tt/2gzVCqV

(gambar diambil dari: http://ift.tt/16hCjef, http://ift.tt/2gA5Ebx, http://ift.tt/1OqGTLr )


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.