Nama saya Zainab Mai Pampo, 26 tahun.
Saya ingin berkongsi diari perceraian saya dengan anda semua. Saya
berkahwin dengan sepupu jauh saya, Abdul Samad, ketika tahun pertama
saya berada di universiti. Secara jujur, saya tidak begitu mengenalinya.
Kami dipadukan oleh ibu bapa kami. Ramai yang kata saya bertuah dan dia
merupakan seorang lelaki yang baik, soleh dan tinggi pengetahuan
agamanya. Selain itu, dia juga mempunyai pendidikan yang tinggi dan
kerjaya yang bagus di industri minyak dan gas.
Disebabkan itu juga, ibunya keluar
mencari perempuan yang sesuai untuk dijadikan sebagai isteri kepada
anaknya dan begitulah ceritanya saya dipilih menjadi isteri kepada Abdul
Samad.
Saya tidak tahu yang ibu Abdul dengan
ibu saya telah bersetuju untuk menyatukan kami. Saya sendiri tidak tahu
yang saya akan bertunang dengannya.
Sebelum itu, saya pulang ke kampung
untuk menziarahi datuk dan nenek di Macina. Bila saya pulang, keluarga
saya telah menerima pinangan dari keluarga Abdul tanpa pengetahuan saya.
Dan begitulah ceritanya saya bertunang dengan lelaki itu.
Tarikh pernikahan kami ditetapkan enam
bulan kemudian bermula dari tarikh kami bertunang. Dan dalam tempoh itu
juga kami diberi peluang untuk mengenali hati budi masing-masing.
Saya benar-benar terkejut dengan sikap
Abdul yang sebenarnya seorang lelaki panas baran. Pernah beberapa kali
saya mengadu perkara itu kepada ibu saudara saya tetapi mereka semua
berkata,
“Bila awak jadi isteri dia kelak, awak akan mampu mengubah perangainya. Dia akan berubah demi awak.” atau,
“Bersabar sajalah dan dia pasti akan berubah selepas berkahwin.”
Selepas berkahwin, saya sedar bahawa
suami saya bukanlah seperti yang dikatakan sebelum ini. Selepas
berkahwin, dia paksa saya berhenti dari universiti. Ibu bapa saya tahu
akan perkara ini sebab saya memberitahu mereka tetapi mereka nasihatkan
saya akur dan hormat pada kehendak suami. Saya akhirnya terpaksa akur,
lagipun syurga di bawah telapak kaki suami.
Abdul berhenti sembahyang, malah sebelum
kahwin lagi dia sering mengingatkan saya agar jangan tinggalkan lima
waktu. Tetapi dia sendiri benci bersembahyang.
Kami pernah bergaduh sebab saya kejutkan
dia untuk bangun solat subuh. Dia sangat marah kerana saya kejutkan dia
untuk bangun sehingga saya ditampar dua kali dan diberi amaran agar
tidak mengulanginya lagi. Saya menggigil ketakutan. Saya tak pernah
ditampar di muka sejak dari kecil, walaupun ibu bapa saya sendiri.
Sejak dari hari itu, suami saya kerap
memukul, menampar dan menendang saya. Pada mulanya saya menyangka dia
mempunyai masalah di tempat kerja sehingga menyebabkan dia menghadapi
tekanan. Tetapi bulan berganti bulan sehinggalah setahun dia kerap
membelasah saya dengan lebih teruk dan ganas.
Adakalanya dia akan memukul saya
menggunakan tangan sahaja. Jika dia tiada mood, dia akan gunakan tali
pinggang, alat pengecas dan lampu untuk memukul saya.
Dia seolah-olah begitu benci melihat
saya. Tidak cukup dengan menyeksa saya, dia akan kerap memuji kelebihan
bekas kekasihnya di depan muka saya. Adakalanya dia akan berbual dengan
perempuan itu dan sengaja membiarkan saya mendengar perbualan mereka.
Tidak cukup dengan itu, dia juga mengkritik yang badan saya tidak setanding dengan bekas teman wanitanya.
“Awak ni hodoh macam babi, pergunakan ibu bapa saya untuk mendapatkan saya. Menjijikkan!” kata Abdul pada saya.
Satu hari, saya mengadu pada ibunya dan
menyangka wanita itu akan melindungi saya tetapi saya silap besar. Ibu
mertua saya hanya ketawa dan berkata,
“Awak ini betul-betul perempuan degil.
Macam mana dia tak pukul awak kalau awak tak provok dia? Isteri yang
bijak akan tahu bagaimana menangani mood suami mereka. Atau awak
sebenarnya suka dipukul oleh dia?” kata ibu mertua.
Saya terdiam dan tidak percaya yang ibu mertua berkata sedemikian.
“Kalau awak nak hubungan rumah tangga
awak berjaya, awak perlu belajar menguruskan suami awak, jadi tiadalah
perempuan lain yang akan datang menghampirinya.
“Awak juga perlu bijak menjaga imej
suami. Jika awak beritahu kepada orang lain mengenai apa yang awak
beritahu pada saya, awak fikir orang lain akan hormat pada suami awak
terutamanya ahli keluarga dan kawan-kawan?” katanya lagi.
Saya termenung seketika, apakah betul
apa yang diperkatakan oleh ibu mertua? Saya dibelasah sebab saya tidak
pandai menguruskan suami? Mungkin saya perlu belajar menjadi isteri yang
lebih baik.
Jadi, saya berubah dengan memasak
makanan yang sedap, kerap senyum dan elakkan diri dari mendengar
perbualan dia dengan bekas kekasihnya. Saya cuba untuk banyak berdiam
diri ketika di rumah hampir seminggu dan berjaya. Tetapi, dia sekali
lagi memukul saya dengan lebih teruk. Parut di badan bertambah-tambah.
Sejak awal perkahwinan, kami tidur di
bilik berasingan dan dia sudah mula memecahkan pintu bilik saya pada
waktu malam untuk memaksa saya …. dan adakalanya dia akan merayu pada
saya. Saya tidak dapat berbuat apa atau berkata apa, saya rasa sungguh
tidak berdaya.
Pernah cuba untuk melawan dan keluar
dari rumah tetapi kerap teringat kata-kata ibu mertua yang mahukan saya
menelan segala kepahitan itu. Saya mahu menjadi isteri yang baik, yang
boleh dibanggakan oleh suami. Saya cuba berusaha tetapi keadaan menjadi
semakin buruk.
Satu hari, saya dibelasah dengan teruk
dan hampir mati kerana dia berang makanan yang dihidangkan telah basi.
Saya baru mahu memohon maaf tetapi ditampar dan terjatuh ke lantai,
sebelum ditendang dan dipukul bertubi-tubi.
Pada masa itu, saya baru mengandung
beberapa bulan. Saya gunakan seluruh kekuatan yang ada untuk melindungi
kandungan ini menyebabkan dia semakin galak menendang saya.
Saya sudah puas mengalami keguguran.
Saya takkan biarkan dia bunuh kandungan ini. Tidak sama sekali!
Tiba-tiba saya kumpulkan seluruh tenaga dan menolak badannya. Dia
terkejut dan tergamam seketika. Saya terus berlari keluar dari rumah
menuju ke jalan besar seperti orang gila dengan keadaan rambut terurai,
pakaian terkoyak sehingga menampakkan baju dalam, muka lebam, mata
lebam.
Orang ramai hanya memandang saya dan
tiada seorang pun yang menegur saya melainkan memandang sahaja. Saya
lari sejauh yang mungkin tanpa sebarang hala tuju. Saya hanya ingin mati
dan mengakhiri segala penderitaan ini dan bebas dari Abdul Samad. Saya
lari dan lari sehinggalah sampai di pintu hospital dan pengsan.
Beberapa jam kemudian, saya tersedar di
katil hospital. Saya dimaklumkan saya mengalami keguguran. Saya sedih,
saya keguguran kerana saya mahu belajar ‘menguruskan’ suami saya.
Saya berada di hospital selama 10 hari
dan suami saya langsung tidak datang melawat. Hanya ibu mertua yang
datang melawat pada hari ketujuh dan membawa surat perceraian anak
lelakinya itu.
“Saya ceraikan awak dengan talak satu kerana tidak balik ke rumah dan keluar dari rumah tanpa kebenaran.
“Saya akan menerima awak kembali jika
awak mengaku menyesal dengan perbuatan awak dan meminta kemaafan dari
saya dan ibu saya,” tulisnya dalam surat tersebut.
Saya hampir tergelak membaca ayat terakhir itu. Boleh bayangkan?
Ibu mertua bayar kos perubatan dan
memberi saya sedikit wang untuk pulang ke rumah ibu bapa saya. Ibu bapa
saya pada awalnya menyangka saya yang bersalah dalam hal ini dan memberi
teguran pada saya. Namun selepas 8 bulan, Abdul atau keluarganya
langsung tidak menunjukkan sebarang bayangan untuk datang dan barulah
ibu bapa saya sedar dan mula percaya dengan apa yang saya beritahu
mereka selama ini.
Ahli keluarga yang lain masih
menyalahkan saya di atas perceraian itu. Parut masih berbekas di badan
dan mengingatkan saya akan penderitaan yang lalu setiap kali melihatnya.
Saya bersyukur pada Allah yang membawa
saya keluar dari perkahwinan itu. Meninggalkan lelaki itu adalah satu
perasaan lega yang tidak terkata.
Kepada mana-mana wanita yang membaca
diari saya ini dan jika anda berada di situasi yang sama, tolong
selamatkan diri anda. Tiada gunanya bertahan kerana lelaki seperti itu
tidak menghormati anda dan dia tidak akan berhenti melakukan perbuatan
ganas tersebut. Lebih baik bercerai dari mati secara perlahan-lahan
dipukul oleh lelaki seperti itu. Terima kasih kerana sudi baca diari
saya. Kredit:- MymediaHub
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :