RootOfSience

Buat Rawatan ALTERNATIF untuk kanser. Akhirnya, terdampar di hospital juga

Anak seorang pesakit menangis teresak-esak sebelah tubuh bapanya yang sudah terbujur kaku.

30 minit sebelum itu

Seorang pesakit berumur lebih kurang 65 tahun datang ke jabatan kecemasan disebabkan sesak nafas. Anaknya pun ikut sekali bersama ayahnya.

“Ayah saya ni sebenarnya ada kanser usus“, anaknya berkata dengan nada yang lemah

“Dah berapa lama?”, aku bertanya

“Dia kena kanser dah 2 tahun. Puas saya pujuk untuk buat rawatan hospital. Tapi bapa masih degil. Tetap percaya dengan rawatan ‘alternatif’nya itu. Segala macam produk dia ambil. Daripada jus durian belandanya, teh reramanya, stokin Far infrarednya dan berbagai lagi. Dah sesak nafas macam ni baru dia sendiri minta ke hospital”, Jelas anaknya dengan panjang lebar

 

Aku mengangguk tanda faham. Terbit perasaan geram kepada sikap penjual produk-produk tersebut

Ini bukanlah kali pertama pesakit kanser datang dalam keadaan teruk kerana menolak rawatan hospital.

Sebelum ni pun aku pernah lihat ibu yang baru sahaja berumur 30 tahun kena kanser payu dara dan menolak rawatan hospital. Katanya nak buat rawatan ‘alternatif’.

Akhirnya, datang balik ke hospital disebabkan meracau dan sawan. Kerana kanser telah merebak ke otak dan merosakkan fungsinya

Anak-anaknya yang masih kecil menangis meraung-raung ketika ibu itu pergi buat selamanya.

Masa itu,

Aku terfikir bagaimana nasib anak-anaknya yang masih kecil.
Siapakah yang akan menjaganya?
Adakah mereka sudah cukup kasih sayang daripada seorang ibu ketika ibu itu masih hiduo?
Cukupkan kasih sayang itu hanya diberikan oleh seorang bapa?
Adakah anak-anak itu akan membesarkan dengan akhlak dan adab yang baik?

Sebab itu aku membenci mereka yang mengatakan produk mereka boleh sembuhkan kanser.

Bukan benci individu tersebut. Benci perangai mereka yang tidak beretika.
Benci kepada bagaimana mereka mengambil kesempatan daripada orang-orang yang terdesak macam ini.
Benci kepada perkataan mereka yang memfitnah perubatan moden.

Akhirnya pesakit seperti ini akan datang balik ke hospital dalam keadaan yang teruk.

Penjual produk terus kaya.
Orang teranaiya mati begitu sahaja

Aku terhenti daripada lamunan apabila juru x ray datang. X-ray dada diambil dan kelihatan dua belah paru-paru pakcik tersebut diperuhi dengan cecair. Keadaan ini dinamakan sebagai Pleural effusion.

Sah. Aku dah jangka yang kanser itu sudah merebak ke dalam paru-paru. Mesin yang membaca kepekatan oksigen dalam darah pun menunjukkan bacaan 80% sahaja. Apabila topeng oksigen diberikan, oksigen dalam badan hanya naik sampai 93%. Bacaan yang normal adalah lebih daripada 94%.

Bacaan fungsi buah pinggang pulak sudah menjadi tidak normal. Dengan jumlah Urea dan creatinine yang tinggi menunjukkan pesakit juga sudah mengalami kegagalan buah pinggang yang teruk.

Bacaan potassium dalam darah pula tinggi mengunungkan. Sangat tinggi sehingga boleh menyebabkan jantung berhenti berdenyut.

Electrocardiogram(ECG) pula menunjukkan Gelombang T yang tinggi(tall tanted T wave) yang merupakan salah satu menifestasi kepekatan potassium yang tinggi di dalam darah. Bila-bila masa sahaja jantung pakcik ini boleh berdegup dengan tidak normal dan berhenti serta merta

Keadaan pakcik yang kritikal ini diterangkan kepada anaknya. Anaknya faham bahawa rawatan sekarang lebih kepada menjaganya sahaja, membuatkan ia selesa bukan menyembuhkannya. Sebab kanser sudah merebak keseluruh badan.

Aku terangkan kepada anak pakcik itu,
Air dalam paru-paru itu akan kami keluarkan
Jumlah bacaan potassium itu boleh diturunkan dengan pemberian campuran ubat dinamakan sebagai ‘lytic cocktail’
Sementara waktu ini kami akan beri oksigen supaya oksigen dalam badannya cukup
Semua prosedur ini hanya membantu pesakit itu. Tidak menyembuhkan

Dan keputusan terbesar yang aku perlu tanyakan kepada dia adalah,

“Encik nak kami buat Active Resuscitation ataupun tidak kepada ayah encik?”

(Active Resuscitation bermaksud jika seseorang itu berhenti bernafas ataupun denyutan jantung berhenti, perawat kesihatan akan melakukan beberapa prosedur untuk menyelamatkan nyawa pesakit iaitu Cardiopulmonary Resuscitation(CPR), Intubation, pemberian beberapa jenis ubat untuk memulakan denyutan jantung seperti adrenaline, memasukkan pesakit ke dalam Intensive Care Unit(ICU) dan beberapa rawatan lain)

Keputusan ini penting kerana ada ahli keluarga faham bahawa pesakit tidak lagi boleh diselamatkan dan membenarkan pesakit itu pergi dengan tenang.

Ada ahli keluarga yang lain pula mempunyai fikiran yang lain. Mungkin ada yang fikir pesakit tersebut masih boleh diselamatkan dan sebab itu mereka menyuruh doktor cuba untuk menyelamatkannya semampu yang boleh

Aku menerangkan kepada anaknya itu bahawa pesakit tersebut sudah tiada harapan untuk sembuh. Yang kami mampu buat adalah memberi keselesaan kepadanya sahaja. Lambat laun dia akan pergi juga.

Bukan bermaksud kami tidak berbuat apa-apa, tetapi memandangkan keadaan kansernya yang sudah merebak, maka rawatan itu sahaja yang kami boleh berikan.

Anaknya mengangguk tanda faham dan bersetuju untuk tidak melakukan apa-apa intervensi jika ayah yang disayanginya itu berhenti bernafas.

Bersyukur aku kerana anaknya itu faham.

Pesakit yang berkeadaan sebegini bukanlah ditidakkan haknya untuk hidup. Tetapi kita kena meletakkan sesuatu pada tempatnya. ICU merupakan salah satu tempat yang terhad di dalam hospital. Kegunaannya untuk monitor pesakit-pesakit yang berkeadaan teruk.

Jika diberi pilihan dua orang pesakit dan hanya satu sahaja boleh masuk ICU, manakah yang kita akan pilih?
Seorang adalah seperti pakcik diatas. Kanser stage terakhir. Tidak dapat disembuhkan lagi
Seorang lagi anak muda yang baru sahaja berjinak dalam dunia perkerjaan. Umurnya masih panjang. Tetapi disebabkan kemalangan dia berada di dalam keadaan koma.

Sudah tentu akal kita yang sihat akan memilih untuk menyelamatkan orang muda tersebut.

Dan sebab itu juga kita memberi pilihan kepada ahli keluarga.

Selang beberapa minit selepas itu, denyutan nadinya terhenti sendiri. Pakcik tersebut berhenti bernafas. Lytic cocktail baru sahaja hendak diberikan tetapi tidak sempat.

Kami tidak berbuat apa-apa kerana anaknya itu sudah bersetuju untuk tidak melakukan apa intervensi jika ayahnya berhenti bernafas. Anaknya menangis teresak-esak disebelah ayahnya yang sudah terbujur kaku

Kes ini bukanlah kes pertama yang kami jumpa. Sudah beratus kes yang menolak untuk melakukan rawatan hospital dengan alasan untuk melakukan rawatan alternatif.

Akhir sekali, pesakit meninggal dunia di dalam hospital. Tidak berjumpa balik dengan si penjual yang menjanjikan kesembuhan. Kerana penjual itu pun tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka hanya fikirkan untung bulan-bulan. Mencari testimoni hebat-hebat.

Isu yang besar disini adalah bagaimana penjual produk di luar sana yang tidak beretika menjanjikan bulan dan bintang kepada pesakit sedangkan niat mereka hanya untuk mendapatkan keuntungan.

Disamping itu ada yang menghasut pesakit untuk tidak melakukan rawatan di hospital. Kata mereka, doktor akan memberi ubat kemoterapi yang tidak menyembuhkan penyakit mereka. Malah pesakit akan tersiksa hingga mati.

Ini adalah sesuatu yang salah. Setiap rawatan yang diberikan mempunyai keperluan yang tertentu. Kemoterapi pun mempunyai pelbagai jenis. Tidak semua kanser kena kemoterapi. Tidak semua kanser kena buat pembedahan.

Harapan aku adalah supaya masyarakat Malaysia sedar akan perkara ini. Sedar akan penipuan ini.
Sedar bahawa banyak kajian yang telah dilakukan untuk merawat kanser ini.
Sedar bahawa produk ajaib yang dikatakan dapat sembuhkan kanser diluar sana adalah produk yang tidak dikaji.
Malah ada yang memberi kesan sampingan kepada pesakit.
Mereka mencipta testimoni untuk melakukan produk mereka

Mungkin ada yang cakap, tak salah mencuba.

Mencuba memang tak salah. Tetapi perbuatan andalah yang akan menyebabkan industri penipuan ini bercambah di dalam masyarakat. Merosakkan mereka yang terdesak untuk mendapatkan rawatan.

Adakah anda ingin bersekongkol dengan mereka?

Tepuk dada tanya iman.


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.