Menurut Pensyarah Kanan, Program Geologi, Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor, apabila batu kapur mula menghakis dan merekah, ia akan menyebabkan terjadinya rongga di bawah permukaan batu kapur di sesuatu kawasan.
“Rongga ini, lama-kelamaan tidak dapat bertahan lalu menyebabkan bumbung yang menahan permukaan tanah runtuh. Ini antara faktor yang menyebabkan berlakunya lubang benam,” katanya kepada S2, baru-baru ini.
Katanya, sebahagian besar kawasan Lembah Klang terutama Kuala Lumpur mempunyai batuan dasar batu kapur berusia beratus juta tahun.
Tambahnya, semakin tua usia batu kapur itu, maka semakin tinggi risiko yang dihadapi di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi sekiranya ia menjadi tumpuan pembangunan manusia.
Menurutnya, beberapa tempat dikenal pasti sebagai kawasan batuan dasar batu kapur yang mempunyai risiko terjadinya lubang benam di Lembah Klang iaitu Gombak, Puchong, Bukit Bintang, Jalan Pudu, Cheras, Ampang Hilir, dan Jalan Pahang.
Sementara beberapa tempat seperti Ipoh di Perak, Perlis, Pahang dan Kelantan turut berpotensi diancam kewujudan rongga bawah tanah yang berupaya menyebabkan berlakunya lubang benam.
“Selain faktor semula jadi, lubang benam yang berlaku di kawasan pembinaan bangunan dan bekas tapak lombong yang kemudiannya dibangunkan sebagai kawasan perumahan dan sebagainya mempunyai risiko geobencana tinggi,” katanya.
Sebahagian besar punca lubang benam adalah disebabkan proses pembangunan.Masalah lebih serius timbul apabila pihak pemaju yang menjalankan pembinaan di sesuatu kawasan berisiko tidak mendapatkan khidmat kajian geologi bagi memastikan tempat berkenaan terdapat rongga atau tidak.
Keengganan syarikat pemaju itu sering kali menimbulkan masalah dari segi struktur tanah dan apabila mereka mengesan terdapat risiko wujudnya rongga bawah tanah, ia mungkin akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos tambahan yang lebih tinggi.
“Kebanyakan syarikat pemaju hanya memohon kajian geologi dijalankan apabila mereka berhadapan dengan krisis geobencana iaitu setelah mengesan rongga di bawah tanah ketika proses memasukkan cerucuk dijalankan,” katanya.

Sumber: utusan