RootOfSience

Tentang Kunyit: Mengapa hasil kajian tabung uji tidak seharusnya digunakan untuk melariskan produk

Siapa yang tidak kenal kunyit? Ia membangkitkan aroma gulai masak lemak, pelengkap sajian lodeh dan rendang dihari raya, juga penambah rasa dalam kari. Sejak turun temurun, herba ini telah digunakan dalam ramuan masakan juga ubatan tradisional. Bukan saja dalam tradisi melayu, malah kunyit juga elemen penting dalam perubatan tradisi cina dan ayurvedic. Kunyit digunakan secara tradisi untuk merawat infeksi, sakit perut, sakit tekak, bengkak sendi dan salah satu ramuan dalam jamu wanita selepas melahirkan anak.

 

Image result for turmeric plant

 

Kunyit, atau nama saintifiknya Curcuma longa, juga telah banyak dikaji oleh para saintis diseluruh dunia. Terlalu banyak kertas-kertas kajian saintifik berkaitan kunyit dan ekstrak kompaun dari kunyit yang telah diterbitkan. Malah ada puluhan (jika tidak ratusan) ujian klinikal pelbagai fasa telah dijalankan keatas ekstrak kunyit.

 

Ekstrak kunyit telah dilaporkan dalam pelbagai jurnal penerbitan berwasit dan berimpak tinggi untuk mempunyai aktiviti antikanser, antiradang, antimikrob, antidiabetic, antihipertensiv (merawat tekanan darah tinggi), antiangiogenik (mencegah metastasis kanser), fibrosis, penyakit Alzheimer, depresi, dysmenorrhea dan sebagainya. Jadi ubatan manakah yang berasaskan kunyit telah digunakan di hospital?

UBAT MODEN DARI UBATAN TRADISI

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kebanyakan ubat-ubatan moden yang diperolehi dari hospital diilhamkan dari kompaun yang diperoleh dari sumber semulajadi. Jadi, orang yang mengatakan ubatan moden adalah 100% menggunakan ubatan sintetik adalah tidak tepat sama sekali.

Image result for aspirin molecule

 

Aspirin contohnya, ubat yang telah lama digunakan untuk meredakan inflamasi , demam dan kesakitan diperoleh dari tumbuhan genus Spiraea. Orang-orang Mesir purba telah merekodkan penggunaan batang dan daun pokok willow ini untuk meredakan sakit. Hippocrates dan ahli perubatan Greek juga pernah merekodkan perkara yang sama. Sehinggalah lewat tahun 1890an, seorang sainis kimia telah berjaya memencilkan dan mengenalpasti asid salisilik sebagai bahan aktif yang mempunyai aktiviti antiinflamasi tersebut.

 

Ephedra sinica

 

Tumbuhan Ephedra (Ephedra sinica) atau Ma Huang, telah digunakan dalam perubatan tradisi cina untuk merawat asthma, selesema dan alergi. Ephedrine dan pseudoephedrine yang banyak terdapat dalam ubatan selesema kini, sebenarnya diperoleh dari tumbuhan ephedra. Malah ia boleh digunakan dan dimanipulasi untuk dijadikan sebagai bahan asas untuk memproses amphetamine!

 

Image result for periwinkle

Periwinkle

 

Maka, tanggapan biasa yang mengatakan ekstrak dari tumbuhan tidak akan mendatangkan mudharat adalah sangat tidak tepat. Malah, jika kita lihat lebih jauh. Banyak agen kemoterapi yang terkenal dengan kesan sampingan yang sangat buruk diperoleh dari tumbuhan. Agen kemoterapi oncovin (vincristine) dan vinblastine sebenarnya diperoleh dari tumbuhan periwinkle (Catharanthus roseus) yang berbunga cantik merah jambu yang mungkin terdapat di halaman rumah anda. Taxol (paclitaxel) adalah sejenis alkaloids yang diperoleh dari kulit batang pokok yew (Taxus brevifolia).

 

Image result for mandragora harry potter

 

Jika anda pembaca tegar siri Harry Potter mungkin biasa mendengar tentang tumbuhan mandrake atau mandragora, bukan? Tumbuhan tersebut memang benar-benar wujud, tetapi ia tidaklah mempunyai kebolehan menjerit sehingga memerlukan kita memakai pelindung telinga. Tumbuhan ini sebenarnya mempunyai racun yang telah dimanipulasi oleh manusia untuk dijadikan sumber ubatan. Antara alkaloid yang diperoleh dari mandragora ini seperti agen kemoterapi etoposide dan agen halusigenik seperti atropine dan scopolamine.

 

Image result for mandragora officinarum

Mandragora officinarum

Penemuan terbaru yang memenangi anugerah Nobel pada tahun 2015 (Saintis China Tu Youyou) juga adalah berkaitan ubat antimalaria artemisinin yang diperoleh dari tumbuhan Artemisia annua. Tumbuhan ini banyak digunakan dalam perubatan tradisi cina.

Image result for tu youyou

Prof Tu Youyou, pemenang Hadiah Nobel 2015 (Fisiologi & Perubatan)

Jadi, para saintis amat positif dan berlumba-lumba mencari potensi dalam tumbuhan semulajadi untuk mengubati pelbagai penyakit. Malah, di Malaysia juga kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun untuk kajian terhadap kajian herba tempatan.

 

Image result for biological assay

 

Begitulah juga yang berlaku pada tumbuhan bernama kunyit ini. Anda boleh gelintar saja perkara berkaitan kunyit dan perubatan, banyak laporan mengenainya. Namun, sehingga kini tiada satu pun ubatan berasaskan kunyit dapat digunakan dipasaran. Mengapakah agaknya?

KUNYIT DAN CURCUMINOIDS

Bahan aktif yang terdapat banyak dalam tumbuhan dan rizom kunyit adalah curcumin dan terbitannya yang dipanggil kumpulan curcuminoids. Kompaun-kompaun curcuminoids terdiri dari 2-6% berat kering kunyit bergantung kepada kualiti dan varian.

Image result for curcumin structure

Curcumin (diferolylmethane) adalah kompaun yang memberikan warna kuning yang signifikan bagi kunyit. Kompaun curcumin ini telah dianggap sebagai salah satu bahan aktif yang sangat bernilai kerana kajian in vitro (ke atas sel dan tisu dalam makmal) serta in vivo dalam haiwan seperti tikus dan arnab menunjukkan kompaun ini mempunyai aktiviti-aktiviti seperti antikanser, antihypertensive, antidiabetes dan lain-lain seperti yang telah disebutkan di atas. Namun, kajian ujian fasa klinikal terhadap manusia sebahagian besarnya menemui KEGAGALAN dan menemui jalan buntu.

Imej dari Baell & Walters (2017)

Curcumin kini diklasifikasikan sebagai PAINS (pan-assay interference compounds) dan IMPS (invalid metabolic panaceas) yang sebenarnya adalah artefacts atau gangguan (interference) pada ujikaji yang dilakukan dalam makmal. Gangguan ini terhasil apabila kompaun yang mempunyai karakter seperti curcumin ini sebenarnya mampu berinteraksi dengan pelbagai jenis kompaun, protein dan metabolit dalam assay biologi. Ini memberikan signal yang seakan-akan positif dari ujikaji.

Imej dari Baell & Walters (2017)

Gangguan ini termasuklah kerana kebolehan kompaun tersebut berinteraksi secara kovalen/ non-kovalen dengan protein (banyak assay biology bergantung pada hasil tindak balas ligan-reseptor), menghasilkan tindak balas redoks (banyak assay biologi bergantung pada tindak-balas substrat-enzim yang menghasilkan tindak balas redoks), gangguan terhadap spektroskopi (banyak assay biologi yang melihat pada pertukaran warna dan perubahan spektroskopi sebagai indicator tindak balas), kemusnahan sel membrane (yang disangka apoptosis) dan formasi agregat colloid.

An external file that holds a picture, illustration, etc. Object name is jm-2016-009757_0004.jpg

Imej dari Katrynn et al. (2017)

Jadi, hasil dari laporan in vitro tentang curcumin dan kunyit kebanyakannya adalah tidak begitu tepat dan kadang-kala hanyalah aktiviti artefacts semata-mata.

KEGAGALAN UJIAN KLINIKAL

Banyak ujikaji klinikal manusia dari ekstrak kunyit menemui kegagalan kerana curcumin sebenarnya tidak dapat diserap oleh tubuh dengan efektif.

Ubatan, seperti juga makanan yang kita makan sepatutnya dapat diserap oleh tubuh dan berada dalam darah untuk dibawa kebahagian yang memerlukan. Bila kita memakan nasi contohnya, nasi yang kita kunyah akan masuk dalam rongga perut dan dicerna oleh enzim dalam perut. Rantaian panjang kanji dalam nasi akan diurai menjadi glukosa ringkas yang akan diserap oleh perut kedalam salur darah. Gula dalam darah akan dibawa keseluruh organ-organ tubuh untuk dijadikan sumber tenaga atau disimpan sebagai lemak. Begitu juga ubatan. Ia akan dicerna dalam perut, dan diserap oleh darah untuk dibawa ke organ yang berkaitan. Kalau kita menelan Panadol, kompaun paracetamol (dari panadol) dalam darah akan dibawa ke reseptor sakit dan meredakan sakit tersebut di kepala contohnya.

 

Image result for pharmacokinetics

 

Paracetamol juga mempunyai separuh hayat (half life) selama 3-4 jam dalam darah. Maksudnya, dos paracetamol yang tertinggi sebelum dikeluarkan dari tubuh adalah 3 hingga 4 jm sahaja. Dalam 6-8 jam keseluruhan Panadol yang kita makan akan habis keluar dari tubuh kita. Jika kita masih sakit, kita perlu mengambil dos paracetamol baru (siapa cakap makan Panadol akan menyebabkan ia tinggal dalam tubuh selama 5 tahun memang salah!)

 

Image result for pharmacokinetics

 

Jangka separuh hayat curcumin dari kunyit dalam tubuh hanyalah 5 minit sahaja – maksudnya dalam masa 10 minit keseluruhan dos curcumin yang kita makan akan terkumpul dalam najis atau air kencing dan kemudiannya dikeluarkan dari tubuh. Ini bermakna kita perlu mengambil ubatan ini setiap 10 minit sekali. Susah bukan?

Bukan itu saja, sebenarnya curcumin adalah kompaun yang tidak larut dalam pH fisiologi tubuh. Pada pH tubuh juga, kompaun curcumin dan curcuminoids dalam kunyit ini senang musnah dan hancur tidak berfungsi lagi. Jadi, mungkin saja ia masih elok di perut yang berasid, apabila diserap saja kedalam darah yang mempunyai pH neutral, ia akan musnah. Tidak dapatlah khasiat kunyit ini diserap oleh tubuh. Jika kita berikan curcumin kepada pesakit secara terus kedalam darah melalui infusi intravena juga akan gagal mencapai fungsi terapeutiknya.

Image result for pharmacokinetics

Pelbagai kajian juga telah dilakukan untuk menabah nilai dan mengubah sedikit sifat-sifat kompaun dari kunyit yang berharga ini. Namun, sehingga kini ianya masih menemui jalan buntu.

IKTIBAR DARI KEGAGALAN

Cerita tentang kunyit yang menjanjikan keputusan cerah dan hasil yang gemilang dari ujikaji makmal sebenarnya boleh dijadikan pengajaran buat kita. Begitu banyak lambakan produk-produk dipasaran yang menjanjikan hasil seindah bulan dan bintang. Namun, kajian ketasnya hanya melalui kajian in vitro dan in vivo (pra-klinikal) terhadap haiwan di makmal sahaja. Soalnya, adakah keputusan yang sama akan diperoleh pada manusia? Adakah selamat dikonsumsi manusia? Sedangkan kajian kunyit yang sangat ekstensif dari seluruh pelusuk dunia juga menemui kegagalan, inikan pula produk yang baru dikaji setengah masak?

 

Image result for produk terlarang

 

Lebih malang, ia juga dikatakan ‘SELAMAT’ digunakan kerana mempunyai notifikasi dan disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengesahan selamat oleh KKM terhadap sesuatu produk adalah benar dan boleh dipercayai. Tetapi, jika produk didaftarkan atas persediaan tradisional atau makanan tambahan, pengesahan selamat tersebut sebenarnya adalah atas saringan yang makanan tersebut tidak mengandungi bahan terlarang dan berbahaya terjadual. Ia tidak termasuk kompaun-kompaun asing yang tidak diketahui yang mungkin juga menyumbang kepada mudarat. Berhati-hatilah mengambil ubatan yang tidak berdaftar, janganlah buta-buta mempercayai produk yang tidak mempunyai sejarah ujian klinikal yang ekstensif. Takut-takut menyesal dikemudian hari!

RUJUKAN

Nelson KM, Dahlin JL, Bisson J, Graham J, Pauli GF, Walters MA. The Essential Medicinal Chemistry of Curcumin: Miniperspective. Journal of Medicinal Chemistry. 2017;60(5):1620-1637. doi:10.1021/acs.jmedchem.6b00975.

Amalraj A, Pius A, Gopi S, Gopi S. Biological activities of curcuminoids, other biomolecules from turmeric and their derivatives – A review. Journal of Traditional and Complementary Medicine. 2017;7(2):205-233. doi:10.1016/j.jtcme.2016.05.005.

Aldrich C, Bertozzi C, Georg GI, et al. The Ecstasy and Agony of Assay Interference Compounds. ACS Central Science. 2017;3(3):143-147. doi:10.1021/acscentsci.7b00069.

Baell J, Walters MA. Chemistry: Chemical con artists foil drug discovery. Nature. 2014 Sep 25;513(7519):481-3. doi: 10.1038/513481a.

 

 


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.