RootOfSience

Kebolehan menggulung lidah, Adakah ia benar-benar ciri dominan?

 Ibu anda boleh menggulung lidah tetapi anda tidak boleh..

Kakak dan abang anda tidak boleh menggulung lidah, tetapi anda boleh melakukannya…

Kebolehan menggulung lidah sudah semestinya salah satu kelebihan yang dianggap unik kerana tidak semua boleh melakukannya Sewaktu di kelas Sains, pastinya kita pernah ditanya sama ada boleh menggulung lidah atau tidak.

Di dalam buku teks Biologi, menggulung lidah dinyatakan sebagai satu contoh ciri dominan yang diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak.

Bagi mereka yang boleh menggulung lidah pastinya anda pernah menunjuk-nunjuk kelebihan tersebut kepada mereka yang tidak boleh melakukannya. Manakala, yang tidak boleh menggulung lidah hanya mampu menerima kenyataan bahawa ia ciri yang diwarisi dan tidak boleh diubah, sama seperti jenis darah dan warna mata.

Setiap satu ciri gen datang kombinasi dari dua alel, satu daripada bapa dan satu daripada ibu.

Alel ialah susunan DNA yang membentuk gen. Persenyawaan antara sperma dan telur menghasilkan kombinasi sepasang kromosom (makromolekul DNA) daripada ibu dan bapa. Manusia mempunyai 23 pasang kromosom iaitu 22 pasang autosom dan sepasang kromosom seks (genosom XX atau XY).

Berdasarkan prinsip asas genetik Mendel, kelebihan menggulung lidah ialah salah satu contoh ciri Hukum Dominasi Mendel (Mendel’s Law of Dominance). Menurut Hukum Dominasi Mendel, alel resesif akan dinyahaktif oleh alel dominan dan menjadi dorman.

Mereka yang boleh menggulung lidah adalah hasil daripada alel dominan yang dilabel sebagai ‘R’, manakala yang tidak boleh melakukannya mempunyai alel resesif yang dilabel sebagai ‘r’.

Oleh itu, bagi mereka yang boleh menggulung lidah, mereka mempunyai ciri genotipe RR atau Rr (dominan), manakala genotipe rr (resesif) bagi yang sebaliknya.

Gambar di bawah menunjukkan secara asas bagaimana sesuatu ciri genetik tersebut diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak mengikut prinsip asas genetik Mendel.

Namun, pada realitinya, adakah pewarisan genetik seringkas itu?

Adakah ciri ini benar-benar dipengaruhi oleh satu gen tunggal R, seperti yang dipelajari dari buku teks?

Tahukah anda bahawa kebolehan menggulung lidah sebagai satu ciri genetik adalah mitos sains semata-mata?

Ini bermakna, bagi mereka yang tidak ada keupayaan tersebut, anda masih berpeluang untuk mendapatkan kebolehan ini, mungkin dengan latihan intensif setiap jam?

Kajian asal mengenai gen yang mengawal kebolehan menggulung lidah dimulakan oleh Alfred Sturtevart, seorang saintis genetik pada tahun 1940. Beliau telah mengkaji pewarisan ciri tersebut dalam keluarga dan mendapati bahawa ibu bapa yang boleh menggulung lidah akan mempunyai peluang yang tinggi bagi anak-anak mereka untuk mempunyai kebolehan tersebut. Oleh itu, Sturtevant merumuskan bahawa kebolehan menggulung lidah ini merupakan ciri dominan, manakala mereka yang tidak mempunyai genotip dominan tidak boleh menggulung lidah.

Namun begitu, kajian Philip Matlock pada tahun 1952 tidak bersetuju dengan rumusan Sturtevant. Matlock medapati tujuh daripada 33 kembar seiras tidak berkongsi kebolehan menggulung lidah ini. Jika kebolehan ini pengaruh genetik semata-mata semestinya ia dikongsi oleh setiap pasangan kembar seiras kerana pasangan kembar memiliki profil genetik yang sama.

Hasil kajian daripada Sturtevant (1940) dan Matlock (1952). Imej diolah dari Myths of Human Genetics

Oleh itu pada tahun 1965, Sturtevart telah menerbitkan buku “A History of Genetics” dan mengakui bahawa menggulung lidah bukan satu ciri dominan yang diwariskan melalui satu gen R.

Namun begitu, kenyataan pewarisan ciri ini sebagai ciri genetik dominan masih diajar di buku teks sehingga ke hari ini.

Kelebihan menggulung lidah diwariskan melalui satu gen dominan in diperakui sebagai mitos oleh John McDonald, seorang ahli biologi dari Universiti Delaware. Menurut beliau, kebolehan menggulung lidah ini boleh dipelajari. Satu kajian daripada pelajar beliau menunjukkan bahawa seorang daripada 10 orang peserta kajian yang tidak boleh menggulung lidah didapati boleh menggulung lidah selepas seminggu berlatih.

McDonald menyatakan bahawa kebolehan menggulung lidah ini masih dipengaruhi oleh faktor genetik tetapi tidak bergantung kepada satu gen R sahaja. Ia boleh dipengaruhi daripada fungsi-fungsi otot yang terdapat pada lidah, namun begitu belum ada kajian yang jelas tentang hal ini.

Rumusannya, kebolehan menggulung lidah tidak lagi sesuai digunakan sebagai contoh untuk menerangkan pewarisan genetik seperti yang diajarkan di dalam buku teks.

RUJUKAN

1. Simple Dominance: Definition & Concept. (URL: http://ift.tt/2oQlXVO)
2. Scientists Debunk Familiar Tongue-Rolling Lore (URL: http://ift.tt/2owFoiY)
3. McDonald, (2011).  Myths of Human Genetics. Tongue-rolling. The Myth. (URL: http://ift.tt/1uUXYkL)

 


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.