RootOfSience

KENAPA TIADA KINCIR ANGIN DI MALAYSIA?

Ada siapa-siapa pernah sampai Albany Wind Farm di Perth? Yang ada hobi melancong ke luar negara dan pernah sampai di Perth, mesti pernah sampai di sini! Apa tidaknya, ini adalah destinasi wajib bila berada di Perth. Pemandangan 12 buah kincir angin setinggi 65 meter yang terletak di tepi laut ini sungguh menakjubkan. Untuk pengetahuan, kincir angin di sini dikatakan yang terbesar di Hemisfera Selatan dan antara yang terbesar di dunia [1].

Pernah tak kita terfikir, kenapa di Malaysia tiada kincir angin seumpama ini?

Ada orang kata kerana di Malaysia angin tidak cukup kuat untuk kincir angin seperti ini. Betul ke? Mari kita kupas sedikit perkara ini.

Ada kincir angin di Malaysia?

Sebagai permulaan, sebenarnya di Malaysia memang terdapat kincir angin seperti di Perth tersebut. Antaranya, terdapat dua buah kincir angin yang menjana elektrik terletak di Pulau Perhentian, Terengganu. Kincir angin ini adalah sebahagian daripada sistem janakuasa elektrik hibrid, termasuk sistem panel suria untuk kegunaan di pulau tersebut. Sistem janakuasa ini adalah sebuah projek kerajaan dan dikendalikan oleh syarikat janakuasa gergasi negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) [2].

Kincir angin di Pulau Perhentian. Gambar daripada http://ift.tt/2tQHGwP

Walaupun tidak sebesar dan sebanyak di Albany Wind Farm, tetapi sekurang-kurangnya kita di Malaysia ada juga kincir angin ini. Jadi, bagaimana dengan kata orang angin di Malaysia tidak cukup kuat untuk menjana elektrik melalui kincir angin ini? Kalau betul, bagaimana boleh ada projek kincir angin ditaja kerajaan di Pulau Perhentian itu? Dan sebagai tambahan, ada beberapa lagi kincir angin seumpama ini di negeri lain contohnya di Selangor dan Johor, samada untuk kegunaan awam, mahupun untuk tujuan penyelidikan.

Berapa kelajuan angin di Malaysia?

Mari kita lihat secara ringkas, sejauh mana potensi penjanaan kuasa elektrik melaui kincir angin ini di Malaysia.

Secara purata, Malaysia dilanda angin dengan kelajuan kira-kira 2 meter sesaat sepanjang tahun [3]. Berapa laju 2 meter sesaat ini? Kelajuan ini sama dengan 7.2 kilometer sejam. Cuba bayangkan, laju mana 7 kilometer sejam ini. Kepada yang memandu kenderaan, cuba pandu 10 kilometer sejam. Untuk pengetahuan tambahan, Usain Bolt juara dunia acara larian itu berlari menamatkan larian 100 meter dengan kelajuan sekitar 40 kilometer sejam!

Jadi, boleh ke kelajuan 2 meter sesaat itu untuk pusingkan bilah kincir angin dan seterusnya menjana tenaga?

Untuk menjawab “Tidak Boleh” adalah bersangka kurang baik. Mungkin suatu hari nanti akan ada teknologi dan reka bentuk kincir angin yang boleh. Jawapan yang lebih molek adalah “Sukar”. Kebiasaannya, untuk kincir angin besar seperti di Albany Wind Farm, kelajuan angin sekurang-kurangnya sekitar 10 meter sesaat (sekitar 36 kilometer sejam) sepanjang tahun diperlukan untuk menggerakkan bilah dan menjana kuasa elektrik.

Ada yang bertanya, kalau begitu, hujan lebat bersama ribut ketika monsun mesti boleh membantu meningkatkan kelajuan angin. Benar, ketika monsun, angin boleh menjadi kelajuan sehingga 15 meter sesaat (54 kilometer sejam) [3]. Namun kita perlu sedar, bahawa kelajuan angin setinggi itu tidak kekal sepanjang hari, sepanjang tahun.

Bagaimana angin boleh terjadi?

Secara asasnya, angin terjadi apabila terdapat perbezaan tekanan dan suhu di udara yang berhampiran dengan permukaan bumi, dengan udara yang jauh daripada permukaan. Udara yang berbeza suhu dan tekanan ini akan bergerak daripada panas (berhampiran permukaan) kepada sejuk (jauh daripada permukaan). Kitaran ini menghasilkan angin. Oleh kerana pada waktu siang, permukaan tanah adalah panas, maka laju kitaran ini lebih aktif dan meningkatkan laju angin. Pada sebelah malam pula, laju angin menjadi kurang daripada laju angin ketika siang oleh kerana fenomena ini.

Kitaran angin. Lakaran daripada http://ift.tt/2tR4EUo

Selain itu, permukaan bumi juga memainkan peranan. Adakah terdapat halangan di atas permukaan, seperti rumah, bangunan, pokok dan hutan, bukit dan gunung, atau tiada halangan seperti di padang yang luas dan lautan? Di dalam bidang tenaga angin, ini dinamakan “surface roughness” dan ini memainkan peranan penting di mana ketiadaan halangan seperti di lautan luas boleh meningkatkan kelajuan angin pada ketinggian yang tertentu.

Bercakap tentang ketinggian, ketinggian juga memainkan peranan. Kelajuan angin adalah berbeza pada ketinggian yang berbeza. Kebiasaannya, kelajuan angin meningkat apabila ketinggian meningkat.

Semasa kajian dijalankan sebelum pembinaan projek kincir angin di Pulau Perhentian, telah didapati kelajuan angin di sekitar kawasan tersebut adalah pada purata 6 – 9 meter sesaat [4], cukup untuk menjana kuasa eletrik melalui kincir angin.

Beberapa kajian juga telah menunjukkan beberapa tempat di Malaysia seperti di Langkawi, Mersing dan Kudat mempunyai purata laju angin yang lebih tinggi daripada purata laju di keseluruhan Malaysia. Juga, terdapat banyak usaha daripada pihak kerajaan mahupun swasta di dalam menjalankan kajian dan pengukuran laju angin di tempat-tempat ‘berangin’ di Malaysia bagi tujuan penuaian tenaga angin [4].

Cabaran kincir angin di Malaysia

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, kelajuan angin di Malaysia rendah untuk kincir angin, maka ramai juga yang menyangka kita tiada kincir angin. Ini adalah cabaran bagi penyelidik di negara kita untuk membangunkan kincir angin yang berkecekapan tinggi untuk kelajuan angin yang minimal. Terdapat beberapa rekabentuk yang dapat membantu meningkatkan kecekapan kincir untuk laju angin yang minimal.

Untuk mengenali jenis dan rekabentuk kincir angin yang ada, adalah baik untuk kita mengetahui asas kincir angin serta sains dan fizik di sebalik pergerakan angin melalui kincir tersebut. Kupasan ini akan diteliti di penulisan akan datang.

Buat masa ini, jika berkesempatan terlihat kincir angin seperti bunga angin di festival flora, cuba anda fikirkan, bagaimana bunga tersebut boleh berpusing dan mengapa. Fikirkan juga, bagaimana pusingan seperti pusingan bunga itu boleh menghasilkan tenaga.

Bunga angin!

 

Rujukan

[1] “Albany Wind Farm” http://ift.tt/2sTucmt

[2] “Pulau Perhentian Kecil now powered by the sun and wind” http://ift.tt/2tQDoFu

[3] “Possibility of electricity from wind energy in Malaysia: Some rough calculations” http://ift.tt/2sSYiXk

[4] Lip-Wah Ho, 2015. Wind energy in Malaysia: Past, present and future. Renewable and Sustainable Energy Reviews. 53: 279 – 295.

Gambar Albany Wind Farm daripada http://ift.tt/2sTucmt


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.