Aku dan Tukang Gantung
Oleh Syahril A. Kadir
Masa jadi wartawan jenayah dulu, saya bersahabat dengan seorang pegawai penjara yang ada 'tugas tambahan' iaitu, Tukang Gantung.
Besar orangnya, misai tebal. Katanya, bukan senang nak mengisi jawatan ini kerana pelbagai faktor diambil kira termasuk latar belakang dan sejarah kewangan pemohonnya.
"Hah? Sejarah kewangan?"
"Ya!" kata pegawai tadi.
Memang sudah menjadi tradisi Jabatan Penjara tidak akan mengambil pegawainya yang banyak hutang untuk mengisi jawatan Tukang Sebat atau Tukang Gantung.
"Nak sebat orang dan nak gantung orang perlulah profesional. Ia tidak boleh dipengaruhi emosi dan masalah peribadi," katanya.
Okay, kemudian saya pun bertanya pada pegawai tadi.
"Ramai tak yang memohon jadi Tukang Gantung?"
Jawabnya, tak ramai kerana perkara yang paling menakutkan selepas menggantung pesalah ialah, di saat hendak melonggarkan tali gantung itu dari leher si mati selepas hukuman dijalankan.
"Masa nak melonggarkan tali gantung itu, selalunya mayat akan 'sendawa'. Akan ada bunyi seperti, 'Errkk!' keluar dari mulutnya. Kalau tak biasa, confirm kita akan lari tak cuku ptanah.
"Sebenarnya, bukan sendawa dalam erti kata yang sebenarnya, tetapi ia adalah angin yang keluar dari tubuh si mati," katanya.
Saya juga bertanya kepada pegawai tadi, berapa lama si pesalah ini akan 'menggelupur' tercekik sebelu meninggal dunia. Katanyaa, sebenarnya punca kematian pesalah yang digantung bukan kerana tercekik seperti yang difikirkan semua orang. Sebaliknya, punca kematian adalah kerana tulang lehernya patah, bukan kerana jerutan tali gantung itu.
"Selepas platform itu terbuka, pesalah akan jatuh ke bawah dan tali ganting akan menyebabkan tulang lehernya patah, sekali gus menyebabkan pesalah itu mati dan ia hanya mengambil masa beberapa saat untuk dia menemui ajal. Leher pesalah juga tidak akan luka kerana tali itu dibalut dengan kulit. Lebam itu, adalah.
"Lagi satu kena ingat, pesalah yang telah menjalani hukuman mati ini tidak perlu dibedah siasat (post mortem). Keluarga atau waris sudah boleh terus menuntut. Kalau tiada, kita sendiri uruskan pengkebumiannya," kata pegawai berkenaan.
Mengenai makan terakhir untuk pesalah, pegawai itu berkata, memang Jabatan Penjara akan cuba sedaya mungkin memenuhi permintaannya. Walaupun adakalanya lebih dari RM7.50 (kos yang ditetapkan). Tetapi kalau pesalah itu teringin sangat, pihak penjara tetap akan cuba memenuhi pesalah berkenaan.
"Selalunya mereka dah tak lalu nak order apa dah. Banduan Islam pula selalunya sudah mula berpuasa," kata pegawai yang bukan beragama Islam itu.
Saya juga tela hdiberi peluang untuk masuk ke sel Banduan Akhir di Penjara Kajang. Biliknya luas, bersih tetapi sunyi. Banduan Akhir ini dikenali sebagai BA. Tetapi di kalangan banduan ia dikenali sebagai Banduan Agong. Ini kerana mereka diberi banyak keistimewaan termasuk tidak perlu bekerja seperti mana banduan lain. Malah, setiap banduan tanpa mengira agama diberi peluang untuk belajar agama mengikut kepercayaan masing-masing.
Saya pernah bertanya pada pegawai itu, apakah benar ada cakap-cakap orang di luar sana kononnya ada banduan yang pernah digantung tetapi tidak mati sehingga terpaksa digantung untuk kali kedua.
"Kalau dengar cakap orang di luar sana, ada 1,001 cerita yang karut marut. Setakat ini, sebut saja siapa penjenayah terkenal atau kononnya hebat. Semua yang saya gantung mati 'sekali jalan'. Memang boleh ketawa kalau dengar cakap orang," katanya sambil tersenyum.
Beliau kemudiannya mempelawa saya untuk melihat Bilik Gantung. Saya menolaknya dengan baik.
"Jangan risau Encik Syahril. Kalau pun encik nak tengok, saya tak akan bagi kecuali encik sendiri 'masuk senarai'. Hehehe!"
Saya hanya tersenyum. Ngeri pula lawak mamat ini, huh! - Syahril A Kadir | The Reporter
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :