PUTRAJAYA - Satu premis makanan di Presint 11 diperintah tutup susulan pemeriksaan mendapati kawasan dapur dan stor bahan masakannya kotor, serta menjijikkan, lapor Harian Metro.
Premis tersebut adalah antara tujuh premis yang diserbu dan diperiksa oleh penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983, dalam operasi yang dijalankan selama dua jam, semalam, di sekitar Presint 9 dan Presint 11.
Lapor sumber, di bahagian hadapan premis semuanya nampak bersih dan kemas, malah sajian yang dihidangkan nampak lazat. Malangnya di bahagian dapur dan stor simpanan barang makanan amat menjijikkan.
Di satu sudut, ada beberapa ekor anak lipas berkeliaran di kawasan dapur. Lebih teruk lagi apabila najis tikus turut ditemui di stor bahan masakan. Selain itu, tepung untuk menggoreng ayam bertaburan di lantai akibat digigit tikus.
Ekoran itu, pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan notis perintah tutup selama 14 hari sehingga 27 September 2017 kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam.
Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis makanan di Putrajaya sentiasa berada pada tahap kebersihan tinggi selain memastikan tiada pelanggaran syarat.
"PPj tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya dalam soal kebersihan makanan, bermula daripada penyediaan makanan di dapur sehingga kebersihan pekerjanya," katanya. ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hasim berkata, 345 premis makanan di Putrajaya mempunyai lesen sah dan sehingga Ogos lalu, pihaknya mengeluarkan 55 kompaun, 25 notis amaran dan satu penutupan premis.
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :