RootOfSience

Apakah itu Antibiotik?

Apa itu antibiotik?

‘Anti’ adalah bermaksud menghalang atau melawan, ‘biotik’ bermaksud sesuatu yang hidup. Jadi antibiotik adalah sesuatu yang digunakan untuk menghalang benda hidup – dalam konteks ini tertumpu pada bakteria. Antibiotik kadang kala dipanggil juga sebagai antimikrob atau antibakteria.

Antibiotik perlu diambil untuk membantu tubuh melawan sesuatu jangkitan. Walaupun badan kita sebenarnya mampu untuk melawan jangkitan secara natural, kita perlu antibiotik untuk mematikan bakteria yang menyerang supaya badan kita mudah untuk menyingkirkan bakteria tersebut seterusnya. Bahkan, kita juga perlu juga bantuan untuk membina imuniti terhadap bakteria spesifik dari vaksin.

Bakteria dan infeksi

Tubuh kita secara normal didiami pelbagai bakteria dan fungus. Bakteria ini biasa dipanggil microflora dan tidak akan mengakibatkan kesan buruk pada tubuh jika bilangannya terkawal. Malah kehadiran sesetengah bakteria memberikan banyak kelebihan pada sistem tubuh kita. Contohnya, hormon dan nutrisi yang telah dimetabolismakan oleh hati (untuk dikumuhkan) sesetengahnya mampu dikembalikan oleh bakteria dalam usus untuk diserap kembali oleh tubuh.

Namun, kehadiran bakteria dan fungus pada tempat yang tidak sepatutnya (atau pada aras yang lebih dari norma kebiasaan) akan menyebabkan jangkitan. Akibatnya, tubuh akan memberi reaksi untuk menghapuskan bakteria tersebut. Contohnya menghasilkan mukosa yang banyak, iritasi, peningkatan suhu (pada tubuh atau pada tempat infeksi berlaku), pengumpulan bendalir limfatik (yang menyebabkan bengkak) dan sebagainya.

Bagaimana antibiotik berfungsi?

Tanggapan umum bahawa antibiotik adalah ubat untuk menghilangkan ketidakselesaan yang berlaku akibat infeksi adalah tidak begitu tepat. Pengambilan antibiotik hanya bertujuan untuk menghilangkan punca infeksi tersebut – membunuh bakteria.

Antibiotik berfungsi  untuk membunuh bakteria dengan beberapa cara. Boleh dikatakan antibiotik secara umum melumpuhkan sistem dalam bakteria dan menyebabkan samaada bakteria tersebut berhenti membahagi atau terus menyebabkan bakteria tersebut mati. Antibiotik tiada kesan terhadap virus.

diagram_bacterium

Antibiotik dalam kumpulan penicilin contohnya berfungsi membunuh bakteria dengan menyebabkan dinding sel bakteria rosak dan bocor. Antibakteria dalam kumpulan tetracyclin pula contohnya, membunuh bakteria dengan menghalang secara spesifik kemampuan bakteria untuk menghasilkan protein. Kebanyakan antibiotik secara general adalah spesifik terhadap sistem bakteria dan tidak memberi gangguan kepada sistem tubuh kita secara langsung.

Satu jenis antibiotik juga hanya berkesan untuk membunuh bakteria yang spesifik dalam kelompoknya. Contohnya, antibiotik amoxicillin (dari jenis penicillin) digunakan untuk merawat jangkitan bakteria seperti Streptococcus (eg. S. pyogens) Staphylococcus (eg S. aureus) menyebabkan jangkitan pada tekak dan saluran pernafasan), Enterococcus (yang mungkin menyebabkan jangkitan saluran kencing) dan beberapa jenis kumpulan bakteria lain.

Jadi kita tidak boleh sesuka hati untuk mengambil antibiotik tanpa rujukan dari doktor. Mungkin kita akan makan antibiotik yang salah untuk bakteria yang salah! Maka tak selesai masalah….


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.