RootOfSience

Rumah anda di Pecah. Bagaimana cara mengatasi?

Pecah rumah adalah satu jenayah yang kerap berlaku di Malaysia. Kalau tak pernah (atau belum pernah) berlaku ke atas diri sendiri, mungkin kita kenal seseorang yang pernah mengalaminya. Statistik menunjukkan kes pecah rumah di Malaysia tertumpu ketika musim raya. Ini kerana penghuni meninggalkan rumah buat jangkamasa yang panjang untuk balik ke kampung.

Peningkatan kes pecah rumah ketika cuti raya (tak kira perayaan agama, nasional atau sebagainya) amatlah membimbangkan. Selalunya mangsa hanya menyedari rumah mereka telah dipecah masuk beberapa hari selepas ia berlaku. Di sini Root of Science ingin menyentuh sains di sebalik kegiatan pecah rumah dan bagaimana untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya bersiap sedia menghadapinya. Sebelum itu, sedikit definasi untuk membantu pembacaan lanjut:

Definasi pencuri: orang yang mengambil harta seseorang tanpa izin secara senyap atau tersembunyi.

Definasi perompak: orang yang menggunakan kekerasan untuk merampas harta seseorang tanpa izin secara terang-terangan.

Memahami Psikologi Pencuri

Pencuri perlu memilih mangsa dengan baik kerana mereka perlu melakukan jenayah mereka dengan pantas dengan pulangan terbaik. Mereka akan mengelak dari mensasarkan rumah yang ada anjing sekiranya mereka tidak pasti bentuk pulangan yang mungkin mereka perolehi. Lebih-lebih lagi sekiranya rumah sebelah nampak setara mewahnya, tetapi tiada anjing dan selalu tiada orang di rumah.

Secara psikologi, pencuri akan memilih sasaran yang mempunyai pulangan terbaik dengan peluang yang terbuka luas. Walaupun ada sasaran yang baik tetapi peluang yang tipis, rata-rata pencuri akan lebih cenderung memilih sasaran yang lebih mudah. Hanya pencuri profesional atau tegar sahaja yang akan mempunyai keazaman untuk memecah masuk sesebuah rumah yang tinggi tahap keselamatannya.

1. Elak Dari Menjadi Sasaran

Jadi bagaimana nak elak dari jadi sasaran? Hidup bersederhana dan jangan menunjuk-nunjuk adalah jalan terbaik. Mungkin anda kurang setuju kerana anda ingin hidup mewah dengan hasil keringat masing-masing. Kami tak nafikan kami juga berkeinginan yang serupa. Tetapi argumen ini adalah berdasarkan pemikiran pencuri itu sendiri. Ingat falsafah ini:

Tak Kenal Maka Tak Cinta; Tak Nampak Maka Tak Minat

Jika rumah jiran kita ada kereta mewah, baru lepas diubahsuai dengan kotak-kotak TV, peti sejuk, mesin basuh dan perkakas-perkakas mahal berlonggok di tong sampah depan rumah, maka bersyukurlah kerana selera pencuri akan tertumpu ke rumah jiran tu. Yang penting, sebarang elemen yang mungkin menarik minat pencuri tidak terdapat di rumah kita.

Kotak TV UHDTV yang mengumumkan perkakas terbaru di rumah anda.

Kadangkala kita meninggalkan basikal, skateboard atau sebarang barang yang mungkin boleh diangkut dengan mudah di anjung rumah (porch), ia juga boleh menjadi sasaran terutamanya bagi pencuri muda atau budak-budak nakal. Namun apa yang nak dielakkan ialah supaya mereka tidak mengambil kesempatan berada di dalam kawasan rumah kita untuk meninjau peluang masuk ke dalam rumah. Jadi gunakan langsir tebal di dalam rumah bagi mengelakkan pandangan terus dari luar ke dalam.

Tak banyak yang dapat kita lakukan sekiranya mereka memang betul-betul berniat dan mensasarkan untuk memecah masuk rumah kita. Tapi kita boleh menyukarkan kegiatan mereka dengan pelbagai cara (ikuti seterusnya di bawah).

2. Rekabentuk Pagar dan Jeriji Yang Sesuai

Penggunaan jeriji besi sudah menjadi kebiasaan di Malaysia. Namun bukan semua jeriji direka dengan baik dan mampu mengekang pencuri dari memecah masuk ke dalam rumah. Kebanyakkan jeriji hanya lebih kepada ciri-ciri estetik dan penyedap hati tuan rumah sahaja. Ini kerana kebanyakkan jeriji diperbuat dari besi nipis serta tidak dikimpal dengan baik. Ini ditambah lagi dengan kekurangan kepakaran dan pengalaman pereka jeriji yang tidak memahami kekuatan dan kelemahan rekabentuk mereka. Sebagai contoh:

Kes Shah Alam (2011) Blog Selipar Buruk

Contoh di atas menunjukkan tuan rumah sudah menggunakan mangga yang berkualiti. Namun kelemahannya adalah pada jeriji tersebut, yang lebih mudah diumpil, digergaji atau dikopak berbanding mangga itu sendiri.

Kes Kampung Batu Papan, Bera (2015) Utusan Online

Di dalam kes ini pula, jeriji melintang di bahagian luar tingkap dipotong menggunakan pemotong besi, dan kemudian kaca tingkap diumpil atau dipecahkan keluar. Kombinasi jeriji dan tingkap seperti ini sudah tidak popular lagi kerana aspek keselamatannya yang rendah serta tidak sesuai untuk penggunaan pendingin hawa.

Kes nur_nilamsari (2013) Blog Bro Framestone

Tukang besi perlu memahami kelemahan rekabentuk mereka. Di dalam kes di atas, si pencuri nampak berpengalaman dalam mencari kelemahan struktur jeriji besi tersebut. Bahagian bawah pintu jeriji hanya disokong oleh satu engsel sahaja. Apabila bahagian ini dikopak, seluruh struktur jeriji yang diperbuat dari besi lompong degan mudah dapat dibengkokkan.

3. Amalan Kunci, Selak dan Mangga yang Berkesan

  1. Pasang tempat mangga di bahagian dalam jeriji. Ini akan menyukarkan pencuri untuk mengopak atau membuka mangga rumah anda.
  2. Gunakan kunci selak mati (dead bolt), kerana kunci berspring boleh terbuka apabila diketuk dengan kuat.
  3. Gunakan bar pada pintu masuk (depan dan belakang) bagi mengelakkan rempuhan. Ini bagus bagi mengelakkan pecah masuk ketika kita ada di rumah.

4. Kunci semua bilik ketika keluar rumah. Ini akan melambatkan pencuri meneroka rumah kita, serta memaksa mereka mengopak pintu dan membuat bising.
5. Simpan jambak kunci rumah di tempat tersorok. Kalau dah kunci semua pintu, jangan pulak gantung jambak kunci tu di tengah rumah. Baik tak payah buat no. 4!
6. Hadang pintu gelongsor (sliding door) dengan kayu atau besi. Ini untuk menyukarkan pencuri mengumpil pintu gelongsor anda.

4. Memahami Kelemahan Bumbung Genting

Kes muhammad123 (2010) Forum Cari.my

Kes pecah masuk melalui bumbung juga banyak berlaku terutamanya di kawasan rumah kos rendah dan sederhana. Rekabentuk bumbung jarang diberi perhatian di kalangan pemilik rumah. Walaupun ia nampak sukar diceroboh, pada hakikatnya bumbung genting seperti di atas boleh dibuka dengan hentakkan tangan sahaja.

Antara alternatif bagi menyelesaikan masalah ini adalah:

  1. Memasang penggera pada siling.
  2. Memasang jeriji di bahagian kasau (rafter) bumbung.
  3. Memasang cement board atau papan lapis di bahagian kasau bumbung.
  4. Menggantikan atap genting kepada kepingan keluli atau gentian-simen (fibre-cement).
  5. Memasang/menggantikan siling kepada siling plaster (dengan struktur yang kukuh).

5. Pasang Penggera Keselamatan dan CCTV

Kos peralatan dan pemasangan penggera keselamatan serta CCTV semakin turun, menyebabkan ramai pemilik rumah berkemampuan untuk memasang sistem ini di rumah masing-masing. Dengan kos lingkungan RM1,000 kita boleh memasang penggera beserta panel kawalan di sebuah rumah dua tingkat.

Sistem CCTV yang boleh merakam dan menyiar online secara langsung akan meningkatkan kos, tetapi mungkin berbaloi sekiranya kita kerap meninggalkan rumah dalam jangkamasa panjang atau tidak mahu membebankan jiran dalam mengawasi rumah kita sendiri.

Sistem penggera akan membantu menarik perhatian jiran atau pihak keselamatan ke rumah kita serta menakutkan penceroboh. Rakaman CCTV bukan sahaja boleh membantu mengenalpasti penceroboh ke rumah kita, tetapi juga secara tidak langsung mengawasi laman rumah jiran serta jalan di hadapan dan belakang rumah kita.

Cuma perlu diingat, apabila penceroboh dapat masuk ke rumah kita, mereka akan cuba mencuri atau merosakkan perakam dan capaian internet di rumah anda. Jadi dinasihatkan supaya peralatan berkaitan CCTV dan keselamatan lain dipasang di tempat yang tersorok. Anda juga boleh memasang perakam olok-olok (dummy) di tempat yang mudah dicari, dengan tujuan mengelirukan penceroboh, sedangkan alat yang sebenar disorok di tempat lain.

6. Gunakan Lampu Berpemasa dan Berpicu Sensitif

Salah satu teknik untuk mengelirukan pencuri adalah dengan menggunakan lampu berpemasa (light with timer) di rumah. Sekiranya lampu luar terbiar sepanjang waktu siang, ia cukup untuk memberitahu bahawa tiada siapa di rumah. Penggunaan lampu berpemasa di anjung yang hanya akan menyala di waktu malam akan mengandaikan bahawa ada orang di rumah untuk menutup dan membuka lampu.

Soket berpemasa yang boleh digunakan dengan lampu dinding/meja.

Lampu berpemasa juga boleh digunakan secara berkala di dalam rumah. Contohnya, kita set masa untuk lampu menyala di ruang tamu antara 7-11 malam. Kemudian di dapur antara 8-9 malam. Di bilik tidur antara 10 malam – 1 pagi. Sesekali lampu di bilik-bilik terbuka dan tertutup sepanjang malam. Memang leceh sikit, tapi ia mengandaikan ada orang tinggal di dalam rumah, bergerak dari satu bilik ke satu bilik.

Penggunaan lampu yang sensitif kepada pergerakkan terutamanya di luar rumah boleh membantu menghindari pelawat yang tak diingini. Sekiranya kawasan yang hendak dipecah masuk terang benderang, mereka akan dapat dilihat oleh jiran tetangga atau pengawal keselamatan.

7. Jiran Tetangga Adalah Pencegah Yang Efektif

Semangat kejiranan sebenarnya adalah satu aspek yang dahulu merupakan kebanggaan masyarakat Malaysia. Namun arus moderniti banyak menggugat semangat ini. Oscar Newman mengetengahkan konsep Pengawasan Natural (natural surveillance) di dalam kawasan kejiranan yang merupakan satu kaedah efektif dalam mencegah jenayah.

Salah satu kelebihan jalinan kejiranan yang baik adalah apabila jiran-jiran kenal antara satu sama lain ditambah dengan pengawasan visual yang tinggi. Di sini, jiran-jiran yang kepoh dan suka jaga tepi kain orang sebenarnya dapat membantu kita mengawasi penceroboh atau orang yang tak diingini. Contohnya, pakcik-pakcik yang suka bercucuk tanam di depan rumah, makcik-makcik yang bermesyuarat di tingkap dapur atau budak-budak muda melepak di simpang masuk ke kawasan perumahan akan membantu mengawasi kawasan kejiranan mereka, samada secara langsung atau tidak langsung.

Ketika musim perayaan, tinggal di dalam kawasan berbilang bangsa amat membantu kerana jiran-jiran Melayu dan India boleh membantu mengawasi ketika Tahun Baru Cina, kemudian yang Cina dan India membantu ketika Aidilfitri dan seterusnya Melayu dan Cina bekerjasama ketika Deepavali dan sebagainya.

8. Menggunakan Khidmat Pengawal Keselamatan atau Tinggal Di Dalam Kawasan Berpagar

Sekiranya kita tidak berpeluang untuk tinggal di dalam kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, maka alternatifnya adalah tinggal di dalam kawasan berpagar atau yang mempunyai khidmat pengawal keselamatan. Perumahan berpagar (gated housing) semakin popular di Malaysia, namun kerana nilai tambah itu menyebabkan harga rumah di kawasan seperti itu lebih tinggi dari biasa.

Khidmat pengawal keselamatan yang sentiasa meronda serta memeriksa setiap kenderaan keluar dan masuk juga akan meningkatkan kos. Kerana itu kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang tinggi lebih digemari dan bernilai dalam jangkamasa panjang.

9. Elakkan dari Menggunakan Check-In atau Maklumat Lokasi di Media Sosial Secara Terbuka

Ini adalah satu habit yang semakin meluas dengan penggunaan media sosial terutamanya di kalangan generasi muda. Orang yang tak diingini boleh mengawasi pergerakkan kita terutamanya apabila kita sengaja berkongsi gambar ketika sedang bercuti atau check-in ketika di luar negara.

Sungguhpun berkongsi maklumat seperti itu adalah norma apabile bermedia sosial, tetapi kita harus berhati-hati siapa yang dapat melihat maklumat tersebut. Di sini kami menyarankan agar pengguna menghadkan sebaran maklumat kepada rakan-rakan yang dikenali sahaja. Kalau ingin berkongsi gambar percutian pun, kongsilah selepas anda balik ke rumah, bukan ketika di sana.

10. Perihal Langganan Harian/Mingguan dan Penerimaan Surat atau Parsel

Apabila kita meninggalkan rumah dalam satu jangkamasa yang panjang, kebiasannya sebarang langganan harian/mingguan seperti suratkhabar, roti, susu segar dan sebagainya akan mula berlonggok di depan rumah. Sama juga dengan surat menyurat dan parsel. Dan paling leceh sekali, spam kad nama, leaflet dan kertas iklan yang tak diundang.

Apabila semua benda ini berkumpul dan bersepah di depan rumah, ia memberitahu pencuri bahawa tuan rumah pergi bercuti. Seeloknya pakatlah dengan jiran-jiran yang tidak bercuti untuk tolong kemaskan kawasan pintu pagar kita. Kalau ada roti atau susu, anggaplah sedekah atau upah. Yang penting rumah kita tidak kelihatan seperti ditinggalkan.

11. Mohon Kaburkan Imej Rumah Anda Di Dalam Google Street View

Sejak Google Street View mula menongkah masuk ke atas jalan-jalan di Malaysia, banyak gambar rumah-rumah kita kini boleh diakses dari seluruh dunia. Namun begitu, kita boleh memohon supaya pihak Google mengaburkan rumah kita atas alasan privasi.

Ini boleh menghindarkan orang yang tak diingini dari meninjau rumah kita secara online. Layari link ini untuk mengetahui kaedah mengaburkan rumah anda.

Kesimpulan

Kami berharap artikel ini akan dapat membuka mata tentang keselamatan rumah kita ketika menghadapi cuti panjang. Nasihat utama kami ialah Sentiasa Maklumkan Kepada Polis Apabila Meninggalkan Rumah Untuk Jangkamasa Panjang, kerana Polis adalah pihak terbaik untuk menguruskan sebarang pelakuan jenayah.

Kami juga menasihati pembaca agar mempertimbangkan pengambilan insurans rumah dan harta benda. Ia mungkin tidak dapat menghalang rumah kita dari dipecah masuk, tetapi ia boleh mengurangkan kesan psikologi dan kewangan apabila ia berlaku. Tambahan pula, insurans juga boleh melindungi harta benda kita dari bencana seperti banjir dan kebakaran.

Yang penting ialah usaha kita. Selebihnya kita serah kepada Yang Esa. InsyaAllah.


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.