Beberapa tahun lepas, negara dikejutkan dengan berita kematian sekumpulan anak-anak muda yang menghadiri festival muzik di Kuala Lumpur. Kematian mereka dikatakan akibat kejutan haba (heatstroke). Namun, sedikit kesan dadah jenis MDMA telah dikesan dalam darah mereka. Adakah kedua-dua fakta ini mempunyai kaitan?
MDMA atau 3,4-Methylenedioxymethamphetamine adalah dadah sintetik terbitan amphetamine. Ia juga dikenali sebagai Molly, Adam, Ecstasy dan pelbagai nama lagi bergantung pada ketulenan MDMA dan bahan campuran yang diletakkan di dalamnya.
MDMA adalah dadah rekreasi yang terkenal dikalangan ‘party-goers’, biasa diambil dalam pesta-pesta muzik, pesta RAVE dan pesta muzik elektronik. Pengambilannya dikatakan mampu meningkatkan sensasi dan keseronokan dalam keadaan bingit pesta muzik tersebut. Ia juga meningkatkan kesan empati keseronokan dan menyebabkan pengambilnya seolah-olah lupa pada keperluan asas seperti makan, minum dan berehat.
BAGAIMANA MDMA BERTINDAK?
MDMA menambat pada pengangkut serotonin dan merencat pengambilan balik serotonin ke dalam neuron di otak. Jadi, neurotransmitter serotonin akan berada banyak dan lebih lama untuk mengaktifkan neuron. MDMA juga mengaruh pembebasan neurotransmitter seperti serotonin, dopamine dan norepinephrine di pusat saraf tunjang.
Neurotransmitter-neurotransmitter tersebut penting dalam kawalan emosi, regulasi suhu tubuh (dan otak), regulasi tidur, selera dan rasa ganjaran (reward). Ia juga mengaruh sistem saraf autonomik yang mengawal fungsi tubuh seperti degupan jantung dan pernafasan.
Pengambilan MDMA telah dibuktikan meningkatkan hormone cortisol, prolactin dan hormon adrenocorticotropic lain. Peningkatan prolactin mungkin salah satu sebab mengapa pengambilan MDMA menyebabkan penggunanya merasa empati dan mahukan sentuhan dan keinginan untuk bersosial (possibly mimicking a “post-orgasmic state”).
MDMA DAN STROK HABA
Serotonin dan dopamine penting dalam pengawalan suhu (thermoregulation) di otak. MDMA mengaruh kebanjiran kedua-dua neurotransmitter ini. Malah kesan sampingan MDMA yang distimulasi oleh muzik, cahaya dan persekitaran di pesta muzik menyebabkan pengguna MDMA seronok bergerak dan menari tanpa henti. Aktiviti ini juga menyumbang pada keadaan tubuh yang berpeluh dan meningkatkan suhu tubuh.
Ia diburukkan lagi dengan keadaan persekitaran pesta yang sesak dan panas. Malah, pengguna MDMA ni biasanya ‘terlupa’ minum dan makan. Tubuh akan kehilangan air dan mineral dengan cepat dan suhu tubuh tidak dapat diregulasi dengan tepat. Ini semua menyumbang pada gejala kejutan haba.
Banyak juga kes dilaporkan yang menunjukkan MDMA pada dos yang tinggi akan meningkatkan suhu tubuh dan memaksa penggunanya meminum begitu banyak air kerana kehausan. Mungkin anda boleh membaca tragedi kematian Leah Betts yang meminum tujuh liter air dalam masa 90 minit selepas mengambil sebiji pil MDMA. Beliau ditemui tidak sedarkan diri dan koma akibat otak yang membengkak.
Pengambilan MDMA menunjukkan penggunanya mengalami penurunan fungsi kognitif dalam jangka masa panjang. Pengguna MDMA juga mempunyai penyusutan dari segi kebolehan mengingat, pemprosesan visual, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan kesukaran untuk tidur.
MDMA DAN VARIASI DADAH TERBITAN
Dadah MDMA dijual dalam bentuk serbuk yang boleh diambil secara oral. Namun, ia banyak menyumbang pada keadaan bahaya kelebihan dos (hanya 500 ug MDMA sahaja sudah cukup utuk menyebabkan kematian). Ia banyak dijual dalam bentuk pil bagi mengawal dos tersebut.
Malangnya, pil MDMA ini selalunya dicampur dengan pelbagai dadah lain seperti caffeine, ketamine, emphetamine, methamphetamine untuk menghasilkan kesan yang berbeza. Malah, banyak juga pil-pil MDMA yang dicampur dengan dadah sintetik baru (designer drug) yang tidak begitu diketahui kesannya. Di Malaysia, kadang-kala ia dicampur dengan bahan murah seperti racun tikus dan paracetamol. Jadi, pengambilan dadah jenis MDMA, Molly atau Ecstasy ini adalah amat bahaya dengan kesan yang tidak menentu.
Gambar laporan kes gadis berusia 18 tahun yang ‘mengunyah’ bibirnya sendiri sehingga rompong setelah mengambil MDMA dari artikel Nugent et al (2017)
Sayangi diri dan keluarga. Jauhi dadah!
RUJUKAN
Nugent G, Basyuni S, McAnerney D & Cameron M.Oral surgery: Mutilation following MDMA. BDJ 222, 68 (2017) Published online: 27 January 2017 doi:10.1038/sj.bdj.2017.53
Betzler, F., Viohl, L. and Romanczuk-Seiferth, N. (2017), Decision-making in chronic ecstasy users: a systematic review. Eur J Neurosci, 45: 34–44. doi:10.1111/ejn.13480
Garg A, Kapoor S, Goel M, Chopra S, Chopra M, Kapoor A, McCann UD, Behera C (2015). “Functional Magnetic Resonance Imaging in Abstinent MDMA Users: A Review”. Curr. Drug Abuse Rev. 8 (1): 15–25. doi:10.2174/1874473708666150303115833. PMID 25731754.
McElrath K. MDMA and sexual behavior: ecstasy users’ perceptions about sexuality and sexual risk. Subst Use Misuse, 2005;40(9-10):1461-1477. http://ift.tt/2kW5gnD
Gore SM. Fatal uncertainty: death-rate from use of ecstasy or heroin. Lancet. 1999;354(9186):1265-1266.
Henry JA. Ecstasy and the dance of death. BMJ. 1992;305(6844):5-6.
http://ift.tt/2lvWCzh
Sumber: RootOfSience
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :