Oleh Doktor Abdul Rahman Abdul Kadir
Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Doktor Farhan sedang bertugas di Zon Merah. Malam ini agak sepi berbanding malam-malam yang lain. Kebiasaannya pada waktu ini sudah ada 2-3 kes kritikal yang dibawa masuk, tetapi tidak untuk malam ini.
Zon merah kosong dan tenang, pesakit terakhir baru saja ditolak naik ke ICU 15 minit yang lalu. Apabila suasana tenang seperti ini, kakitangan mengambil peluang untuk berehat seketika. Suasana di Jabatan Kecemasan sukar diramal, kadang kala ketenangan yang dinikmati adalah keamanan seketika sebelum jabatan menjadi huru hara seperti dilanggar todak. Mat Saleh kata,
"The calm before the storm."
Farhan baru saja hendak melabuhkan badannya duduk di kerusi, namun loceng kecemasan berbunyi tiga kali menandakan ada kes kritikal baru yang akan masuk ke zon merah. Farhan menghela nafas panjang dan kakitangan yang lain bergegas ke Zon Merah. Ada yang mulutnya masih mengunyah baki makanan yang dimakan tadi. Mereka tidak tunggu menghabiskan juadah sebaliknya meninggalkan saja makanan demi mengutamakan pesakit.
"Mana MA Fairuz?" tanya Farhan.
Masing-masing meninjau-ninjau mencari MA Fairuz yang belum kelihatan. Kedengaran suara yang baru masuk ke Zon Merah.
"Ada boss. Saya dah sampai. Maaf, saya di tandas tadi," kata Fairuz sambil segera memakai apron dan gloves.
Farhan tersenyum sambil mengusik, "Kau sempat istinjak tak?"
MA Fairuz hanya ketawa sambil kata, "Sempat boss. Sempat. Kejap je. Bukan mandi wajib."
Seluruh pasukan menunggu dengan berdebar-debar menunggu kes yang bakal tiba. Pintu dibuka dan seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 30 tahun ditolak masuk dengan troli. Pesakit kelihatan kurus dan cengkung. Matanya terjegil seolah-olah tersembul dan kelihatan menakutkan. Pesakit kelihatan bernafas dengan kencang dan kelihatan amat gelisah. Bacaan oksigennya hanya 80% sedangkan sepatutnya ia lebih dari 97% bagi orang yang normal. Denyutan nadi pesakit amat laju sekitar 140 denyutan/minit. Badannya panas dengan suhu 39 darjah Celcius.
Farhan segera memberikan bantuan oksigen dan mula merawat pesakit. Dalam keadaan pesakit tercungap-cungap seperti itu, tidak memungkinkan Farhan mendapatkan maklumat dan cerita dari pesakit. Perubatan kecemasan begitulah, kita akan merawat sekalipun diagnosis belum disimpulkan. Yang penting pesakit mesti distabilkan.
Doktor-doktor muda, jururawat dan para MA bersama-sama bertungkus lumus melakukan pelbagai rawatan terhadap pesakit sambil mendengar arahan-arahan yang diberikan oleh Farhan dari semasa ke semasa.
Di tengah-tengah kesibukan itu, seorang lelaki masuk ke Zon Merah dan memperkenalkan dirinya sebagai suami pesakit. Alhamdulillah! Ini peluang! Apabila pesakit tidak mampu bercerita, waris adalah sumber maklumat yang penting bagi para doktor. Peluang ini sesekali tidak mahu disia-siakan Farhan. Farhan lantas bertanya, apakah masalah pesakit.
Suami pesakit menghela nafas panjang .
"Kalau saya cerita, doktor tentu tidak percaya. Tetapi saya beritahu jugalah, isteri saya ini dirasuk hantu."
Farhan terkejut. Sudahlah di tengah-tengah malam ini, cakap pula tentang hantu. Farhan memberanikan diri dan bertanya, "Apa maksud encik? Boleh cerita lebih lanjut?"
"Isteri saya ini dulu sihat, doktor. Sejak setahun ini, dia terkena buatan orang. Ada orang yang tak puas hati dengan keluarga kami hantar hantu. Jadi dia sakit-sakit semenjak itu," jelas lelaki itu.
"Maksud encik, sakit-sakit macam mana tu?" tanya Farhan mencungkil lebih dalam.
"Doktor bayangkan, tengah-tengah malam dia kata panas dan berpeluh-peluh. Dia sentiasa gelisah. Marah-marah anak tak ketahuan. Tak boleh tidur malam. Kalau dia tidur pun, dia mimpi yang buruk-buruk," jelasnya lagi.
Farhan mendengar dengan teliti sambil mengangguk-angguk.
"Macam-macam bomoh, ustaz saya dah bawa jumpa. Mereka kata ini hantu Siam. Susah benau nak halau. Badan isteri saya jadi semakin kurus hingga tinggal rangka," sambungnya lagi.
"Selera makan bagaimana?" soal Farhan, sambil matanya memantau proses rawatan yang dilakukan pada pesakit.
"Itulah yang peliknya doktor. Jin hantu yang duduk dalam badan isteri saya itu makan punyalah banyak. Selera isteri saya bertambah tapi semua zat yang dia makan disedut hantu itu. Dia semakin kurus dan cengkung. Mata pun dah tersembul. Jiran-jiran tengok pun takut. Sekarang haid dia pun dah 3 bulan tak datang. Tok Ayah yang rawat dia kata dia bunting anak jin," sambung suami pesakit bersungguh-sungguh.
Farhan hanya mendengar. MA Fairuz yang turut berada di sebelah menepuk bahu Farhan seolah-olah mengerti gelora hati yang sedang berlaku di dalam hati Farhan. Farhan menarik nafas panjang dan bertanya,
"Selama ini ada bawa isteri jumpa mana-mana doktor tak?" Farhan bertanya sekalipun dia sudah boleh mengagak jawapannya.
"Tak ada doktor. Sakit macam ini bukan bidang doktor. Benda ini soal alam ghaib," kata suami pesakit.
"Jadi kenapa kali ini datang ke hospital?" soal Farhan kehairanan.
"Tok Ayah suruh datang ke hospital sebab isteri saya dah sesak nafas dan meracau-racau. Dia kata, hantu dah kenakan sakit gila pada isteri saya. Tok Ayah nak isteri saya dimasukkan ke wad sakit jiwa untuk rawatan. Nanti dia sambung balik rawat semula," kata suami pesakit dengan bersemangat.
Farhan tidak dapat menahan perasaannya. Kini bomoh dah mula merujukkan kes dengan arahan untuk admit ward. Siap buat diagnosis psikiatri lagi sesuka hati. Muka Farhan merah padam. Dia melihat pesakit yang pernafasannya mula perlahan. Tanda-tanda vital signs seperti saturasi oksigen kini 98% dan denyutan nadi pesakit juga telah turun sedikit ke 130. Farhan lantas meminta suami pesakit tunggu di luar dan pergi bertemu pesakit.
"Saya tak gila doktor," kata pesakit tersebut sayu sejurus Farhan tiba di sisi katil.
"Saya tahu puan. Puan jangan risau," kata Farhan.
Segera dia menyelak tudung pesakit untuk melihat leher pesakit dan kelihatan sebuah benjolan yang besar di leher pesakit.
"Tok Ayah kata bengkak ini santau yang dihantar orang," kata pesakit tersebut.
Farhan sudah mempunyai diagnosis kini. Dari cerita dan pemeriksaannya dia sudah ada diagnosis dalam fikirannya. Dia hanya perlu melakukan ujian pengesahan. Segera ujian darah diambil dan dihantar ke makmal. Farhan menelefon Juruteknologi Makmal Perubatan kerana hendakkan bacaan segera keputusan darah. MLT Liza yang menjawab panggilan bersetuju menjalankan ujian segera.
Seperti dijangka, bacaan ujian mengesahkan diagnosis Farhan. Pesakit ini sedang mengalami Thyroid Storm. Ia adalah penyakit disebabkan rembesan hormon thyroid yang keterlaluan di dalam badan.
Tanpa berlengah masa, Farhan memulakan rawatan-rawatan khusus untuk penyakit ini dengan diberikan ubat-ubatan. Farhan juga merujuk kes tersebut ke doktor medical dan juga doktor ICU kerana pesakit memerlukan rawatan rapi lanjutan.
Kasihan pesakit ini, setahun dia menderita dek kedunguan suaminya yang terlalu mempercayai syirik dan khurafat. Sedangkan sakitnya amat mudah dirawat dengan hanya memakan ubat Carbimazole dan Propanolol saja.
Farhan memanggil suami pesakit dan menerangkan secara panjang lebar kepada pesakit dan suaminya. Tercengang mulut sang suami mendengar penjelasan Farhan.
"Jadi isteri saya tak gila?" tanya lelaki itu.
"Isteri encik tak gila. Dia sakit thyroid. Dia tidak dirasuk dan juga tidak bunting anak jin. Kesemua gejala yang encik ceritakan adalah disebabkan hormon thyroid yang terlalu banyak di dalam badan. Kita boleh rawat sakit ini dengan ubat yang akan mengurangkan penghasilan hormon thyroid ini. Strategi rawatan lanjut akan diberitahu oleh doktor pakar perubatan di wad nanti," kata Farhan sambil tersenyum.
Pesakit ditolak ke ICU selepas itu. Sebelum pergi, pesakit sempat membuka topeng oksigen dan berkata kepada Farhan.
"Terima kasih doktor."
Farhan cukup gembira dan puas hati.
Selang sebulan kemudian, ketika bekerja di zon yang sama, sekali lagi pesakit yang sama dikejarkan masuk ke Zon Merah. Kali ini simptom lebih teruk lagi dengan jantung yang bengkak dan kegagalan jantung hingga paru-paru berair. Pesakit terpaksa ditidurkan dan dimasukkan tiub bantuan pernafasan.
Suami pesakit kembali menemui Farhan.
Farhan kehairanan dan bertanya, "Isteri encik makan ubat tak?"
Suaminya menjawab dengan penuh keyakinan, "Kami dah stop ubat-ubatan, doktor. Ubat-ubatan ni semua bahan kimia. Kami nak berubat natural dan ikut 'sunnah'. Jadi saya bagi isteri saya makan madu dan habbat saja."
Muka Farhan kembali merah padam menahan marah. Dia bertanya lanjut, "Ada makan ubat-ubat lain selain Madu dan Habbat tak?"
"Ada doktor. Nama ubat itu Selmek. Saya baca dalam page Facebook Masyarakat Kena Tipu (MKT), mereka kata ubat ini boleh memulihkan segala penyakit. Abu Nanah kata semua sakit boleh baik termasuk kanser tahap 4. Mahal doktor. Tapi tak apalah, janji isteri saya bebas dari ubat-ubatan syubahat hospital," kata suami pesakit dengan bangga sambil kembang kempis lubang hidungnya.
Farhan sugul. Dia bercerita kepada rakannya Doktor Firdaus setelah habis syif. Dr Firdaus memujuk Farhan.
"Sabar bro. Hanya kaki khurafat saja yang menjadi macai pseudoscience. Keluar mulut naga, masuk mulut buaya. Kita hanya mampu doa saja mereka-mereka ini dapat hidayah," kata Doktor Firdaus.
Sesungguhnya pesakit tidak dirasuk. Sebaliknya, Valak-valak yang memakai jubah-jubah ugama sentiasa gigih menjerumuskan golongan yang jahil ke arah kebinasaan. - Doktor Abdul Rahman Abdul Kadir | The Reporter
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :