Sensasi

'Anak Siapalah Diorang Ni...'


Aduan dari Amin Ali, 26 September 2016

Kejadian berlaku petang Isnin, 26 September 2016. Ternampak sekumpulan remaja berpakaian lengkap uniform sekolah menengah melepak di kawasan perumahan Taman Kota Masai, Pasir Gudang. 

Kawasan perumahan yang memang tidak selamat untuk diduduki. Saya sendiri salah seorang mangsa kes curi minyak petrol kereta. Sampai kering tangki si pencuri kerjakan. Memang kejam sungguh!

Bila ditanya buat apa di sini, jawapan mereka 'melepak'. Ditegur sebab mereka buat bising waktu penduduk sedang berehat dan suara mereka menganggu ketenteraman awam. Bila ditanya tingkatan berapa, mereka jawab tingkatan 3. Mereka beri alasan yang mereka baru habis kelas tambahan yang bermula jam 2.30 petang.

Hairan sungguh, macam ponteng kelas tambahan pun ya. Ditanya sekolah mana, salah seorang daripada mereka menunjuk ke arah SMK Kota Masai (2) yang terletak tidak jauh dari lokasi mereka melepak. 

Ketika sedang melepak, mereka tahan seorang penjual aiskrim bermotosikal dengan lagak samseng. Siap ada dua tiga orang main pulas handle motosikal dan salah seorang remaja bertindak mematikan enjin. Lalu saya tergerak hati untuk merakam perbuatan mereka kerana firasat mengatakan akan ada sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. 

Sah! Dalam video itu kalau anda lihat, ada seorang remaja berbaju merah berlari selepas mengambil aiskrim tanpa membayarnya. Saya syak aiskrim Cornetto (berdasarkan perbualan di antara pencuri dengan penjual warga Pakistan). Part dia patah balik selepas dikejar sempat dirakam tetapi ketika awal dia melarikan diri terlambat pula untuk dirakam. 

Seorang lagi pelajar mencuri satu plastik kon aiskrim tanpa disedari penjual. Dia kemudiannya membahagikan kon aiskrim kepada rakan-rakannya. Dan dia jugalah yang bermain-main dengan loceng motosikal penjual aiskrim berkenaan. 

Sambil melepak, mereka merokok. Agak-agak si penjual tadi sudah pun pergi jauh, barulah mereka tinggalkan tempat lepak tanpa mengutip sampah aiskrim dan puntung rokok. Akibatnya, saya juga yang kena sapu dan bersihkan kawasan itu setiap petang. 

Share kalau rasa perlu, manalah tahu kes-kes kecurian minyak petrol boleh diselesaikan dengan tertangkapnya sekumpulan remaja ini. - Amin Ali | The Reporter


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.