Sukan

Penyu Diaibkan, Kalah Kepada Kelantan 1-6‎


PASUKAN Terengganu terus dirundung malang apabila diaibkan dengan kekalahan memalukan, 1-6 ketika turun melayan kunjungan Kelantan dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Kekalahan itu jelas mengecewakan lebih 7,000 penyokong skuad Penyu yang bertindak melaungkan kekesalan mereka dengan mempertikaikan peranan dimainkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam memulihkan kembali reputasi pasukan Terengganu.

Pada perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan penuh bersemangat dalam memburu gol dan kem pelawat berjaya membuka jaringan awal menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan kemas Blazhe Ilijoski pada minit ketiga.

Gol awal kem Qu Puteh The Red Warriors itu berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan Terengganu, Vincent Bikana yang dipersalahkan kerana menjatuhkan penyerang import Kelantan (Blzahe Ilioski) seminit sebelum itu sekaligus menyaksikan skuad Penyu terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Begitupun, kem tuan rumah tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan apabila ‘ayam tambatan’ skuad Penyu, Issey Nakajima berjaya meledakkan gol penyamaan buat skuad Penyu empat minit selepas itu.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan terus berbalas serangan ke gawang-gawang masing-masing tetapi berjaya dipatah benteng pertahanan yang dilihat semakin ampuh mengekang beberapa percubaan merbahaya.

Di pertengahan permainan pasukan pelawat berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan menerusi sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin selepas penjaga gawang Terengganu dipersalahkan kerana memegang bola terlalu lama.

Bagaimanapun peluang keemasan itu dipersia-siakan kapten pasukan Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi apabila sepakannya terkena benteng sebelum pemain pertahanan tuan rumah bertindak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-24.

Pelawat yang dilihat menguasai perlawanan sekali lagi mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan menarik Blzahe Ilijoski pada minit ke-31 selepas bijak menyempurnakan lorongan cantik Brandan Gan tetapi berjaya dinafikan Mohd Sharbinee Allawee yang bertindak cemerlang memastikan pintu gol tidak dibolosi.

Seminit menuju ke bilik persalinan, sorakkan penyokong kem Qu Puteh The Red Wariors terus bergema apabila Wander Luiz Junior berjaya membawa pelawat kembali di depan selepas menjaringkan gol kedua Kelantan (minit 44).

Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan Kelantan memperkemaskan rentak permainan dengan melakukan pertukaran pertama memasukan Indra Putra Mahayuddin bagi menggantikan kapten pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi.

Bagaimanapun, kem Terengganu yang sesekali melancarkan serangan nyaris menyamakan kedudukan menerusi gerakan solo, Issey Nakajima pada minit ke-54, namun percubaannya tersasar ke kiri pintu gol Kelantan.

Empat minit berselang giliran pelawat pula melakukan asakan ke pintu gol tuan rumah, tetapi keadaan kelam kabut di depan gawang gagal dimanfaatkan Blazhe Ilijoski meskipun Mohd Sharbine sudah tertewas ketika itu.

Usaha Kelantan untuk mengukuhkan kedudukan akhirnya tertunai apabila Wan Zack Haikal Wan Noor berjaya mencetak nama selaku penjaring kem Qu Puteh The Red Warriors pada minit ke-58 hasil lorongan kemas Blazhe Illijoski.

Lima minit selepas itu, Kelantan terus melebarkan jaringan menerusi gol peribadi kedua penyerang kelahiran Mecadonia (Blazhe llijoski) selepas bijak memanfaatkan tolakan keluar Mohd Sharbinee yang cuba menafikan percubaan pemain gantian Abdul Manaf Mamat sebelum itu.

Kelantan yang mempamerkan aksi lebih berdisplin berjaya memanfaatkan kepincangan kem tuan rumah yang terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain untuk terus berpesta gol apabila Blazhe Illijoski mencipta hatrik jaringan pada minit ke-75 setelah mudah merobek gawang gol Terengganu.

Berbaki lima minit sebelum tamat perlawanan, kem Kelantan menambah duka tuan rumah setelah Blazhe Illijoski terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat Terengganu dengan menjaringkan gol keempat peribadinya hasil hantaran silang Wander Luiz Junior untuk gol keenam skuad Qu Puteh The Red Warriors.




LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.