JOHOR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru, lapor akhbar Berita Harian, Selasa.
Dalam temu ramah eksklusif bersama Berita Harian dan New Straits Times (NST), Sultan Ibrahim bertitah beliau menyambut baik projek RTS, namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.
"Pembinaan jambatan dalam ketinggian itu akan menjejaskan pemandangan bandar raya sepanjang Selat Johor, selain ketinggiannya tidak praktikal, tidak mapan dan kosnya berpotensi tinggi.
"Kerajaan Singapura dan Malaysia perlu runding semula reka bentuknya, kaji semua pelan dan runding dengan saya.
"Apa jua yang dikemukakan kepada saya mesti munasabah, berskala ekonomi dan mapan, bukan sahaja untuk orang Johor tetapi semua warga Malaysia dan Singapura," titah baginda.
Baginda yakin lebih mudah dan murah untuk membina jambatan yang lurus serta lebih dekat dengan Tambak Johor.
"Jambatan itu lebih sesuai jika ketinggiannya sama dengan Tambak Johor atau sedikit lebih tinggi.
"Kami pandang penting mengenai reka bentuk itu dan bila saya cakap kami, ini merujuk kepada Johor.
"Jika saya tidak suka, rakyat Johor juga tidak suka. Jika anda lakukan juga, saya tidak merestuinya," tegas baginda.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut membuat lakaran cadangan baginda untuk reka bentuk jambatan yang lebih praktikal.
Baginda juga mempersoalkan mengapa kedua-dua negara perlu menggunakan khidmat kontraktor berasingan untuk membina bahagian di negara masing-masing dan menyarankan agar hanya satu kontraktor sahaja yang digunakan melalui usaha sama.
Sultan Ibrahim mahu mengemukakan cadangan baginda kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada pertemuan mereka, bulan depan.
"Selepas itu saya akan membawa hasil perbincangan berkenaan kepada Kerajaan Malaysia dan media," titah baginda.
Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif untuk 80,000 hingg 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari. Apabila siap nanti, RTS mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna di antara kedua-dua negara setiap jam.
Malaysia dan Singapura bersetuju menggunakan jambatan tinggi bagi RTS kerana ia dilihat penyelesaian yang paling kos efektif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata keputusan membina jambatan itu dibuat selepas beliau dan Hsien Loong meneliti pelbagai opsyen termasuk menggunakan jambatan tinggi, jambatan rendah dan terowong.
Ia juga bagi mengintegrasikannya dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura laluan Thomson - Pantai Timur (TEL) yang akan dibina. Projek TEL dengan 31 stesen itu akan dibuka dalam beberapa fasa antara 2019 hingga 2024.
Pada 31 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian dua hala mengenai RTS pada Disember depan.
Kedua-dua negara bersetuju melantik sebuah syarikat untuk mengendali dan mengurus sistem operasi lintasan sempadan itu termasuk sitem kereta api, landasan dan sistem isyarat.
Singapura memilih SMRT Corp, manakala Malaysia meminta Prasarana Malaysia Bhd, dengan kedua-duanya sedang berunding syarat projek membabitkan tempoh konsesi selama 30 tahun.
"Mengapa mesti Prasarana? Mengapa tidak kerajaan negeri Johor? Kena ingat, tanah adalah urusan negeri Johor, bukan Kerajaan Persekutuan.
"Kalau kamu bukan orang sini, kamu tidak akan faham sentimen Johor," titah Sultan Ibrahim.
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :