RootOfSience

Nenas 10,000 kali Lebih Kuat Dari Kemoterapi?

Beberapa minggu ini email, pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook dihujani dengan kenyataan yang mengatakan nenas mengandungi komponen antikanser yang amat berkesan digelar ‘BROMOLIN’. Ia dikatakan sangat poten dan sangat berkesan untuk merawat kanser dan pelbagai penyakit. Namun, dirahsiakan kerana kompeni big pharma akan kerugian kerana tidak dapat menjualnya.

Kedengaran sangat cliché bukan? Ya, ia memang tidak boleh dipercayai sedikitpun kerana kenyataan berantai yang biasanya disebar melalui media social seperti itu biasanya memang tidak berasas. Namun, mari kita belajar sedikit mengenai nenas dan bromelain (bromolin tidak pernah lagi wujud dan ditemui).

Nenas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah dari family Bromeliaceae. Buah nenas kaya dengan karbohidrat dan pelbagai jenis vitamin terutama vitamin C dan mineral. Nenas juga kaya dengan antioksidan polifenol seperti asid gallic, asid ferulic dan catechins.

BROMELAIN

Nenas mengandungi sejenis enzim yang sangat menarik perhatian sehingga digembar-gemburkan potensinya untuk merawat pelbagai penyakit – BROMELAIN.

Ia merujuk pada enzim protease yang diekstrak dari nenas. Walaupun enzim ini boleh didapati diseluruh bahagian nenas termasuk buah, daun, batang dan pokok, bahagian empulur mengandungi amaun bromelain yang tertinggi.

Enzim protease: Sejenis enzim yang memangkinkan tindakbalas menguraikan protein.

Kita sering mendengar petua orang-orang tua supaya menggunakan nenas untuk melembutkan daging, bukan? Sebenarnya petua tersebut ada kebenarannya. Jika daging diperap dengan hirisan nenas, enzim bromelain dalam nenas akan menguraikan sedikit collagen dan protein dalam otot daging tersebut. Hasilnya, daging akan jadi lebih empuk untuk dimasak sesedap rasa.

Image result for bromelain meat tenderizer

Ekstrak nenas yang mengandungi enzim ini juga telah dikomersilkan sebagai ejen pelembut daging. Bahkan, terdapat juga usaha untuk menggunakan enzim bromelain rekombinan yang dihasilkan dari bakteria.

BROMELAIN & KANSER

Bukan seperti yang dinyatakan dalam penulisan berita palsu tersebut, enzim ini telah banyak dikaji secara meluas tentang potensinya dalam rawatan pelbagai penyakit.

Pada tahun 2012, bromelain telah diluluskan untuk digunakan sebagai persediaan topikal dalam rawatan luka terbakar (NexoBrid). Ia digunakan untuk membantu menanggalkan tisu-tisu mati pada luka terbakar dengan mudah disamping mengurangi inflamasi.

Persediaan/ Rawatan topikal: Ubatan yang diletakkan diatas kulit dan tidak diambil kedalam tubuh.

Setakat ini, penggunaan bromelain dalam lain-lain rawatan penyakit masih tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh. Benar, bromelain menunjukkan potensi yang sangat tinggi untuk membunuh sel-sel kanser secara in vitro (sel dalam piring petri). Tetapi penggunaannya secara sistemik apalagi jika diambil secara oral (melalui mulut) menunjukkan kegagalan.

Image result for ananas

 

Ini kerana bromelain adalah sejenis enzim, iaitu protein. Seperti daging, telur, ayam dan sumber protein lain yang kita makan, ia akan terdedah pada pH yang melampau dalam perut dan enzim-enzim pencernaan yang akan merosakkan protein tersebut kepada asid-asid amino yang diserap oleh tubuh.

 

Image result for insulin injection

Jika bromelain disampaikan secara suntikan seperti hormon insulin (yang juga sejenis protein), mungkin ia boleh menembusi halangan pencernaan dari sistem perut tersebut. Namun, saiz molekul bromelain yang besar dan enzim protease yang terdapat dalam darah manusia menunjukkan bromelain tidak dapat disampaikan pada sistem tubuh secara efisyen untuk tujuan rawatan. Terutama rawatan kanser yang memerlukan amaun bromelain yang tinggi.

Tahukah anda?

Rasa aneh pada lidah selepas memakan nenas adalah diakibatkan aktiviti bromelain dan oksalat yang ‘menghakis’ sedikit tisu lidah dan permukaan mulut anda.

Namun, setakat ini beberapa kajian menunjukkan pengambilan diet yang mengandungi bromelain (dari pengambilan nenas) menunjukkan kesan positif dari segi penurunan kesan sampingan akibat kemoterapi. Ia juga mengurangi kesan kesakitan akibat keradangan.

BENARKAH BROMELAIN DALAM NENAS 10,000 KALI LEBIH POTEN DARI KEMOTERAPI?

Sudah tentu tidak!

Kerana kemoterapi berfungsi sebagai ‘ejen pembunuh’ sel-sel (terutama sel kanser). Jika bromelain dalam nenas mempunyai kesan yang lebih ampuh dari kemoterapi, sudah tentulah akibat memakan nenas kita akan mengalami simptom kesan sampingan yang lebih teruk dari kesan kemoterapi. Boleh baca disini mengapa kemoterapi memberikan kesan tersebut. Nenas juga akan dianggap sebagai bahan makanan yang berbahaya dan tidak digalakkan memakannya.

Syukurlah… kita masih boleh menikmati kesegaran nenas tanpa kesan sampingan seperti rambut luruh, ulser mulut dan perut serta diarea!

RUJUKAN

Majid OW, Al-Mashhadani BA. Perioperative bromelain reduces pain and swelling and improves quality of life measures after mandibular third molar surgery: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Journal of Oral and Maxillofacial Surgery. 2014 Jun 30;72(6):1043-8.

de Lencastre Novaes LC, Jozala AF, Lopes AM, de Carvalho Santos‐Ebinuma V, Mazzola PG, Pessoa Junior A. Stability, purification, and applications of bromelain: A review. Biotechnology progress. 2016 Jan 1;32(1):5-13.

Brien S, Lewith G, Walker AF, et al. Bromelain as an adjunctive treatment for moderate-to-severe osteoarthritis of the knee: a randomized placebo-controlled pilot study. QJM: Monthly Journal of the Association of Physicians. 2006;99(12):841-850.

Brien S, Lewith G, Walker A, et al. Bromelain as a treatment for osteoarthritis: a review of clinical studies. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine. 2004;1(3):251-257.

Gallo L. The Effect of a Pure Anti-inflammatory Therapy on Reducing Prostate-specific Antigen Levels in Patients Diagnosed With a Histologic Prostatitis. Urology. 2016 Aug 31;94:198-203.

Chaudhary B, Bist R. Protective manifestation of bacoside A and bromelain in terms of cholinesterases, gamma-amino butyric acid, serotonin level and stress proteins in the brain of dichlorvos-intoxicated mice. Cell Stress and Chaperones. 2017 May 1;22(3):371-6.

Guo R, Canter PH, Ernst E. Herbal medicines for the treatment of rhinosinusitis: a systematic review. Otolaryngology—Head and Neck Surgery. 2006;135(4):496-506.

Miller PC, Bailey SP, Barnes ME, et al. The effects of protease supplementation on skeletal muscle function and DOMS following downhill running. Journal of Sports Sciences. 2004;22(4):365-372.

Morishita M, Peppas NA. Is the oral route possible for peptide and protein drug delivery?. Drug discovery today. 2006 Oct 31;11(19):905-10.

Dhandayuthapani S, Perez HD, Paroulek A, Chinnakkannu P, Kandalam U, Jaffe M, Rathinavelu A. Bromelain-induced apoptosis in GI-101A breast cancer cells. Journal of medicinal food. 2012 Apr 1;15(4):344-9.

Chobotova K, Vernallis AB, Majid FA. Bromelain’s activity and potential as an anti-cancer agent: current evidence and perspectives. Cancer letters. 2010 Apr 28;290(2):148-56.

Batkin S, Taussig SJ, Szekerezes J. Antimetastatic effect of bromelain with or without its proteolytic and anticoagulant activity. Journal of cancer research and clinical oncology. 1988 Oct 1;114(5):507-8.

Beuth J. Proteolytic enzyme therapy in evidence-based complementary oncology: fact or fiction?. Integrative cancer therapies. 2008 Dec;7(4):311-6.

The post Nenas 10,000 kali Lebih Kuat Dari Kemoterapi? appeared first on Root of Science.


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.