ALOR SETAR, KEDAH - Seorang bayi perempuan meninggal dunia semalam selepas dirawat selama tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, akibat tidak sedarkan diri, dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, lapor Harian Metro.
Haifa Afrina Mohd Nasri, 15 bulan, disahkan meninggal dunia pada jam 3.40 petang ketika masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.
Bapa mangsa, Mohd Nasri Mohd Yusoff, 26, berkata, terdahulu dia menerima mesej pengasuh anaknya di aplikasi WhatsApp yang memaklumkan Haifa Afrina tidak sedarkan diri ketika di rumah pengasuhnya di Padang Serai, Kulim, jam 4 petang, Jumaat lalu.
"Arwah tidak nampak sebarang perubahan atau menangis, cuma ada luka di dahinya. Pengasuh juga ada beritahu anak saya pernah terjatuh, sehari sebelum itu dan luka di dahi kanan.
"Kami menghantarnya ke Hospital Kulim sebelum dipindahkan ke HSB dan dimasukkan ke ICU sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam," katanya.
Menurut bapanya yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim berkata, Haifa Afrina dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak dua minggu yang lalu selepas isterinya bekerja di sebuah kilang berhampiran di Kulim.
Jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Naya, Arau, Perlis sebaik urusan bedah siasat selesai dilakukan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengasuh berkenaan juga telah ditahan untuk membantu siasatan. Polis juga sedang menunggu hasil bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :