Para saintis masa kini sedang menghasilkan satu ujian yang sangat sensitif dimana pada masa hadapan para doktor akan menggunakannya untuk mengesan kanser. Kajian ini telah diumumkan pada satu persidangan iaitu ‘American Society of Clinical Oncology Conference‘ di Chicago pada minggu lepas. Mereka mengatakan ini merupakan salah satu langkah besar untuk membuat ‘Liquid biopsies'(Biopsi daripada cecair manusia)
Untuk mengetahui seseorang itu mempunyai Kanser ataupun tidak, doktor selalunya akan mengambil biopsy daripada ketumbuhan. Ini kerana ketumbuhan boleh terbahagi kepada dua iaitu ‘benign’ ataupun ‘malignant’ dan perlu dibezakan sebab cara rawatan yang berbeza.
Ketumbuhan yang ‘benign’ merupakan ketumbuhan yang tidak terlampau berbahaya. Ia tidak merebak seperti kanser. Sebagai contoh Fibriadenoma dalam payu dara wanita. Ia bukan ketumbuhan yang dirisaukan. Jika ia tidak membesar, selalunya kita akan biar sahaja.
Ketumbuhan jenis ‘malignant’ adalah ketumbuhan yang berbahaya sebab ia boleh merosakkan tisu disekeliling kawasan ketumbuhan tersebut dan merebak ke tempat lain. Ketumbuhan jenis inilah yang kita panggil sebagai KANSER.
Cara untuk membezakan antara kedua ketumbuhan ini hanyalah dengan menggunakan biopsy. Iaitu kita akan mengambil sampel daripada kawasan tumor dan melihat karakter sel tersebut dibawah mikroskop. Jika ia mempunyai karakter seperti kanser, barulah kita akan setuju diagnosis seseorang itu adalah penyakit kanser.
Ada juga cara lain untuk melihat sama ada ketumbuhan itu kanser ataupun tidak sebagai dengan menggunakan mammogram, ultrasound, CT-scan dan juga MRI. Tetapi cara yang paling tepat adalah dengan mengambil biopsy. Tetapi sebelum biopsy diambil, doktor akan melihat daripada keputusan mammogram, ultrasound dan sebagainya adakah ia kemungkinan besar kanser ataupun tidak. Jika tidak, selalunya doktor akan suruh perhatikan ketumbuhan itu terlebih dahulu.
Apakah itu ‘Liquid Biopsy’?
Biopsy liquid pula bermaksud dengan kita mengambil cecair daripada seorang manusia sebagai contoh darah, air luar, air kencing dan sebagainya untuk melihat sama ada seseorang itu mempunyai kanser ataupun tidak.
Teknik ini merupakan teknik yang sangat popular dan mendapat banyak sambutan daripada saintis. Ini kerana ia tidak akan melibatkan prosedur yang besar terhadap pesakit. Selalunya biopsy sesuatu tumor melibatkan pembedahan, pemotongan atau cucukan jarum yang besar untuk mengambil sampel ketumbuhan tersebut. Tetapi jika kita dapat bangunkan teknologi ‘liquid biopsy’ ini, maka kita tidak perlu menghadapi prosedur tersebut kecuali ketika ingin membuang ketumbuhan tersebut.
Para pengkaji berharap teknologi ‘liquid biopsy’ boleh menyediakan cara yang kurang sakit untuk mengesan kasner.Gambar oleh: Ed Reschke/Getty Images
Ia berlainan dengan pemeriksaan yang dijalankan di makmal ataupun hospital dimana mereka memeriksa ‘Tumor marker'(penanda tumor). Tumor marker adalah enzim ataupun protein yang dihasilkan oleh sel-sel yang tertentu dan digunakan untuk pemerhatian sesuatu pesakit yang mempunyai kanser. Ia tidak digunakan untuk diagnosis sesuatu kanser kerana ketepatannya sangat rendah
Penemuan Kajian ini.
Kita berbalik kepada penemuan terbaru ini. Bagaimana mereka mengesan kanser? Apabila darah melalui sesuatu kanser, sebahagian tisu mati daripada kanser tersebut akan masuk ke dalam darah termasuk DNA kanser tersebut. Mengikut teori, liquid biopsy sepatutnya semudah ambil darah pesakit untuk melihat DNA kanser tersebut dan kita dapat mengenal pasti kanser jenis apa. Tetapi macam biasa, ia tidak sebegitu mudah. Ini disebabkan jumlah DNA kanser itu terlampau sedikit berbanding isipadu darah dalam badan.
Bukan itu sahaja, tisu-tisu lain pun akan mengeluarkan sel yang mati bersama DNA nya yang menyebabkan pencarian DNA kanser tersebut semakin sukar
Tetapi para pengkaji telah menemui cara untuk mengatasi perkara tersebut dan telah menemui DNA-DNA kanser dalam sampel darah yang mereka tengah kaji. Walaupun ujian ini masih tidak begitu tepat, tetapi mereka berharap yang kajian seterusnya akan dapat meningkatkan ketepatan ujian ini hingga betul-betul boleh membuat diagnosa kanser terhadap pesakit tanpa melakukan biopsy yang biasa.
BUKAN ITU SAHAJA, MEREKA JUGA BERHARAP UJIAN INI MAMPU MENGESAN KANSER WALAUPUN SESEORANG ITU BELUM LAGI MEMPUNYAI SIMPTOM DISEBABKAN KANSER TERSEBUT. Ini kerana kebanyakkan pesakit yang sudah mempunyai simptom selalunya mempunyai tahapan kanser yang tinggi ataupun sudah merebak. Kewujudan ujian seperti ini dapat membuatkan para doktor merawat sesuatu kanser pada tahapan awal dan peratusan untuk pesakit tersebut hidup lebih lama dapat ditingkatkan.
Dr Pedram Razavi berserta ahli pengkaji yang lain mengambil darah daripada 123 pesakit kanser payu dara, prostat dan paru-paru dan mereka dapat mengesan 89 peratus DNA kanser daripada jumlah para peserta tersebut. Untuk kanser payu dara, ketepatannya meningkat hingga 97%. Ini membuatkan kajian dan ujian ini sangat menjadi perhatian para saintis dan juga doktor di seluruh duni
Walaubagaimanapun, kajian ini barulah permulaan menggunakan sampel pesakit yang sedikit. Tetapi para pengkaji menyatakan bahawa penemuan ini memberi harapan yang besar pada dunia perubatan untuk mengesan pesakit kanser dengan cara yang tidak menyakitkan.
Sumber: http://ift.tt/2rUmybS
Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat sila like page kami Root of Science.
Sumber: RootOfSience
LAYARI

LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :