“Saya ada satu pakej ambil darah ini Puan. Dalam pakej ini semua jenis ujian kita masukkan. Sekali dengan ujian untuk menentukan Puan ada kanser ataupun tidak. Puan berminat tak?”
Bila diajukan soalan sebegini, sudah tentu kebanyakkan daripada kita berminat. Dengan ambil darah sahaja, boleh tahu keadaan satu badan. Termasuk sekali tahu ada kanser ataupun tidak. Tapi tahukah anda bahawa pengambilan darah tidak boleh dijadikan salah satu cara untuk tahu sama ada anda mempunyai kanser ataupun tidak?
Salah satu ujiian darah yang ‘konon’nya boleh mengetahui seseorang itu ada kanser ataupun tidak adalah ‘Tumor Marker’ ataupun dalam bahasa melayunya Penanda tumor.
Penanda tumor(Tumor marker)
Penanda tumor merupakan kompaun yang dihasilkan oleh sel kanser ataupun sel yang normal disebabkan kesan daripada kanser yang berlaku. Kompaun ini boleh dijumpai dalam darah, air kencing, najis air besar, cecair daripada badan dan beberapa tempat lagi bergantung kepada jenis kanser
Pelbagai jenis penanda tumor sebagai contoh:
- Carcinoembrayonic antigen/CEA: selalunya tinggi pada kanser usus
- Alpha-fetoprotein/AFP: Selalunya tinggi pada kanser hati dan germ cell cancer
- CA 19-9: Selalunya tinggi pada kanser pancreas
- CA-125: Selalunya tinggi pada kanser ovary
- CA 15-3: Selalunya tinggi pada kanser payudara
- Prostate specific antigen/PSA: selalunya tinggi pada kanser prostate
Dan banyak lagi
Tetapi perlu diketahui bahawa semua ujian diatas tidak dapat mengesahkan seseorang itu mempunyai kanser ataupun tidak. Ini kerana ujian tersebut tidak mempunyai kepekaan(sensitivity) dan Kejituan(specificity/accuracy) yang tinggi.
Penanda tumor ataupun ‘tumor marker’ tidak boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk mengetahui seseorang itu mempunyai kanser ataupun tidak. Ianya salah dan tidak beretika
Syarat untuk sesuatu ‘test’ ataupun ujian itu digunakan untuk saringan kanser adalah ia wajib mempunyai kepekaan dan kejituan yang tinggi
Apa maksud Kepekaan?
Dalam bahasa inggeris kepekaan ini bermaksud ‘sensitivity’. Sesuatu ujian saringan kanser perlulah sensitif untuk mengesan pesakit kanser. Ini kerana kita tidak mahu pesakit yang mempunyai kanser terlepas ketika menjalankan ujian tersebut.
Sebagai contoh ada 100 orang yang mempunyai kanser usus. Kita guna satu ujian yang dikatakan boleh kesan kanser usus. Daripada ujian tersebut ia dapat kesan 99 orang positif mempunyai kanser. 1 lagi negatif. Ini bermaksud kepekaan ujian tersebut adalah 99%. Ujian seperti ini sesuai untuk dijalankan sebagai saringan kanser
Kita tidak mahu ujian saringan kanser yang mempunyai kepekaan yang sangat rendah ini kerana ia akan menyebabkan ramai daripada pesakit yang sebenarnya mempunyai kanser terlepas daripada rawatan.
Kita ambil satu contoh kepekaan ujian sebanyak 50%. Jika ada 100 orang yang mempunyai kanser, hanya 50 orang sahaja yang dapat dikesan positif kanser daripada ujian tersebut. 50 orang lagi tidak tahu dia mempunyai kanser sehinggalah kanser itu merebak ke seluruh badan dan menghasilkan simptom.
Ujian seperti ini hanya akan menambah kos perbelanjaan. Dah lah tak tahu ada kanser, bila dah ada simptom, kanser tersebut sudah merebak ke tempat lain.
Sebab itu ujian saringan perlu mempunyai kepekaan yang tinggi.
Apa maksud Kejituan?
Dalam bahasa inggeris kejituan in bermaksud ‘specificity’ ataupun ‘accuracy’. Tetapi dalam istilah perubatan kita ambil sebagai specificity
Ia membawa maksud jika ujian itu positif, ia benar-benar mempunyai kanser jenis itu sahaja. Sebagai contoh ujian saringan kolonoskopi iaitu kamera dimasukkan ke dalam saluran usus untuk melihat keadaan dalam usus besar. Jika ada kanser, maka ia adalah spesifik menunjukkan dia ada kanser usus. Tidaklah tiba-tiba dia ada kanser usus sekali dengan kanser payudara.
Bagi tumor marker pula, ia tidak spesfik. Sebagai contoh ‘penanda tumor CEA’, ia akan tinggi jika ada kanser usus. Tetapi ia juga boleh tinggi jika seseorang itu mempunyai kanser ovary. Bahkan, kadang seseorang yang normal pun boleh mempunyai kenaikan bacaan CEA. Oleh itu, Penanda tumor CEA tidak boleh dijadikan sebagai salah satu ujian untuk proses saringan kerana ia tidak spesifik.
Ini adalah gambarrajah untuk kita faham apa maksud kejituan dan kepekaan yang kita bincangkan di atas.
- Titik yang berwarna putih merujuk kepada orang normal.
- Titik yang berwarna hitam merujuk kepada pesakit kanser
- Warna merah jambu yang mengelilingi titik pula menunjukkan ujian tersebut POSITIF
Gambar rajah tersebut menunjukkan apa yang akan berlaku jika sesuatu ujian tersebut mempunyai perbezaan daripada segi kepekaan dan kejituan.
Jika sesuatu ujian tersebut mempunyai kepekaan dan kejituan yang tinggi, ia akan dapat memberi keputusan ujian yang positif kepada pesakit kanser dengan tepat.
Tetapi jika ia mempunyai kepekaan dan kejituan yang rendah, maka pesakit yang tiada kanser akan mempunyai keputusan ujian yang positif manakala pesakit yang mempunyai kanser pula mendapat keputusan ujian yang negatif.
Penanda tumor tidak boleh digunakan untuk diagnos kanser
FAKTA yang semua perlu ketahui adalah penanda tumor tidak digunakan untuk membuat saringan kanser. Ini kerana penanda tumor mempunyai kadar kepekaan dan kejituan yang rendah.
Ini adalah disebabkan beberapa perkara
1) Ada beberapa jenis penanda tumor yang hanya tinggi ketika kanser sudah merebak. Jika kanser pada peringkat awal, penanda tumor tersebut berada pada bacaan yang normal
2) Ada beberapa penanda tumor yang tidak spesifik. Bermaksud jika ia positif, tidak semestinya ia mempunyai kanser tersebut. Sebagai contoh jika bacaan CEA tinggi, kemungkinan pesakit tersebut mempunyai kanser usus. Tetapi apabila kita lihat di dalam ususnya, tiada kelihatan kanser tersebut. Tetapi kita tidak tahu mungkin bacaan CEA itu tinggi disebabkan hadirnya kanser ovari.
3) Jika bacaannya tinggi, tidak semestinya ada kanser.
Ini adalah kerana ujian seperti ini tidak mempunyai kadar kepekaan dan kejituan yang tinggi. Keputusan yang didapati mungkin ‘false positif’ dan ‘false negative’. Iaitu positif tapi tiada kanser ataupun negatif tetapi ada kanser.
Apakah kegunaan penanda tumor kalau macam itu?
Penanda tumor hanya sesuai digunakan untuk melihat sama ada rawatan kanser yang diberikan oleh doktor berkesan ataupun tidak dan ia juga untuk melihat kanser itu berlaku semula ataupun tidak(Recurrent cancer).
Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai kanser usus, penanda tumor CEA di ambil dan kelihatan tinggi. Setelah pembedahan dibuat, doktor akan ambil darah balik untuk melihat penanda tumor CEA. Jika bacaannya semakin turun, maka pembedahan yang dibuat adalah berjaya membuang kanser daripada badan pesakit tersebut.
Jika masih tinggi, mungkin kanser sudah merebak ke tempat yang lain.
Ia tidak digunakan untuk diagnos seseorang itu mempunyai kanser
Budaya ambil darah di Malaysia
Terdapat beberapa ‘private lab’(Makmal swasta) yang selalu menjalankan ujian darah. Mereka juga akan menyelitkan ujian darah yang dikatakan mampu mengesan kanser. Bahasa mudahnya adalah mereka membuat saringan kanser dengan cara mengambil PENANDA TUMOR(TUMOR MARKER) walhal ianya adalah salah dan anda diminta untuk membayar lebih untuk ujian tersebut walaupun sebenarnya ujian itu tidak diperlukan
Perbuatan ini mempunyai dua implikasi:
1) Ia akan menyebabkan ‘false alarm’ iaitu seseorang itu akan jadi bimbang ketika mana ujian darahnya positif, bacaan penanda tumornya itu tinggi. Sedangkan ia tinggi bukan disebabkan kanser. Tetapi secara semula jadinya tinggi.
Pesakit akan pergi ke hospital dan menghabiskan semua duitnya untuk mengetahui kanser apakah yang dia ada sedangkan dia sebenarnya tiada kanser.
2) Ia juga akan menyebabkan ‘false relief’ iaitu dia rasa lega sebab keputusan darah negative, iaitu bacaan penanda tumor rendah. Seolah-olah menunjukkan dia tiada kanser. Dan apa yang merisaukan lagi apabila pesakit sudah mempunyai simptom kanser tetapi dia masih tidak mahu mendapatkan rawatan disebabkan bacaan penanda tumornya itu normal
Ini akan menyebabkan seseorang pesakit yang mempunyai harapan untuk rawatan pada tahapan awal kanser membiarkan kanser tersebut sehinggalah ia merebak ke tempat lain.
Sumber: http://ift.tt/2o9f3HC
SCAMMER DI LUAR SANA
Terdapat juga beberapa doktor dan prof palsu diluar sana yang menggunakan bacaan penanda tumor ini sebagai salah satu cara untuk mengetahui seseorang itu mempunyai kanser ataupun tidak. Ketahui bahawa amalan tersebut adalah salah. Kanser tidak di diagnos dengan menggunakan bacaan penanda tumor. Kanser juga tidak disaring dengan menggunakan bacaan penanda tumor.
Malah menggunakan bacaan tersebut untuk meletakkan tahapan kanser seseorang itu tahap ke berapa. Ini adalah perbuatan yang tidak masuk akal. Tiada doktor di dalam dunia ini yang meletakkan tahap kanser seseorang dengan hanya melihat keputusan darah
Jika ada anda lihat ‘doktor’ yang diagnos kanser selain daripada kanser darah dengan menggunakan ujian darah, maka ketahuilah bahawa dia sedang menipu anda. Nak diagnos kanser darah pun sebenarnya kena ambil sampel daripada sumsum tulang.
Selalunya doktor ataupun prof palsu ini akan merawat dengan menggunakan bahan utamanya iaitu Vitamin B17. Kegunaan vitamin B17 ini sudah kami jelaskan di dalam post sebelum ini. Anda boleh rujuk link ini. Secara kesimpulan, Vitamin B17 tidak lah menyembuhkan kanser.
Saringan kanser
Terdapat beberapa kaedah saringan kanser di Malaysia dan ianya mengikut jenis kanser sebagai contoh:
1) Ujian Pap smear untuk mengesan kanser pangkal rahim(cervix) ataupun tanda-tanda awal sebelum menjadi kanser
2) Ujian Immunochemical Faecal Occult Blood test berserta kolonoskopi untuk mengesan kanser usus
3) Mammogram untuk mengesan kanser payudara
Salah satu saringan pap smear
Ujian mamogram yang digunakan untuk saringan kanser payudara
Saringan-saringan seperti ini mempunyai kadar kepekaan dan kejituan yang tinggi. Sebab itu di klinik kesihatan mahupun di hospital, mereka akan membuat ujian ini dahulu untuk tujuan saringan. Jika positif mempunyai kanser, barulah darah diambil untuk melihat bacaan penanda tumor.
Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science.
Sumber: RootOfSience
LAYARI

LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :