RootOfSience

Luka di jari nampak berdarah, sakit di dalam siapa yang tahu?

Ketika sibuk memangkas buluh untuk dijadikan lemang hidangan istimewa hari raya, dalam kekalutan terkena bilah parang usang ketapak tangan. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Meleleh merah darah terkena hujung baju. Kerana tiada kain untuk menyapu darah dari kulit yang terponggah, terus digunakan saja sarung tangan lama yang diguna untuk menghalang miang buluh mencucuk tangan. Malang, terlupa pula sarung tangan lama itu berselaput tanah setelah terjatuh tadi. Aduh! Bertambah pedih luka di tapak tangan.

Mujur luka tidak perlu jahitan. Cuma dicuci dan diletakkan ubat. Tapi terpaksa menahan pedih suntikan anti tetanus pula.

Image result for inflammation hands cut

Setelah dua hari, tapak tangan agak bengkak dan merening kemerahan. Terasa panas disekitar luka, malah bila ditekan agak lembut dan berair jernih. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku disekitar luka tersebut?

IMUNITI SEMULAJADI

Tubuh kita sebenarnya dilengkapi dengan pelbagai cara dan mekanisma untuk menghalang jangkitan. Kulit kita sendiri adalah salah satu penghalang fizikal bagi kebanyakan pathogen dari memasuki sistem tubuh dan salur darah. Namun, apabila kita terluka penghalang kulit itu telah terbuka dan mendedahkan tisu dan salur darah kita. Ini adalah peluang bagi pathogen dan pelbagai bendasing memasuki tubuh.

Image result for innate immunity

Jika kita ibaratkan tubuh kita sebagai  sebuah negara, kulit umpama sempadan negara yang berdaulat. Menanda sempadan negara dari dicerobohi. Bila berlaku pencerobohan maka ada askar-askar dan gerila yang akan membanteras nya.

Ada beberapa contoh penghalang fizikal lain seperti lapisan mucus di perut. Air liur dan juga air mata. Ya, air mata bukan sahaja dapat membasuh luka dihati, ia juga dapat membantu menghalang pathogen dari menjangkiti mata.

Apabila berlaku luka, pelbagai bala tentera, ahli rukun tetangga dan pengawal yang akan ditugaskan di tapak kecederaan. Sel-sel leukosit adalah sel pengawal yang terdapat dalam saluran darah. Antara sel leukosit (sel darah putih) yang penting adalah dari jenis phagocyte.

 

Sel ini boleh dikatakan seperti ‘guard patrol’ yang akan membanteras segala pathogen tanpa mengenal pasti identity mereka. Sama ada bakteria atau virus, semua akan ‘ditelan’ oleh sel phagocyte untuk dimusnahkan. Sel macrophage akan menelan pathogen dan juga menghasilkan cytokine, sejenis protein signal yang boleh diibaratkan seperti semboyan yang memanggil sel-sel lain kemedan juang.

Ada banyak sel-sel lain yang berfungsi dalam sistem imun semulajadi ini. Seperti neutrophil, euosinophil, basophil dan sel Natural Killer yang membunuh sel-sel kita yang telah mengalami jangkitan.

Sel Mast pula akan merembeskan molekul-molekul kimia seperti histamin yang akan memulakan rantaian proses inflamasi.

PROSES INFLAMASI

Inflamasi adalah salah satu mekanisma tubuh untuk melawan jangkitan. Molekul-molekul histamin dan prostaglandin yang dihasilkan melalui rantaian proses inflamasi oleh sel Mast akan menyebabkan pengembangan salur darah (vasodilation) yang akan menyebabkan peningkatan aliran darah ketempat yang cedera. Sebab itulah tempat luka tersebut selalunya kemerahan dan hangat. Ia juga menyebabkan kebocoran plasma ditempat luka yang menyebabkan bengkak.

Related image

Sesetengah komponen protein yang dirembeskan oleh sel-sel imun seperti bradykinin akan meningkatkan sensitiviti reseptor sakit. Jadi tempat luka akan bengkak, terasa panas dan sakit. Walaupun ianya berbunyi seperti sengsara, anda patut bertenang kerana ia menunjukkan sistem imun semulajadi anda sedang berkerja keras melawan jangkitan untuk penyembuhan luka.

SEL DENDRITIK YANG MEMBANTU PENGECAMAN PATOGEN

Sel dendritic adalah antara sel yang akan menelan pathogen dan menghasilkan antigen untuk pengecaman pathogen di permukaan selnya. Ia tidak mengenal pathogen secara spesifik. Cuma menelannya dan menghasilkan antigen pada permukaan sel untuk sel-sel lain mengenal pathogen. Ini adalah penting bagi ‘mendidik’ sel-sel dari sistem imun dapatan yang belum matang supaya mengenal pathogen spesifik dan menghasilkan tindak balas seperti penghasilan antibody atau sel pembunuh terhadap pathogen tersebut.

Sel dendritic ini adalah penghubung antara sistem imun semulajadi yang tidak spesifik dan sistem imun dapatan yang spesifik. Walaupun ada pelbagai jenis sel yang bertugas menjaga kemaslahatan kita, sistem imun semulajadi ini tidak mengenal pathogen secara spesifik. Asalkan ia dikenal bukan sel tubuh, ia akan dimusnahkan. Jadi ada pelbagai jenis bakteria dan virus yang telah berevolusi untuk melepasi sistem imun semulajadi. Kebanyakan virus juga selalunya terlepas dari saringan sel-sel sistem imun semulajadi. Jadi kita perlukan mekanisma imun dapatan untuk melengkapi pertahanan tubuh kita.

SISTEM IMUN ADAPTASI ATAU DAPATAN

Sistem imun ini terdiri dari sel-sel T dan sel-sel B yang akan dapat mengenalpasti, mengingat dan menghasilkan antibody terhadap pathogen spesifik. Dalam kes ini, segala bakteria dan bendasing telah dimusnahkan oleh sel dari sistem imun semulajadi yang bertindak sangat cepat kekawasan kecederaan. Namun, ada kemungkinan bakteria jenis Clostridium tetani terlepas dari saringan. Jangkitan C. tetani akan menyebabkan sawan tetanus yang pernah dibincangkan disini.

Image result for clostridium tetani

Sel-sel B dan T dalam imuniti dapatan boleh diibaratkan sebagai askar-askar terlatih, agen perisik dan pejuang yang bersiap siaga melawan musuh. Ia perlukan rekrut, latihan dan penghasilan senjata ampuh yang akan digunakan bagi membunuh agen musuh.

Jika kita mengalami jangkitan dari bakteria atau virus khusus seperti jangkitan C. tetani, sel dendritic akan menelan pathogen ini dan mempamerkan penanda bagi pathogen yang ditelan tersebut di permukaan sel. Ini akan digunakan untuk mendidik sel-sel B yang belum matang. Sel B akan belajar dan menghasilkan antibody untuk menyerang C. tetani.

Sesetengah sel B pula akan tetap mempamerkan reseptor permukaan spesifik terhadap C. tetani untuk persediaan kalau-kalau terjadi jangkitan seterusnya. Sel B ini digelar Sel B memori kerana ia membantu kita ‘mengingat’ jangkitan C. tetani dan akan menghasilkan antibody lebih cepat jika terdapat jangkitan kedua, ketiga dan seterusnya.

Berbanding antibody yang dirembeskan dan mampu melekat pada sel pathogen untuk menyingkirkannya, sel T mempunyai resptor permukaan sel spesifik yang akan mengenal pathogen dan membunuhnya.

  • Sel T pembantu (T helper cell) akan bertugas sebagai penyimpan mohor tanda pengenalan pathogen seperti sel B memori. Ia akan membantu pematangan sel T dan mendidik sel T dan sel B untuk mengenal pathogen yang spesifik.
  • Sel T pembunuh pula akan mengenalpasti pathogen melalui penanda permukaan selnya yang digelar ‘major histocompatibility complex (MHC)’ dan membunuh pathogen tersebut.

 

JENIS-JENIS SISTEM IMUN DAPATAN

Sistem imuniti dapatan boleh dikelaskan kepada dua bahagian:

  • Dapatan semulajadi
  • Dapatan tak semulajadi

Kedua-duanya boleh dibahagikan kepada aktif dan pasif.

Imuniti dapatan semulajadi aktif: diperoleh dari jangkitan yang berlaku secara semulajadi. Contohnya jika kita mengidap tetanus dan berjaya sembuh dari jangkitan, tubuh kita sudah mempunyai sel B memori dan sel T pembantu yang menyimpan pengenalan terhadap C. tetanii. Tubuh kita juga menghasilkan antibody dan sel T pembunuh yang siaga melindungi kita jika terdapat jangkitan

Imuniti dapatan semulajadi pasif: diperoleh dari ibu kepada anak melalui plasenta (uri) dalam kandungan dan dari susu ibu. Namun perlindungan ini tidak kekal lama. Ia akan bertahan selagi bayi masih menyusu dan berakhir setelah sistem imun bayi matang setelah berumur 6 bulan.

Image result for adaptive immunity active passive

Imuniti dapatan tak semulajadi aktif: diperoleh dari suntikan vaksin. Patogen yang telah dilemahkan, toksoid, pathogen yang mati, partikel dari pathogen dan sebagainya yang imunogenik (mengaruh sistem imun) tetapi tidak patogenik (menyebabkan jangkitan) akan diberikan pada tubuh. Tindakan ini dilakukan untuk mengaruh sistem imun supaya menghasilkan sel B memori dan sel T pembantu yang akan bersiaga melawan jangkitan (jika ada).

Imuniti dapatan tak semulajadi pasif: diperoleh dari suntikan antibody yang dihasilkan secara rekombinan di luar tubuh untuk melawan jangkitan dengan cepat.

Image result for immunity

Mujurlah vaksin dTAP telah diambil ketika kecil dan suntikan booster juga telah diambil setahun lalu. Vaksin tetanus terdiri dari toksin tetanus yang telah dilemahkan untuk mengaruh perlindungan dari jangkitan. Sudah ada sel B memori dan sel T pembantu yang akan mengaruh penghasilan antibody dan sel T pembunuh untuk melawan jangkitan C. tetanii.

ADAKAH JIKA KITA MEMBIARKAN ANAK-ANAK KITA TERDEDAH PADA MIKROB PERSEKITARAN MEREKA TIDAK PERLU MENGAMBIL VAKSIN?

Salah tanggapan umum bahawa pemakanan sihat, pendedahan terhadap persekitaran akan melindungi mereka dari semua jangkitan. Ini kerana, semua ini hanya akan mengaruh sistem imuniti semulajadi yang tidak spesifik dan tiada ingatan khusus pada jangkitan. Kebanyakan pathogen juga dapat melepasi saringan imuniti semulajadi ini. Jadi, kita tetap perlukan jangkitan atau vaksin untuk mengaruh sistem imuniti dapatan yang memberi perlindungan lebih menyeluruh.

Image result for batuk kokol bayi

Sistem imuniti semulajadi juga tidak melindungi kita dari jangkitan seperti tetanus, polio, campak, TB atau batuk kokol yang memberi kesan buruk serta membawa maut. Jika kita menolak vaksin, kita perlu dijangkiti oleh penyakit-penyakit ini supaya kita dapat imuniti terhadapnya. Malang, jangkitan penyakit tersebut kebanyakannya memberi komplikasi buruk dan membawa maut. Adakah kita mahu merisikokan nyawa anak kita dan melihatnya dijangkiti penyakit?

Ada pula yang mengatakan membiarkan anak bermain tanah dan memakan pasir akan menguatkan sistem imun mereka. Mungkin ada benarnya. Namun, ia sekali lagi Cuma meningkatkan sistem imuniti semulajadi tanpa maslahat terhadap imuniti spesifik. Adalah salah mengatakan kita mempunyai perlindungan dari penyakit tuberculosis (TB) yang diakibatkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dengan hanya memakan tanah!

Related image

Namun, mungkin ianya benar jika kita memakan tanah yang mempunyai jutaan bakteria M tuberculosis yang tersedut kesaluran pernafasan. Tetapi, haruslah kita mempunyai jangkitan TB dan tersiksa melawan nya sebelum kita mempunyai rintangan terhadap penyakit TB tersebut sesudah sembuh darinya.

Jadi, tak perlu makan tanah. Ambil lah vaksin yang disedakan secara percuma di klinik dan hospital kerajaan bagi seluruh rakyat Malaysia bumi bertuah ini.

RUJUKAN

Jain A, Pasare C. Innate Control of Adaptive Immunity: Beyond the Three-Signal Paradigm. The Journal of Immunology. 2017 May 15;198(10):3791-800.

Godfrey SG. Bridging the innate and adaptive immune systems. J. Lipid Res. 2005 46:(4) 619-622.

Janeway CA Jr, Travers P, Walport M, et al. Immunobiology: The Immune System in Health and Disease. 5th edition. New York: Garland Science; 2001. Principles of innate and adaptive immunity.

 


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.