RootOfSience

Betulkah Cuma Ada Kucing Betina yang Berwarna Hitam-Oren?

Jika anda peminat kucing, pasti anda biasa melihat pelbagai warna bulu-bulu binatang yang manja ini. Biasakah anda melihat kucing yang berwarna hitam kuning? Sebenarnya, kucing berbulu hitam kuning atau digelar tortoiseshell (torties) adalah 99.9% berjantina betina. Bagaimana agaknya ia terjadi. Diharap artikel ini dapat menjelaskan fenomena yang menarik tersebut.

APAKAH YANG MENENTUKAN WARNA BULU KUCING TERSEBUT?

Kucing sebenarnya mempunyai 19 pasangan kromosom atau 38 kromosom (manusia mempunyai 23 pasang kromosom = 46 kromosom). Seperti manusia, sepasang dari kromosom tersebut juga menentukan samaada kucing tersebut berjantina jantan (XY) atau betina (XX).
Gen yang menentukan warna bulu kucing terletak pada kromosom X yang menentukan jantina tersebut. Gen XB menentukan warna gelap (hitam, coklat gelap) kerana penghasilan pigmen gelap eumelanin. Gen Xb pula menyebabkan kucing berwarna oren atau kuning.

Berlainan dengan gen dominan-resesif contohnya penentuan jenis darah: jika seseorang mewarisi gen dominan IA dan gen resesif IO, mereka akan mempunyai darah jenis A. Kerana gen IO tersebut gen resesif yang tidak diekspreskan atau ditutupi oleh gen dominan IA.

Gen yang menentukan warna bulu kucing adalah bersifat co-dominan. Kedua-dua gen XB dan Xb akan diekspreskan bersama.
• Kucing yang mewarisi gen XB,XB akan mempunyai bulu berwarna gelap.
• Kucing yang mewarisi gen Xb,Xb akan mempunyai bulu berwarna oren.
• Kucing yang mewarisi gen XB,Xb pula akan mempunyai bulu hitam & oren.

Oleh kerana kucing jantan hanya mempunyai satu salinan kromosom X, kucing jantan hanya mempunyai satu kemungkinan warna bulu.

• Kucing yang mewarisi gen XB,Y akan berwarna hitam
• Kucing yang mewarisi gen Xb,Y akan berwarna oren.

Sebab itu lah hanya kucing betina saja yang mempunyai kemungkinan untuk mempunyai bulu berwarna hitam-oren.

ADAKAH KUCING JANTAN BERKEMUGKINAN MEMPUNYAI BULU HITAM OREN?

Ya, mungkin satu dalam 3000 kelahiran. Ini kerana kelainan genetik pada kucing tersebut yang menyebabkan ia mewarisi tiga kromosom sex (XXY). Keadaan ini digelar Sindrom Klinefelter. Ia juga boleh berlaku pada manusia.
Sindrom Klinefelter selalunya menyebabkan perkembangan seks sekunder lelaki yang tidak sempurna (male hypogonadism). Kebanyakan kes juga menyebabkan kemandulan dan impotensi.

JASAD BARR DAN PENGEKSPRESAN MOSAIC

Jika setiap sel-sel kucing betina yang mewarisi genetik XB,Xb pastilah mempunyai bulu-bulu yang berwarna campuran antara hitam dan oren, bukannya bertompok-tompok seperti torties. Apakah yang sebenarnya berlaku yang menyebabkan sebahagian bahagian bulu berwarna hitam dan sebahagian kawasan pula berwarna oren?
Sebahagian besar mamalia betina (female) yang mempunyai kromosom XX mengalami keadaan dimana salah satu kromosom X itu ‘disenyapkan’ (silenced) atau tidak ditranskripsi. Kromosom ini akan dipek pada bahagian nucleus dengan sangat ketat dan padat supaya tidak mudah protein-protein menembusinya untuk ditranskripsi. Kromosom yang dipadatkan dalam nukleus sel ini dipanggil Jasad Barr.

Ada sesetengah sel yang mempunyai kromosom XB yang disenyapkan, jadi warna bulu yang dihasilkan oleh sel ini adalah hitam. Ada sel yang mempunyai kromosom Xb yang disenyapkan menjadi Jasad Barr, menyebabkan bulu yang dihasilkan dikawasan ini berwarna oren. Keadaan ini berlaku ketika pembahagian embrio dan kekal sehingga akhir hayat. Keadaan ini digelar ‘pengekspresan mosaic’. Ia berlaku secara rawak dan membentuk corak yang unik pada tubuh kucing.

Sebenenarnya, banyak lagi lokus-lokus genetik yang menentukan corak dan warna bulu kucing. Ada yang menentukan warna oren, ada yang menentukan corak belang-belang tabby, ada juga yang menentukan warna bulu tersebut cair atau terang. Sekurang-kurangnya ada 8 gen yang mengawal corak bulu kucing telah dikenalpasti. Dan kombinasi gen-gen ini menghasilkan corak unik pada setiap kucing.
Betapa indahnya kejadian kucing ini. Tidak terjangkau akal dengan hanya melihat warna bulunya saja. Hargailah setiap kucing di muka bumi ini, kerana tiada seekor kucing pun samadengan seekor kucing yang lain.

RUJUKAN
Introduction to Genetic Analysis by Griffiths et al. 9th ed. (2008)


Sumber: RootOfSience


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.