Ya ba atau lebih dikenali sebagai ‘pil kuda’ di negara ini adalah salah sejenis dadah yang terkenal dikalangan negara-negara asia seperti Thailand, Myanmar, Laos, Malaysia dan Indonesia. Seperti namanya, ia dahulu digunakan (dengan izin) sebagai pil penambah tenaga dan diberikan kepada kuda-kuda pengangkut barang di Thailand dan Burma.
APAKAH SEBENARNYA PIL KUDA INI?
Pil kuda yang juga terkenal dikalangan pemandu lori dan bas untuk tenaga yang berpanjangan dan tidak mengantuk ini sebenarnya adalah campuran dua bahan utama – methamphetamine dan caffeine.
Kedua-duanya adalah dadah stimulan (perangsang) yang menyebabkan pengguna terasa seperti sangat peka dan dapat menumpukan perhatian. Ia juga dikatakan mampu memberikan kelebihan tenaga yang berpanjangan. Ada pengguna yang menceritakan beliau mampu untuk tidak tidur selama lebih tiga hari selepas mengambil beberapa biji pil kuda ini.
Ia juga dikatakan menghilangkan rasa takut, letih, lapar dan dahaga pada penggunanya. Ada pengguna yang mengambilnya untuk tujuan menguruskan badan (benar juga, kerana beberapa jenis ubatan berasaskan meth / amphetamine pernah/ digunakan untuk menangani obesiti)
Struktur kimia methamphetamine
BAGAIMANA PIL KUDA DIAMBIL?
Ya ba telah sedia ada wujud dalam bentuk pil yang biasanya berwarna merah terang, oren atau hijau. Namun sebenarnya ia telah muncul dengan pelbagai warna pelangi yang menarik perhatian. Ia juga diberikan perisa vanilla, oren, beri, mangga yang diminati kanak-kanak. Mengapa?
Di Thailand (malah mungkin juga di Malaysia), pil ini terkenal dkalangan para pelajar yang menggunakannya untuk tujuan rekreasi atau kononnya untuk menambah tumpuan pada pelajaran.
Ya ba juga boleh diambil dengan memanaskannya diatas api dan menghidu wap yang terhasil (chasing the dragon) untuk menghasilkan kesan high yang cepat.
BAGAIMANA YA BA BERFUNGSI?
Seperti penggunaan methamphetamine, ia mengaruh perembesan neurotransmitter dopamine, serotonin dan norepinephrine dan mengaktifkan (hyperactivity) neuron-neuron otak. Ia juga mengaktifkan pengangkutan keluar (efflux) dan merencat pengangkutan kembali neurotransmitter tersebut dalam neuron. Ini menyebabkan seolah-olah kebanjiran neurotransmitter yang mengaktifkan neuron di otak.
KESAN PENGAMBILAN YA BA
Ia adalah dadah perangsang yang lebih poten dan memberikan kesan yang berpanjangan berbanding cocaine. Ini kerana cocaine lebih mudah dimetabolisma dan dikumuhkan berbanding methamphetamine. Ya ba akan menyebabkan penggunanya mengalami:
- Euphoria
- Insomnia
- Keresahan
- Penurunan selera makan dan minum
- “hot flash” di mana badan terasa panas secara berkala antara 30 saat – 10 minit lamanya bagi satu-satu masa, terutamnya di bahagian muka dan leher, diikuti dengan tompokan merah di dada, belakang dan lengan, kemudian diikuti dengan peluh yang banyak dan selepas itu baru badan menjadi sejuk.
- Kekeringan mulut
- Peningkatan tahap kepekaan, berjaga, tenaga
- Peningkatan degupan jantung, tekanan darah, respirasi, suhu badan
- Kerosakan pada salur darah kecil di otak
Kesan pada penggunaan kronik
- Sering terketar-ketar
- Hipertensi
- Halusinasi
- Mengalami episode psikosis
- Delusi paranoid
- Bersikap ganas
- Kecelaruan otak dan emosi
- Psikosis seperti pesakit skizofrenia
- Penggunaan methamphetamine menyebabkan kemusnahan neuron-neuron dopamine. Jadi pengunaan berterusan akan mengakibatkan kesan seperti pesakit Parkinson
Pengambilan pil ini juga mengakibatkan ketagihan. Ia juga menghasilkan jesan toleran yang kuat (cuba sekali, perlu dos yang lebih tinggi pada lain kali),
Prihatin pada anak-anak dan keluarga. Sayangi diri, jauhi dadah!
RUJUKAN
Anjalee C, Crazy for Ya Ba: Methamphetamine use among northern Thai youth, International Journal of Drug Policy, Volume 25, Issue 4, July 2014, Pages 776-782, ISSN 0955-3959, http://ift.tt/2ludqox.
Farrell, M., Marsden, J., Ali, R. and Ling, W. (2002), Methamphetamine: drug use and psychoses becomes a major public health issue in the Asia Pacific region. Addiction, 97: 771–772. doi:10.1046/j.1360-0443.2002.00195.x
Krasnova, I.N., Justinova, Z. & Cadet, J.L. Methamphetamine addiction: involvement of CREB and neuroinflammatory signaling pathways. Psychopharmacology (2016) 233: 1945. doi:10.1007/s00213-016-4235-8
Sumber: RootOfSience
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :