Tahun lepas, jika anda mengikuti berita-berita semasa dunia, anda pasti terbaca tentang dua atau tiga kes tentang kes pembunuhan yang melibatkan aktiviti kanibalistik – pembunuhnya merobek, mengoyak dan mengunyah bahagian tubuh mangsanya. Menariknya, pembunuhan ini dikaitkan dengan pengambilan dadah ‘Flakka’.
FLAKKA, DESIGNER DRUG
Ya, bukan beg bimbit DS Vida, baju Rizalman. jubah Imam Muda, tudung Neelofar saja mempunyai taraf ‘designer’. Sesetengah dadah juga dikelaskan dalam kategori ‘designer drug’. Dadah jenis ini biasanya adalah kumpulan dadah sintetik yang disintesis dalam makmal.
Kebanyakan kompaun ini agak berbeza dari kumpulan dadah yang sedia ada diwartakan haram (illegal drug). Jadi, ia jarang dapat dikesan melalui teknik pengesanan dadah yang biasa. Namun, ia menghasilkan kesan stimulan atau psikoaktif yang mirip kompaun dadah yang telah diharamkan tersebut.
α-pyrrolidinopentiophenone (α-PVP)
Flakka contohnya, adalah kompaun sintetik α-pyrrolidinopentiophenone (α-PVP). Ia mirip atau dikatakan terbitan dari kompaun cathinone, sejenis kompaun alkaloid yang didapati dari pokok khat (Catha edulis). Jika anda masih ingat, suatu ketika dahulu para immigran dari timur tengah dan afrika gemar mengunyah sejenis daun yang dipanngil daun Qot / khat yang mengkhayalkan.
Flakka dijual dalam bentuk serbuk kristal seperti dadah kelompok ‘bath salt’ yang lain (Bath salt ini bukan jenis garam mandian yang digunakan untuk mandi seperti garam Epsom, ia dipanggil sedemikian kerana rupanya yang mirip garam mandian tersebut. Ia juga selalunya dijual dalam bekas seperti garam mandian biasa untuk mengaburi mata undang-undang). Kerana bentuknya juga, Flakka kadang-kala digelar dengan nama ‘Gravel’.
Bath salt, tertulis di bekas ‘tidak sesuai untuk konsumsi manusia’ untuk melepaskan pengeluar dan penjual dari undang-undang. Kerana penyalahgunaan bahan ini untuk rekreasi adalah atas salah laku pengguna.
BAGAIMANA FLAKKA BERTINDAK?
Tidak banyak yang diketahui tentang Flakka kerana ianya baru popular dipasarkan sejak beberapa tahun lepas. Flakka dikatakan bertindak sebagai perencat pengangkutan semula neurotransmitter norepinephrine-dopamine ke dalam neuron. Pengambilan kompaun ini menyebabkan halusinasi dan psikosis yang berpanjangan. Ia juga dilaporkan mampu mencetuskan euphoria, paranoia dan delusi. Kebanyakan penggunanya terlihat mempunyai kekuatan yang luar dari kebiasaan.
Walaupun terdapat beberapa kes pembunuhan kanibalistik yang dikaitkan dengan penggunaan Flakka, sehingga ia terkenal sebagai ‘zombie drug’, untuk mengatakan dadah ini mencetuskan fenomena zombie secara langsung adalah tidak tepat.
Seperti yang telah dijelaskan diatas, pengambilan Flakka menyebabkan penggunanya berhalusinasi, paranoid dan dalam keadaan delusi. Gabungan kesan ini kadang-kala mencetuskan perlakuan ganas yang tidak masuk akal – sama seperti penggunaan dadah berbahaya lain. Cuma kesan Flakka adalah lebih cepat, sangat mendalam dan berpanjangan.
Flakka yang dibentuk seperti gula-gula gummies
Ada pengguna yang dilaporkan membuat perlakuan seksual dengan pokok yang dilihat sebagai perempuan cantik. Ada pengguna Flakka yang menyatakan beliau merasa sakit kepala dan ketakutan yang teramat sangat dan curiga ada seseorang yang mahu membunuhnya. Dikatakan, dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, pengguna yang mengalami kesan Flakka ini perlu diberikan sedatif dan memerlukan beberapa orang responder untuk menenangkan mereka. Kalau tipikal orang Malaysia, seperti kerasukan jin lah katanya!
Seorang wanita berguling-guling dijalanan selepas mengambil Flakka
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada dadah Flakka ini telah sampai ke tanah air kita atau belum. Namun, artikel ini ditulis bagi menjawab tanggapan umum yang zombie apokalips akan menjelma dengan kehadiran dadah ini.
Sorry brader… teruskan anganmu. Namun, cita-citamu untuk menjadi hero seperti dalam Train to Busan atau Zombie Kampong Pisang itu masih agak jauh lagi!
Sayang diri dan keluarga. Jauhi dadah!
RUJUKAN
Katselou, M., Papoutsis, I., Nikolaou, P. et al. Forensic Toxicol (2016) 34: 41. doi:10.1007/s11419-015-0298-1
Craig Crespi, “Flakka-Induced Prolonged Psychosis,” Case Reports in Psychiatry, vol. 2016, Article ID 3460849, 2016. doi:10.1155/2016/3460849
Sumber: RootOfSience
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :