Gambar hiasan | Google Images |
"Puan, anak (antara usia 2-4 tahun) susah nak fokus bila buat aktiviti. Macam mana nak buat ye?"
Ini soalan paling susah saya nak jawab. Kadang-kadang saya "face palm" muka saya sendiri sebab pelik, kenapa nak awal sangat anak fokus dan duduk diam macam kita? Buka minda luas-luas,tarik nafas dalam-dalam tentang apa yang saya nak cakap ni.
PROSES
Setiap benda ada proses untuk mendapatkan sesuatu hasil. Budak, bukan terus kelaur jengah dunia terus dapat jadi seperti kita, orang dewasa. Adakah budak, asal keluar saja dari perut terus boleh bercakap, membaca, menulis, memakai baju, membasuh pinggan seperti kita? Ada ke? Secara fitrahnya, tiada kan?
Benda fokus tak fokus yang asyik bermain dalam fikiran kita ini hanyalah satu persepsi dan mainan perasaan semata-mata. Sebab apa? Sebab kalau boleh, kita nak anak ini duduk diam-diam sebab kita pun nak buat kerja kita, nak berehat, nak ada 'me time'.
Ibu bapa, kanak-kanak ini fitrahnya mereka untuk meneroka. Mana ada budak yang boleh duduk diam. Kalau ada budak-budak keluar saja dan duduk diam, kena cepatlah bagi pergi buat pemeriksaan sebab ianya sudah 'melawan' fitrah manusia.
Kanak-kanak perlu melalui fasa perkembangan yang wajib ada pada diri kita sebagai manusia biasa iaitu, Sensorimotor Development atau Perkembangan Sensorimotor.
Jika perkembangan sensorimotor ini tidak lengkap, ada istilah Sensory Processing Disorder. Sebab itu saya menentang sekeras-kerasnya kaedah membaca untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Sensory Processing Disorder ini kalau tak berlaku pada anak anda, tak mengapa. Tetapi kalau berlaku pada anak orang lain?
Kadang-kadang saya geram juga. Apa yang saya cakap, seringkali tidak dipandang endah sedangkan setiap tahun saya dan therapist lain menerima rujukan untuk kes kanak-kanak yang developmental delay yang kebanyakannya berpunca daripada proses perkembangan sensorimotor tidak berjalan dengan baik dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setiap satu tadika kini boleh dikatakan sekurang-kurangnya ada seorang dua kanak-kanak yang tidak boleh mendengar arahan, berkomunikasi dengan baik dan mempunyai tingkah laku yang sukar untuk dikawal.
Kalau sudah dari kecil diajar duduk untuk membaca, tengok televisyen, tengok gajet semasa makan, semasa tidur, di waktu kita nak berehat, memanglah jadi begitu. Tetapi bila bagi mainan benda kotor, kita kata geli, bila anak nak memanjat kita risau jatuh.
Inilah dia sikap ibu bapa zaman sekarang yang sebenarnya memusnahkan proses perkembangan anak itu sendiri. Semua nak cepat, nak anak cepat belajar, nak anak cepat pandai, nak anak cepat duduk diam, nak anak cepat berjalan, cepat itu, cepat ini tetapi prosesnya tak nak lalui sendiri.
"Susah kalau nak ikutkan kehendak anak nak lari sana sini. Boleh sempat saya dibuatnya,"
No comment. Ini jawapan paling malas saya nak layan. Akhirnya saya memang tak reply dah. Sorry ya. Proses perkembangan sensorimotor yang utama dan yang wajib anak lalui dan anak berikan kepada anak-anak. Paling penting untuk usianya 0-4 tahun adalah:
1. BERI PENDEDAHAN SEKELILING
Anak-anak perlu diberi pendedahan terhadap setiap tekstur yang ada di sekeliling mereka. Bukan sahaja pada kulit badan, malah terhadap mulut juga. Tekstur ini faham tak apa? Tekstur lembut, berpasir, keras, kasar, berbulu, suhu panas dan sejuk, licin, tekstur makanan termasuklah yang crunchy, yang chewy, yang lembut, keras, juicy, ada rasa masam, manis, masin, pahit, tawar, pedas dan sebagainya.
Ini semua rangsangan. Kalau tidak diberi, sistem otak tak boleh berfungsi. Faham ke tak faham? Sebab itu jangan obses sangat dengan flash cards. Flash cards tak ada semua bentuk rangsangan ini. Bagi benda realiti di depan mata. Buah epal dalam gambar mana sama dengan buah epal yang sebenar.
Kalau ajar anak 0-4 tahun, huruf A, kalau dia tak kenal lagi, rileks sudah. A secara real tidak melambangkan apa-apa. Sebab itu kadang-kadang berpuluh kali ajar, anak tak reti terus jadi stress sebab anak tak pandai lagi. Padahal diri sendiri yang buat benda 'melawan fitrah' anak. Selepas itu kata anak tak fokus. Apakah?
Bila kita bagi rangsangan terhadap kulit dan mulut yang betul, secara automatiknya otot-otot anak bergerak. Ini respon yang otak berikan setelah semua pemprosesan tadi berlaku dalam otak.
Contohnya bila otot mulut bergerak, baru mudah anak nak bertutur dengan baik. Tapi benda ini tidak akan dapat dalam sehari dua. Maka bersabarlah. Yang penting kita beri secara konsisten.
2. KANAK-KANAK SUKA NAK BERGERAK
Ada masalah ke nak bagi anak bergerak? Lagi lama mereka bergerak, lagi baguslah sebenarnya. Pergerakan anak ini sebenarnya banyak merangsang proses yang kita sendiri tak nampak dengan mata kasar. Bila anak bergerak, sistem keseimbangan badan dirangsang, sistem penghantaran maklumat antara otak kiri dan kanan berlaku dengan pantas, sistem penglihatan membantu proses visual perceptual berlaku dengan baik, sistem daya tumpuan dalam otak menjadi kukuh, sistem otot dan sendi menjadi kuat dan ada endurance (ketahanan).
Jadi, bila lagi lama kita melatih anak untuk bergerak, ketahanan otot dan sendi akan menjadi semakin kuat. Anak mudah untuk duduk diam. Lagi sekali, proses ini bukan anak akan dapat dalam sehari dua. Ada anak, pada usia 5 tahun apabila sudah dirangsang elok sistem pergerakan badannya, dia akan mudah duduk diam dan fokus pada tugasnya.
Ada anak kadang-kadang proses dia nak bergerak itu lama. Sampai usia 7 tahun pun belum tentu boleh duduk diam dan fokus. Ada masanya sampai usia akil baligh baru nak duduk diam. tapi sampai bilalah nak berkejaran dengan anak-anak ini kan?
Tak perlu risau, aktiviti fizikal ini bagi saja anak ke taman permainan sama ada indoor atau outdoor. Antara rajin atau tidak saja kita nak buat semua ini sebenarnya. Bagi anak yang lasak, boleh cabar dirinya dengan membuat aktiviti seperti hiking, masuk hutan, rock climbing dan sebagainya. Tapi janganlah sampai suruh mereka memanjat signboard 'IPOH' yang besar itu pula. Kalau nak suruh boleh tapi pastikan keselamatan diri terjamin dan ada surat kebenaran. Haha!
Anak yang tak belajar lagi untuk bermain bola, ajarkan. Dengan sebiji bola, kita boleh membaling, menangkap, menendang, menampar dan sebagainya. Pilih satu sukan untuk anak libatkan diri dan tiada salah untuk ajarkan skillsnya sebab ianya merangsang segala benda yang saya tulis di atas tadi. Badan sihat, otak cerdas.
Kalau asyik duduk dalam rumah saja, bila masa badan nak sihat dan otak nak cerdas? Kalau kita boleh main golf, ajarlah anak main golf. Kalau tak boleh sangat, dah kalau anak nak berlari juga, pergilah ke taman tasik, buat aktiviti berjogging dan berlari sama-sama. Kalau kita pun malas, jadi anak pun malas. Jangan disalahkan anak.
Bergerak tidak menjadikan anak nakal. Anak yang lasak seringkali disalah tafsirkan sebagai anak yang nakal. Menumbuk adalah satu bentuk bermain dan ada sesetengah negara bagi ruang untuk anak buat 'fighting play' atau 'pillow play'. Ini benda normal. Anak yang nakal adalah mereka yang melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama dan masyarakat. Selagi anak-anak ini tidak melakukan perkara yang dilarang, selagi itulah pergerakan yang mereka lakukan adalah sah.
Anak yang bergerak tanpa arah tuju, berikan 'arah tujuannya'. Angkat dan letakkannya di atas papan gelongsor, buaian dan jongkang jongket. Kalau anak takut, jangan risau, beri masa. Inilah prosesnya. Janganlah mudah mengalah. Ini dah kira panjang lebar sangat dah saya beri penjelasan untuk ajar anak supaya menjadi fokus. Tiada proses yang mudah untuk buat anak menjadi fokus. Jangan pernah melawan fitrah perkembangan anak. Risau nanti lain pula jadinya.
Mungkin dari segi perkembangan yang kita lihat pada mata kasar ini jadi sempurna eloknya di awal usia. Tetapi di pertengahan usia mereka lain pula jadinya. Ada banyak kes anak yang sudah dibiasakan menjadi pandai sejak kecil, menjadi 'down' terus ketika sudah besar. Tiada motivasi untuk belajar kerana sentiasa diharapkan untuk menjadi pandai sehingga tekanan datang dalam banyak bentuk-cikgu paksa untuk dijadikan kebanggaan sekolahlah, tak dapat terima bila dapat markah rendah dan sebagainya.
Nabi pun mula membaca di usia Baginda mendapat wahyu. Anak kita? Belum boleh jalan lagi sudah disibukkan untuk membaca. Walhal Nabi, ketika proses membesar, banyak membesar dengan memikul tanggungjawab sendiri dan kehidupan di sekeliling Baginda.
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :