Azizah menunjukkan laporan polis akan kehilangan anaknya, Aizam | Foto - Berita Harian |
KOTA KINABALU - Terkilan hati seorang ibu apabila anak lelakinya enggan pulang ke pangkuan keluarga setelah 8 tahun berada di Amerika Syarikat, lapor Berita Harian.
Azizah Ahmad, 65, pesara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berasal dari Negeri Sembilan, merayu agar sesiapa yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai anaknya, Aizam Awang, 39, menghubunginya.
Menurut Azizah, Aizam, anak kedua dari enam beradik, tidak pernah pulang semenjak melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat pada 1998 dan gagal dihubungi sejak 2008.
"Kali terakhir bertemu dengan Aizam ialah pada 2001 ketika saya dan arwah suami, Awang Idris dan dua lagi anak melawat Aizam di California. Ketika itu Aizam sudah tamat belajar dan bekerja di sebuah farmasi selain menjual insurans.
"Saya sempat ajak dia pulang tetapi dia menangis dan enggan pulang walaupun ayahnya belikan tiket pulang ke Malaysia. Saya tak tahu kenapa dia enggan pulang. Seingat saya tiada apa masalah yang mengguris hati atau menyebabkan dia merajuk. Cuma dia pernah beritahu yang dia mahu jalan-jalan dan bekerja dahulu di Amerika Syarikat selepas habis belajar.
"Tak sangka pula dia terus tak nak pulang sehingga kini. Ayahnya meninggal dunia pada 2008 pun, dia tak balik. Selepas itulah dia tidak dapat lagi dihubungi. Telefon tidak dijawab, surat tidak dibalas dan kami tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang," katanya.
Lapor Berita Harian, Aizam melanjutkan pelajaran di Universiti Pan Pasific, California dan mengambil kursus Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) menerusi tajaan MARA pada 1998.
Pinjaman Aizam kemudian ditukar kepada biasiswa selepas memperolehi keputusan yang baik dan dia sepatutnya pulang untuk memenuhi syarat tajaan berkhidmat di tanah air.
Bagaimanapun, Mara tidak dapat berbuat apa-apa termasuk menghubungi Aizam untuk memintanya pulang dan bekerja dalam bidang pengkhususannya iaitu mengajar bahasa Inggeris.
Aizam, di kedudukan tengah di barisan belakang | Foto - Berita Harian |
Jelas Azizah, dia pernah cuba menghubungi Aizam melalui emel, namun emel anaknya telah dinyahaktifkan menyebabkan mereka sekeluarga buntu.
"Sebagai ibu saya sentiasa teringatkan dia, rindu saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalau tak dapat balik kerana tiada duit untuk beli tiket, kita boleh bantu tetapi dia tidak dapat dihubungi. Jadi kita tidak tahu keadaannya.
"Saya juga teringin ke sana mencarinya tetapi tidak mampu. Lagipun saya tidak tahu sama ada dia masih tinggal di tempatnya dulu atau sudah berpindah," katanya.
Justeru, Azizah meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai anaknya itu tampil menghubunginya di talian 088-230604 atau 016-8306941. - The Reporter
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :