Teguran Pedas Sultan Perak Kepada Pemimpin Negara
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa rasuah berleluasa dan
sistem cukai tinggi diperkenalkan boleh mengakibatkan pemerintahan jatuh
sepertimana yang berlaku terhadap Melaka pada 1511.
Sultan Perak bertitah, sejarah Melaka perlu dijadikan iktibar oleh
pemimpin dan rakyat negara ini kerana sekiranya ia tidak dijaga boleh
menyebabkan berlakunya kejatuhan sesebuah pemerintahan.Baginda bertitah,
kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 adalah
disebabkan pemimpinnya leka hingga mengabaikan rakyat dan negara.
“Selepas ketiadaan Tun Perak, tanggungjawab pentadbiran diserahkan
kepada mereka yang kurang bijaksana.“Rasuah berleluasa, sistem cukai
yang tinggi yang diperkenalkan mengakibatkan pedagang beralih ke
pelabuhan lain, di Acheh, di Bantam, di Patani dan di
Brunei.“Perdagangan di Melaka merosot dalam suasana berlakunya
perpecahan sesama bangsa.
“Berlakunya perselisihan puak tua dan muda serta berlaku pula
pengkhianatan rakyat tempatan dengan dibantu oleh orang luar,” titahnya
pada Sambutan Ulang Tahun Keputeraannya di Istana Iskandariah, di sini,
hari ini.
Bernama pula melaporkan, Sultan Nazrin yang dimahsyurkan sebagai Sultan
Perak pada 2014 bertitah kebijaksanaan seseorang sultan dan raja
menitahkan hukum serta melaksanakan keadilan dipengaruhi oleh maklumat
sebenar yang sampai kepada pendengaran baginda.
“Beta amat hargai kata panduan dan kata pedoman yang disembah maklumkan
oleh ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan para umarak.“Beta hargai
lafaz taat setia yang dizahirkan Raja Muda, demikian juga ikrar taat
setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, beta amat insaf akan
amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas beta,” titah Sultan Nazrin.
Titah Sultan Nazrin kesempurnaan dalam menyempurnakan amanah sebagai
Sultan Perak bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat, tetapi merupakan
ujian besar daripada Allah, yang akan dinilai pada hari kebangkitan
kelak.
“Semoga dalam memenuhi amanah, ketika bersemayam di atas takhta kerajaan
ini beta dijauhkan daripada hanyut dengan kata-kata pujian yang boleh
melalikan hingga mengakibatkan beta terkabur penglihatan,” titah
baginda.
Dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat, Sultan Nazrin menzahirkan
penghargaan terhadap persepakatan yang baginda peroleh daripada semua
pihak termasuk kerabat diraja Perak, polis dan tentera yang membantu
dalam melaksanakan tanggungjawab.“Masing-masing telah menyempurnakan
amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam
suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.
“Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta, badan-badan
sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia,
badan-badan sukan, serta warga keseluruhannya yang telah
memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan
beta,” titah baginda.
Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah
Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada
keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah
kebesaran masing-masing pada istiadat 12 Nov depan.
- eberita.org
Kredit: http://malaysianewsss.blogspot.my
SUKAKAN ARTIKEL INI? ~*~SHARE~*~
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :