Tengah hari tadi, saya ke KLIA menghantar sendiri seorang pekerja Nepal saya yang akan pulang terus ke negaranya setelah dia enggan menyambung kontrak bagi tahun keempat.
Sebenarnya sudah terlalu lama saya tidak menghantar sendiri pekerja asing yang akan pulang kerana ada rakan sekerja yang membantu. Jadi, hari ini saya yang menghantarnya kerana pekerja itu tiba-tiba cuti sakit.
Tak mengapalah, saya anggap ia suatu suratan kerana semasa pekerja ini masuk ke Malaysia buat kali pertama dahulu, sayalah yang mengambilnya di KLIA. Ketika itu dia juga datang bersendirian.
Semalam, saya sudah menguruskan gaji akhir dan dokumentasi, semuanya sudah lengkap. Seperti biasa, saya tidak lupa membawa mereka ke restoran untuk minum/makan buat kali terakhir. Ia tidak formal dan sekadar berbual kosong antara pekerja asing dan penjaga sah mereka di Malaysia.
Teringat ketika dia mula tiba dahulu, semuanya canggung baginya. Apatah lagi tidak mampu bertutur bahasa Malaysia dan bahasa inggeris. Paling kelakar ketika saya menyuruhnya memakai tali pinggang keledar, dia telah membelit tali itu di lehernya dan hampir mati terjerut. Nasib baik juga saya berkalih memandangnya yang duduk di sebelah kerusi pemandu.
Yang hairan, sudahlah menjerut leher sendiri lantaran tak tahu memasang tali pinggang keledar, langsung tidak berbunyi suara walaupun mukanya sudah kebiruan menahan jerutan di leher. Saya pula yang terasa bersalah dan berdosa.
Cerita itu panjang, sengaja saya tidak mahu habiskan kerana ia terkandung dalam buku kedua saya nanti. Hahaha!
Berbalik pada kisah di KLIA hari ini, saya telah mendaftar masuk bagasinya dan menunjukkan laluan untuk ke penerbangan antarabangsa. Sebelum itu kami singgah makan di KFC. Dia tidak berselera makan kerana sudah terbayang isteri dan anak di rumah, sedangkan saya makan dengan lahap kerana belum makan tengah hari. Lagipun dia beria-ria ingin membayarnya sebagai tanda membalas jasa. Saya tidak membantah kerana gaji pun lambat lagi. Hahaha!
Ketika makan semalam dan tadi, kisahnya masih sama. Semuanya berkisah mengenai apa yang dia akan lakukan nanti.
Boss, saya rumah hancur itu gempa bumi. Rumah pakai itu khemah. Itu duit saya mau bikin rumah. Kirja? Saya tak mau lagi pirgi jauh-jauh kirja. Rumah duduk cukup. Saya ada land. Saya family tanam corn, beras, sayur, ada ayam sudah cukup. Mau beli barang, kita jual beras...
Saya tersenyum mendengar penjelasannya itu. Saya tahu mereka sukakan kehidupan yang muda, apatah lagi harta benda mereka sudah hancur semasa gempa bumi beberapa tahun dahulu. Kedhaifan dan birokrasi menghalang mereka membina semula kehidupan baru.
Sebelum beredar, saya mengaturnya hingga ke pintu pelepasan antarabangsa. Saya membantunya melepasi pemeriksaan pasport dan tiket. Kami bersalam mesra dan dia terus menunduk-nundukkan kepala mengucapkan terima kasih biarpun saya semakin jauh meninggalkannya di tangga eskalator.
Jam 6.15 petang nanti, pesawatnya akan terbang dan mungkin itulah kali terakhir dia menjejakkan kaki di bumi Malaysia.
Semasa kali pertama dia sampai ke Malaysia, sayalah yang menyambutnya. Kini apabila dia ingin pulang untuk selamanya, saya juga yang menjadi orang terakhir yang melambai tangan kepadanya.
Selamat jalan Hira Bahadur...
Siapa kata muka kami seiras, saya akan 'unfriend' dia. - Izman Pauzi | The Reporter
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :