Sensasi

'Faiz Genggam Erat Leher Saya, Jelas Dia Tak Mahu Ikut Bekas Suami'

Selepas bekas suami tampil memberikan penjelasan mengenai insiden yang berlaku di depan Mahkamah Syariah, ibu kepada tiga orang anak itu pula tampil memberi penjelasan dari pihaknya. 

Penjelasan yang dibuat oleh Emilia Hanafi itu dimuat naik di laman Instagramnya mendedahkan sebahagian perkara yang kita tidak ketahui. 


Salam, baru-baru ini satu video kejadian di Mahkamah Syariah yang melibatkan saya, bekas suami dan anak saya telah menjadi viral. Di sini saya ingin meluahkan hati saya sebagai seorang ibu berkenaan dengan insiden tersebut dan tergerak hati untuk memberi sedikit perjelasan berkenaan kejadian yang berlaku pada masa itu. 

Pada 20 September 2016, saya bersama ketiga-tiga anak saya iaitu Fawwaz, Faiz dan Farhan dan juga ahli-ahli keluarga yang lain telah hadir ke Mahkamah Syariah berkenaan dengan suatu prosiding yang dibawa terhadap saya. Atas arahan pihak mahkamah, saya membawa anak-anak saya ke mahkamah pada setiap kali. 

Sebagai ibu, mahkamah bukanlah tempat yang sesuai untuk anak-anak berada. Anak-anak saya sudah melihat sendiri saya di dalam kandang mahkamah disoal balas dan sebagainya. Apakan daya, saya tidak boleh berbuat apa-apa melainkan akur dengan arahan mahkamah dan tanpa gagal membawa anak-anak ke setiap prosiding mahkamah. Walaupun berat hati saya untuk melihat anak-anak melalui proses sedemikian. 

Walaupun Mahkamah Syariah ada mengarahkan sementara untuk anak-anak saya bermalam selama satu malam bersama bekas suami, namun Mahkamah telah mengatakan bahawa anak-anak tersebut tidak boleh dipaksa sekiranya mereka tidak mahu. 

Di dalam video yang tersebar, anak kedua saya iaitu Faiz, jelas tidak mahu mengikut dan bermalam dengan bekas suami. Faiz dan anak-anak saya yang lain amat trauma dengan kejadian-kejadian dan peristiwa hitam yang telah pun berlaku sebelum ini terhadap saya di hadapan mata anak-anak sendiri.

Bekas suami saya kini didakwa di Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur atas dakwaan mendatangkan kecederaan ke atas saya. Anak-anak trauma melihat kejadian yang menimpa ibu mereka yang sering berlaku di hadapan mereka. Saya sedih bila memikirkannya. 

Ibu mana yang sanggup membiarkan anak-anak dipaksa apabila jelas anak-anak itu tidak mahu. Video yang viral itu jelas menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku. Suara-suara dan tangisan dalam video tersebut jelas kedengaran. Ada pihak yang mendakwa bahawa saya yang bertindak 'ganas' atau kasar semasa berlakunya kejadian di dalam video itu. Benarkah? Ada pihak mengatakan bahawa ahli keluarga saya telah melemparkan kata-kata yang tidak elok terhadap pihak keluarga bekas suami. Benarkah? 

Terserahlah kepada orang yang melihat video itu untuk membuat penilaian masing-masing. Biarlah mereka berkata apa sahaja. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Saya tetap redha dan bersabar bahawa semua ini adalah dugaan Allah SWT. Saya yakin di penghujung jalan, kebenaran dan keadailan akan ditegakkan sama ada di dunia ataupun di akhirat. 

Yang paling penting bagi saya, anak-anak tahu bahawa saya amat menyayangi mereka dan sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi mereka setelah apa yang mereka lalui. 

Dalam insiden itu, Faiz menggenggam erat leher saya dan enggan melepaskan. Dengan jelas dia tidak mahu mengikut bekas suami. Akhirnya hanya Farhan (bongsu) yang diambil oleh bekas suami. Ya, untuk tempoh sementara kami terpaksa berpisah dan untuk tempoh itu juga saya tidak tidur memikirkan keadaan emosi anak saya. 

Dalam masa yang sama saya merasakan diri saya kehilangan nyawa. Namun saya terpaksa kuatkan semangat dan diri saya untuk anak-anak yang lain. Saya redha dan percaya bahawa kebenaran itu akan muncul tiba. 

Doa seorang ibu untuk anak tiada hijabnya. Dalam keadaan sendu esok harinya, Farhan berlari memeluk saya sekuat hati tanda lega. Riak wajah gembira dan senyuman sayang di bibir apabila dia melihat wajah saya mengubati segala keseduan dan keperitan seorang ibu yang terpaksa melalui perkara sebegini. 

Saya sekeluarga amat terkilan dengan segala tohmahan serta tuduhan yang telah dilemparkan kepada kami sekeluarga sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

Terima kasih dari saya sekeluarga kepada semua netizen yang sehingga kini tidak putus memberikan kata-kata semangat serta doa buat saya sekeluarga.

Bagaimanapun, timbul persoalan netizen apakah motif penyebaran video tersebut pada awalnya. Sedangkan bekas suami hanya diberi peluang sehari saja untuk bersama anaknya. Dan menurut netizen, sebagai ibu yang baik, wajarlah dirinya memujuk anak itu meluangkan masa bersama ayah kandungnya sendiri. Bukannya menakut-nakutkan si kecil itu. 

Apa pun, kedua-dua pihak telah memberikan penjelasan masing-masing. Diharap mereka dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik. - The Reporter


LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh

Share Artikel Ini :

Dikuasakan oleh Blogger.