Saya ada sebuah pengalaman ketika di zaman H.O yang membuatkan saya terkesan sehingga sekarang. Pesakit tersebut mengalami kepatahan di satu anggota badan. Beliau memerlukan pembedahan untuk memasukkan plat besi. Namun begitu, sebagaimana pesakit-pesakit lain, adakalanya pesakit terpaksa menanggung sendiri kos pembelian plat besi tersebut. Harganya mencecah RM1,000+.
Ketika review, pesakit berkenaan mengadu kepada saya bahawa dia dari golongan susah dan tidak mempunyai wang simpanan. Lalu beliau meminta agar saya mengeluarkan surat pengesahan penyakit dan bahawa beliau memerlukan pembedahan. Menurutnya, surat itu diperlukan bagi tujuan memohon bantuan kewangan.
Saya pada ketika itu seorang H.O yang naif, akur dan menulis sebuah memo tulisan tangan yang ringkas. Pesakit itu kemudian discharge dan diberi tarikh untuk pembedahan dalam tempoh beberapa minggu.
Namun, pesakit tersebut tidak datang ke wad pada tarikh berkenaan. Sehinggalah beberapa hari kemudian saya dipanggil ke pejabat. Rupa-rupanya pejabat telah menerima aduan dari orang ramai bahawa pesakit tersebut telah menjaja surat memo yang ditulis oleh saya, meminta bantuan di sana sini. Hospital telah didakwa mengabaikan pesakit dan tidak memberi bantuan yang sewajarnya. Padahal pesakit sebenarnya sudah pun dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP).
Saya telah diberikan teguran kerana mengeluarkan surat kepada pesakit sesuka hati.
Ceritanya belum habis di situ. Hampir tiga minggu selepas itu, saya mendapati pesakit tersebut dimasukkan semula ke wad. Lalu saya pergi berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan.
Beliau dimasukkan semula ke wad kerana 'fracture non union', iaitu kawasan tulang patah tidak bercantum semula kerana beliau tidak menjalani pembedahan yang telah disarankan.
Rupa-rupanya pesakit itu telah mendapatkan bantuan belasan ribu ringgit dari pelbagai pihak dan orang ramai. Lalu beliau pergi mendapatkan rawatan alternatif, berjumpah dengan bomoh patah situ dan sini. Kemudian diberitahu bahawa tulangnya akan bercantum dengan sendiri tanpa perlu membuat pembedahan.
Ke mana duit sumbangan itu digunakan? Wallahua'lam, tidak pula saya bertanya.
Namun beliau tetap tidak dapat menggunakan tangannya. Beliau mengalami kesakitan dan apabila datang semula ke hospital dan buat x-ray, barulah nampak jelas herot ditangannya itu.
Sejak dari peristiwa itu, saya menjadi agak skeptik apabila melihat iklan memohon sumbangan itu dan ini terutamanya di media sosial. Saya juga tidak lagi berani mengeluarkan surat sesuka hati ditujukan 'kepada sesiapa yang berkenaan...'.
Saya akan bertanya kepada pesakit dengan jelas, kepada siapa bantuan hendak dipohon. Jika kepada pihak Zakat, saya akan tulis dengan jelas, 'Untuk kegunaan pihak Zakat sahaja'. Manakala surat yang dikeluarkan, saya akan buat salinan dan simpan sebagai bukti.
Di hospital, kita mempunyai khas yang membantu pesakit terutamanya dari aspek kewangan. Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) boleh menawarkan pelbagai saluran yang ada, sesuai dengan latarbelakang sosial dan penyakit pesakit. Cumanya tentulah prosesnya mengambil masa kerana bilangan kes yang banyak.
Pernah juga berlaku di mana seorang pesakit membuat permohonan serentak ke JKSP, dalam masa yang sama juga memungut derma di Facebook. Apabila sudah mendapat dana yang mencukupi (lebih dari jumlah sepatutnya) di Facebook, pesakit tetap berkeras mahukan bantuan dari JKSP juga. Alasan pesakit,
"Bantuan ini hak saya!"
Padahal, tidakkah beliau sedar yang selain beliau ada puluhan lagi pesakit lain yang menunggu giliran bantuan JKSP tersebut? Jikalau beliau sudah mendapat dana yang mencukupi hasil kutipan derma dari orang ramai, bukankah elok bantuan JKSP itu disalurkan kepada pesakit lain terutamanya golongan warga emas sebatang kara atau keluarga miskin yang tidak tahu menggunakan Facebook untuk memohon derma. Bukan setakat tidak tahu, kebanyakan pemohon bantuan ini, semartphone pun tak ada!
Bukan itu sahaja, ada ibu bapa yang viralkan gambar anak mereka yang sedang diberi rawatan nebulizer. Sungguh kasihan melihat anak tersebut dan simpati netizen ditagih. Di hujung caption gambar, diletakkan nama bank dan nombor akaun. Padahal anak beliau dirawat untuk Acute Bronciolitis yang biasa sahaja.
Ada juga kes di mana pesakit sendiri tidak mahukan rawatan, tidak mahu prosedur. Kemudian discharge atas risiko sendiri, tidak datang temujanji atau rujukan pakar. Tengok-tengok muncul gambarnya terlantar di rumah dengan caption,,
"Penyakit misteri. Doktor di hospital sudah tidak tahu rawatan apa,"
Kami di hospital sudah tentu tahu 'kisah sebenar' tetapi tidaklah kami boleh sesuka hati komen dan kantoikan pesakit kerana itu sudah melanggar peraturan dan kerahsiaan pesakit.
Kita benar-benar menghargai keprihatinan anggota masyarakat untuk membantu. Namun dalam masa yang sama kita khuatir kerana adakalanya bantuan itu tidak mencapai sasaran yang kita mahukan. Adakalanya menjadi peluang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Pernah viral sebulan dua yang lalu di mana ada kes seorang individu menyamar dengan membuat akaun palsu, curi gambar anak lain yang sakit, kemudian dipostkan dengan butiran akaun bank sendiri bagi tujuan mengaut keuntungan atas simpati orang ramai.
"Habis, macam mana kita mahu membantu pesakit?"
Saya tidak menafikan, adakalanya kita dihurung beberapa karenah birokrasi yang menyebabkan bantuan terutamanya kewangan lambat sampai ke tangan orang yang memerlukan. Adakalanya keterbatasan dan kelemahan kita di pihak pengurusan sendiri menjadi kekangannya.
Namun bagi orang awam, yang berniat mahu menyumbang kepada orang sakitada beberapa pesanan yang perlu saya sampaikan.
- Pastikan kesahihan kes orang yang dibantu tersebut. Dapatkan sendiri pengesahan terkini dari pihak hospital atau bahkan jika pesakit masih berada di wad, pergilah lawat mereka sendiri. Adakalanya lebih afdhal kita membantu orang yang memang kita sendiri kenal seperti jiran atau rakan, bahkan keluarga sendiri. Malah ini yang lebih dituntut di sisi Islam, iaitu membantu orang yang terdekat dahulu sebelum yang jauh.
- Hulurkan bantuan melalui orang tengah yang boleh dipercayai. Ada banyak pihak yang menawarkan kerja sukarela, menjadi pemudah cara kepada orang yang menyumbang ddengan penerima sumbangan. Saya sendiri ada berhubung dengan Cikgu Ghani yang tidak putus-putus menerima dan memberi bantuan khususnya kepada orang sakit.
- Follow up keadaan pesakit berkenaan. Telefon ibu bapa atau pesakit itu sendiri dan tanya bagaimanakah keadaannya terkini. Apakah dia masih lagi memerlukan bantuan yang diperlukan, apa progress yang dimaklumkan doktor pada temujanji terkini.
- Saya secara peribadinya sering berpesan, kia hulurkan bantuan apa yang pesakit perlu, bukannya apa yang pesakit mahu atas sebab itulah apabila ada rakan-rakan yang lain bertanya, bolehkah mereka menyumbang kepada pesakit melalui saya? Saya akan menolak sumbangan wang ringgit bulat-bulat.
Sebaliknya saya akan memaklumkan.
"Oo, kita ada pesakit strok yang memerlukan tilam ripple mattress"
Jadi kita akan belikan untuk pesakit, bukannya beri duit dan minta pesakit bei sendiri.
Amalan bantu-membantu adalah amalan yang mulia. Namun ianya menjadi lebih mulia apabila bantuan yang kita berikan benar-benar mencapai sasarannya dan lebih ramai yang mendapat manfaatnya.
Dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati atas kewujudan pihak-pihak yang gemar mengambil kesempatan. Hanya Allah sahaja yang akan membalas perbuatan tidak bermoral seperti ini. - Dr. Syamirulah Rahim | PIXEL MEDIA
Sumber: pixelperfext
LAYARI
LIKE PAGE KAMI DI FACEBOOK @CiteHeboh
Share Artikel Ini :