GUA MUSANG - Seorang guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang tinggal di Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah, di sini, menanggung derita akibat sakit buah pinggang tahap tiga.

Rasdi Mat Adam, 42, dikesan menghidap penyakit itu pada penghujung tahun lalu setelah keadaan kesihatannya kurang memuaskan dan mengalami bengkak pada bahagian kaki.

Penyakit itu turut memaksanya berhenti kerja sebagai tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Terah sejak Februari lalu dan kini terpaksa bergantung harap kepada isterinya, Noorul Amilin Mamat, 37, yang juga guru Kafa.

Rasdi memberitahu, pendapatan isterinya hanya RM800 sebulan dan tidak dapat menampung kos ulang alik ke Hospital Kuala Krai dua kali seminggu untuk menjalani rawatan hemodialisis serta memberi barangan keperluan.

"Saya terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM1,000 sebulan untuk sewa teksi ke hospital, beli susu dan lampin pakai buang. Buat masa ini kesihatan saya semakin teruk kerana
tidak dapat berjalan serta jangkitan kuman merebak ke paru-paru dan mata sebelah kiri.

"Setiap kali jalani rawatan hemodialisis, saya terpaksa minta bantuan kakak atau abang untuk sewa teksi. Isteri saya tak ambil cuti kerana bimbang gajinya dipotong," kata bapa kepada dua anak perempuan berusia 7 dan 9 tahun itu.

Sementara itu, Noorul Amilin memberitahu, sehingga kini Rasdi belum menerima sebarang bentuk bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kami tak ada pendapatan lain selain gaji bulanan saya yang sememangnya tidak mencukupi serta menyukarkan kami meneruskan hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

"Saya bimbang kerana sejak akhir-akhir ini suami saya sering sesak nafas ketika tidur waktu malam. Selepas berhenti kerja dia tak dapat sebarang bayaran pampasan atau pencen,"
katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Noorul Amilin menerusi talian 017-699 7048 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank bernombor 0307-0068921-52-8.

Rasdi bersama Noorul Amilin menerima kunjungan orang ramai dan sahabat handai yang ingin melihat perkembangan kesihatannya.